MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, Julai 11, 2008

Ahmad Shabery sanggup pertaruh jawatan Kabinet

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bersedia menerima sebarang tindakan daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung jawatan kabinet yang disandangnya sekiranya gagal mempertahankan dasar kerajaan dalam debat dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu kenaikan harga minyak, Isnin ini. “Sekiranya saya gagal, saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan masa depan (sebagai menteri),” katanya ketika diminta mengulas kenyataannya kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengenai perkara itu, hari ini. Ahmad Shabery berkata menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahankan dan menerangkan sebaik mungkin dasar kerajaan menaikkan harga bahan api. “Sekiranya saya gagal melaksanakan tugas, saya serah pada pucuk pimpinan untuk mencari Menteri Penerangan yang lebih baik untuk menerangkan dan mempertahankan dasar kerajaan. "Saya serius dengan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Australian Broadcasting Corporation (ABC), Bruce Dover serta rombongan di bangunan Parlimen di sini. Semalam, Ahmad Shabery menyatakan keyakinannya bahawa langkahnya untuk berdebat dengan Anwar dapat membantu rakyat untuk lebih memahami kewajaran kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel bulan lalu. - Bernama
Sumber Berita Harian Online

Rahman Bakar kembali

Dalam politik tidak ada tanda titik. Begitulah halnya dengan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Rahman Bakar. Riwayat politik bekas Ahli Parlimen Marang, Terengganu ini belum berakhir walaupun telah digugurkan dalam pilihanraya umum 8 Mac. Rahman terkenal sebagai ‘ giant killer’ kerana mengalahkan Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang semasa pilihanraya umum 2004. Bintang Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang dikatakan bersinar semula bila Datuk Ahmad Said dilantik mengantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar dan kemudiannya Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri. Rahman akan dilantik sebagai Senator. Difahamkan beliau akan angkat sumpah 15 Julai ini- 8/7/2008

Selasa, Julai 08, 2008

Saifudin Nasution perunding prosedur debat 15 Julai 2008

Tulisan terbaru dalam blog Anwar Ibrahim mengenai debat 15 Julai 2008.
Saya keberatan ikut serta dalam debat tersebut kerana hanya melibatkan Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek. Saya telah mencadangkan supaya PM Abdullah atau Timbalan PM Najib atau kedua-duanya menyertai debat tersebut.
Walaubagaimanapun jika mereka keberatan, inshaAllah saya bersedia. Saya perlu menjelaskan kaedah perlaksanaan cadangan Pakatan Rakyat menurunkan harga minyak. Perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan Pakatan - PAS, DAP dan KeADILan di rumah saya minggu lalu. Saya telah meminta Sdr Saifuddin Nasution merundingkan prosedur debat.
InshaAllah..kita nantikan 15 Julai ini.
ANWAR IBRAHIM
Petikan dari blog Anwar Ibrahim 7 / 7 / 08

Royalti minyak dibayar September depan.

KUALA TERENGGANU 6 Julai - Kerajaan Negeri Terengganu dijangka menerima pembayaran royalti minyak berdasarkan kiraan harga pasaran semasa daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bermula September ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pembayaran secara terus kepada Terengganu akan dibuat selepas segala proses berhubung pembayaran selesai.
"Saya gembira kerana berkat kerjasama semua pihak hasil royalti minyak dikembalikan semula kepada rakyat," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran buku 100 hari pentadbiran Ahmad sebagai Menteri Besar di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Buku bergambar setebal 99 halaman itu diterbitkan oleh Pejabat Menteri Besar mengisahkan liku-liku dan perjalanan Ahmad yang bermula sebagai pegawai kerajaan sehingga menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu ke-13.
Buku ini mengandungi ucapan ringkas Ahmad yang dipetik daripada ucapan, wawancara khas, sidang akhbar dan sebagainya serta gambar-gambar menarik ketika beliau bertugas.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju mengembalikan sepenuhnya hak pengurusan royalti minyak sebanyak lima peratus kepada Kerajaan Terengganu yang ditarik balik sejak tahun 2000.
Ahmad sendiri pernah mengeluarkan kenyataan menggesa Kerajaan Persekutuan menyerahkan semula hak pengurusan wang royalti minyak yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi membiayai projek-projek pembangunan rakyat.
Hak pengurusan royalti minyak itu yang dianggarkan sebanyak RM1 bilion setahun ditarik balik pada tahun 2000 ketika pentadbiran Pas.
Petikan Utusan Malaysia Online 7 / 7 / 2008

Isnin, Julai 07, 2008

Usah 'bermain' dengan sumpah laknat: Mufti

Islam tak anjur individu terbabit fitnah junjung al-Quran KUALA LUMPUR: Umat Islam tidak harus mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu masalah fitnah dengan memaksa individu yang didakwa terbabit melafazkan sumpah mubahalah atau sumpah laknat, sekali gus menjadikan al-Quran sebagai alat untuk membuktikan seseorang itu berada di pihak benar atau tidak. Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata melafazkan sumpah itu wajar dijadikan jalan terakhir selepas mereka yang saling tuduh-menuduh tidak dapat membuktikan kebenaran dakwaan itu melalui proses lain dalam mencari keadilan.
“Dalam soal tuduhan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim misalnya, mana-mana pihak mesti berhati-hati dalam membuat keputusan untuk menggunakan al-Quran dan lafaz sumpah laknat ketika mahu menyelesaikan masalah berkenaan. “Berusaha cara lain dan cari dulu cara lain yang boleh mengait atau mengelakkan seseorang itu daripada tuduhan berkenaan. Biarlah pihak keselamatan atau proses perundangan menentukan kebenaran tuduhan ini melalui proses pencarian bukti, saksi dan sebagainya. “Jika tuduhan itu terus melarat, barulah lafaz sumpah itu digunakan,” katanya diminta mengulas kewajaran cadangan untuk bersumpah menjunjung al-Quran bagi membuktikan kebenaran masing-masing.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata Islam tidak pernah mensyariatkan supaya orang yang terbabit dalam fitnah bersumpah dengan menjunjung al-Quran tetapi cukup hanya bersumpah dengan nama Allah SWT. Beliau berkata, adalah tidak wajar dan haram hukumnya untuk seseorang Islam menjadikan al-Quran sebagai alat untuk bersumpah kerana yang diharuskan agama ialah bersumpah dengan melafazkan nama Allah sebanyak tiga kali. “Hanya Allah SWT yang berhak menggunakan nama makhluknya seperti al-Quran dan alat lain dalam mempertahankan kebenaran sesuatu perkara. Manusia pula disyariatkan bukan bersumpah dengan alat atau al-Quran sekalipun ketika mempertahankan diri mereka daripada fitnah atau penipuan tetapi cukup dengan menyebut tiga nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi. “Kalimah sumpah itu adalah yang termasyhur dan biasa disebut semua orang sama seperti lafaz sumpah yang digunakan ketika pemimpin politik mengangkat sumpah di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri,” katanya. Mufti Johor, Datuk Noh Gadut, berkata isu fitnah yang berleluasa ketika ini wajar ditangani di mahkamah yang bakal membabitkan lebih ramai pihak berwibawa dalam menentukan keputusan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.
Petikan Berita Harian online 7 Julai 2008

Kembali ke landasan perjuangan Melayu

Veteran Umno gesa ketepikan kepentingan peribadi KUALA LUMPUR: Veteran Umno menggesa semua pemimpin Melayu supaya kembali ke landasan perjuangan sebenar dan tidak meletakkan kepentingan peribadi mendahului kepentingan rakyat bagi memastikan keadaan politik negara kembali bersih. Kebanyakan mereka melahirkan rasa bimbang dengan keadaan politik sekarang yang semakin meruncing dengan pelbagai taktik dan permainan kotor serta tidak lagi bertunjangkan kepada standard moral yang tinggi meskipun kononnya bertindak berdasarkan kebenaran.
Mereka juga berpendapat kemelut berpanjangan ini perlu dihentikan segera sebelum rakyat menjadi mangsa kerana terkeliru akibat kekalutan politik pemimpin Melayu yang tampak seolah-olah tiada penghujungnya buat masa ini. Veteran Umno, Tan Sri Aishah Ghani, berkata keadaan yang timbul sekarang ini terlalu jauh berbeza daripada senario politik yang dilalui ketika beliau aktif berpolitik sejak zaman awal kemerdekaan dulu. "Pada masa itu juga berlaku krisis dan kita turut menerima tentangan daripada pembangkang yang tidak kurang juga hebatnya. Tetapi kami masing-masing tahu had dan sempadan sebagai orang Melayu yang beragama Islam.
"Kemelut perbezaan pandangan daripada parti bahkan dari dalam Umno sendiri berjalan dengan batas cara kita dan jangan sampai tahap begini. Ini adalah krisis terburuk yang pernah saya lihat setakat ini," katanya ketika dihubungi di sini. Veteran Umno, Tan Sri Zaleha Ismail, berkata semua ahli parti daripada peringkat akar umbi perlu melakukan sesuatu untuk kembali mendapatkan kepercayaan rakyat dan tidak terlalu berkeras mahu mempertahankan pendirian masing-masing. "Rakyat sudah bagi isyarat yang jelas dan dalam masa yang sama masih mengekalkan kita selepas pilihan raya dulu yang memberi maksud pemimpin perlu melakukan sesuatu. Ia sangat jelas. "Harapan saya kepada ahli Umno supaya memilih pemimpin yang dikehendaki rakyat dan mampu memimpin dalam keadaan goyah ini. Kita perlu jujur bertanya diri sendiri apakah keputusan kita dikehendaki rakyat atau kita nafikan kehendak mereka," katanya.
Seorang lagi Veteran Umno, Tun Dr Fatimah Hashim pula menggesa ahli parti dan pemimpin supaya bekerja keras untuk memulihkan imej jika sayangkan parti. Katanya, pertelagahan sesama sendiri perlu dihentikan dan menyusun kembali parti supaya lebih berdaya juang dan mampu kembali meraih kepercayaan orang rakyat. Petikan Berita Harian online 7 Julai 2008

Anwar letak syarat lafaz ikrar syarak

PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi menyuarakan kesediaan untuk membuat kenyataan bersumpah dari segi syarak bagi menafikan tuduhan liwat yang dibuat ke atasnya. Katanya, beliau berbuat demikian dengan beberapa syarat iaitu kenyataan bersumpah itu dilakukan di hadapan ulama yang berwibawa dan bukannya ahli politik. “Selain itu, saya juga mahu supaya kenyataan itu dibuat di mahkamah syariah kerana ia adalah isu agama dan bukannya politik.” katanya ketika berucap pada perhimpunan Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes), di sini, malam tadi.
Anwar berkata demikian ketika mengulas cadangan pelbagai pihak supaya beliau membuat kenyataan bersumpah termasuk dengan menjunjung Al-Quran bagi membuktikan beliau tidak terbabit dengan tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan. Turut hadir, Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamarudin Jaafar. Anwar dalam juga mengutuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan melabelkan beliau sebagai TPM pemberi biasiswa kepada pelajar gagal (merujuk kepada Saiful Bukhari).
Dengan nada sinis beliau juga ‘menasihatkan’ mana-mana mangsa liwat, rogol dan rompak supaya turut berjumpa Najib kerana pintu rumahnya sentiasa terbuka untuk golongan itu. Sementara itu, berhubung debat mengenai krisis kenaikan harga minyak antara beliau dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Anwar berkata, beliau sedia berdebat dan akan menerangkan satu persatu kaedah bagi menurunkan harga minyak.
Petikan Berita Harian online 7 Julai 2008

DEBAT ANWAR VS SHABERY 'ON'

Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ahad malam umum dalam ucapannya di depan 30,000 orang di Stadium Kelana Jaya beliau sedia sertai debat anjuran Agendadaily dengan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek. Katanya pada Himpunan Sejuta Orang anjuran Protes bagi membantah kenaikan harga minyak, kalau boleh beliau nak berdebat dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri atau dengan setengah kabinet sekali pun tak apa. Debat dibawah tajuk ' Hari ini membentuk kerajaan,esok turun harga minyak ' yang dicadang disiarkan secara live di televisyen itu akan diadakan pada malam 15 Julai ini di Dewan Bahasa dan Pustaka,KL. Ahmad Shabrey sebelum ini telah menyatakan persetujuannya untuk berdepan dengan Anwar dalam debat itu. Ini adalah kali pertama debat sesuatu isu negara antara dua tokoh pembangkang dan kerajaan akan disiarkan secara langsung di televisyen.- 6/7/2008
Petikan Agenda Daily

Awas Anwar: Dr Mahathir tak mudah lupa…

Some say let bygone be bygone. As good Muslims we should forget and forgive. It is easy to say this if you are not the subject of Anwar's plotting and vengeance. Itu pembuka kata tulisan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad dalam laman blognya http://www.chedet.com./ Dua kali berturut-turut bekas Perdana Menteri ini tulis pasal Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak kehangatan kes dakwaan liwat terhadapnya dan serangan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi surat akuan bersumpah P Balasubramanian yang kemudiannya ditarik balik.Bagi Dr Mahathir seluruh hu ha drama politik pertaruhan besar yang dipertontonkan kini kepada ramai adalah hasil komplot oleh Anwar."Saya tidak menagih simpati daripada sesiapa. Tetapi agak keterlaluan mengharapkan saya untuk melupa dan memaafkan sesuatu yang sedang berlaku akibat komplot oleh Anwar."Anwar memang berjaya menghitamkan nama saya di Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi juga di negara-negara Islam. Mereka semua fikir saya mencampakkan beliau ke penjara dengan sewenangnya atas sebab-sebab politik. KLIK PADA LINK INI UNTUK LAPORAN LANJUT.-6/7/2008
Petikan Agenda Daily

Tanpa kuota saya menang – Ku Li

Setiap kali berlakunya pertandingan di peringkat Majlis Tertinggi UMNO, nama Tengku Razaliegh Hamzah pasti menjadi sebutan bukan sahaja di kalangan ahli-ahli UMNO tetapi juga orangramai. Tengku Razaliegh (Ku Li) pernah mencabar dan hampir-hampir menyingkirkan Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam pertempuran yang sangat sengit pada tahun 1987 sehingga mewujudkan Team A dan Team B dan membawa kepada pengharaman UMNO melalui proses mahkamah. Kini, dalam usia 71 tahun iaitu usia orang lain mencari jalan keluar dari gelanggang politik, Ku Li masih mahu bertanding merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan Disember ini. Berbeza dengan pemilihan sebelumnya di mana beliau hanya mendapat satu pencalonan daripada bahagiannya sendiri iaitu Gua Musang, Ku Li yakin kali ini beliau akan dapat melepasi halangan utama itu.“Halangan yang paling besar ialah sistem kuota. Tanpa kuota, sekarangpun saya dah boleh menang,’’ kata Ku Li kepada Agendadaily dalam satu pertemuan di kediamannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau juga melihat kod-etika pemilihan kali ini sangat ketat dan merupakan satu lagi rintangan untuk calon-calon merapati ahli-ahli atau perwakilan. Namun, beliau mengingatkan bahawa kod-etika itu juga boleh menjadi perangkap kepada para pemegang jawatan. Pasukan wartawan Agendadaily mengasak beliau dengan pelbagai persoalan tetapi bekas Menteri Kewangan ini menjawab segala pertanyaan. Berita Lanjut
Petikan Agenda Daily

Komen Anwar mengenai sumpah junjung Al Quran

Datuk Seri Anwar Ibrahim kata di himpunan Protes di Stadium Kelana Jaya Ahad malam beliau sedia sumpah junjung Al Quran soal dakwaan liwat jika ia diatur oleh para ulamak yang berwibawa.Apapun katanya dalam hal ini beliau berpegang kepada pandangan Mufti Perak Datuk Harusani Zakaria yang kata beliau tak perlu bersumpah kerana ia tidak menepati undang-undang Islam.Ikut pandangan Harussani dakwaan Saiful Azlan terhadap Anwar adalah dakwaan jenayah.Menurut Harussani kaedahnya dalam kes ini, ialah ‘orang yang menuduh mestilah mengemukakan bukti’ dalam mahkamah, jika dia gagal mengemukakan bukti, dia boleh dikenakan hukuman hudud.Cadangan sumpah ini asalnya dibuat oleh Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.Ia disokong oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat. 6/7/2008

Petikan Agenda Daily

Ahad, Julai 06, 2008

Debat Shabery VS Anwar

Sabtu, Setakat hari ini Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum lagi beri sebarang jawapan rasmi kepada surat yang dihantar Agendadaily beberapa hari lalu mengundangnya untuk menyertai debat dengan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek. Debat dibawah tajuk ' Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak ' itu dicadangkan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada malam 15 Julai ini dan akan disiarkan secara live menerusi televisyen. Ada juga kalangan pemimpin PKR cuba perkecilkan Ahmad Shabery kata ' siapa dia berbanding Anwar '. Sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri ketika ditemui di bangunan Parlimen Selasa lalu kata beliau yakin dengan kemampuan Ahmad Shabery untuk berentap dengan Anwar dalam debat itu.-
Sumber Agenda Daily 5/7/2008

Ahmad Shabery minta Anwar guna forum debat isu minyak sebaik-baiknya

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim harus menggunakan forum debat pada 15 Julai ini dengan sebaik-baiknya untuk menyampaikan pendapat dan pandangan beliau mengenai isu minyak, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek. Beliau berkata debat adalah platform yang lebih bertamadun untuk menyuarakan pandangan pada masa kini berbanding platform jalanan. Katanya Anwar harus mengambil kesempatan daripada kesediaan beliau untuk berdebat mengenai isu minyak supaya rakyat dapat menilai perkara itu. "Ini peluang bagi dia untuk menyatakan pendapat dia. Saya ada pendapat yang mewakili kerajaan. Mari bersemuka, biar rakyat mengadili," katanya kepada Bernama di Isla Magarita, Venezuela semasa menghadiri Mesyuarat Menteri Penerangan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (COMINAC) kali ketujuh hari Jumaat. Ahmad Shabery berkata Anwar tidak perlu menggunakan platform jalanan seperti mengadakan perhimpunan untuk menyuarakan pandangan mengenai isu minyak itu. "Perhimpunan tidak perlu, hendak mengumpul rakyat. Ini kaedah lama Anwar, dia kena ingat dia bukan lagi pemimpin pelajar," katanya. Mengenai janji Anwar untuk menurunkan harga minyak jika Pakatan Rakyat memerintah, Ahmad Shabery menyifatkan kenyataan itu sebagai "kata-kata kosong" yang bertujuan memancing sokongan rakyat. Beliau berkata janji Anwar mungkin boleh menyebabkan negara tunduk kepada kuasa asing kerana terpaksa berhutang. "Apakah sekali lagi kita hendak meletakkan negara kita kepada cengkaman IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) yang pernah Anwar cuba guna kaedah itu semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu. Saya harap rakyat tidak terpedaya dengan agenda peribadi Anwar," katanya. Beliau berkata untuk menjadi pemimpin negara, terdapat saluran yang boleh digunakan oleh pemimpin untuk menyuarakan pandangan iaitu melalui pilihan raya, Parlimen dan juga media. " Kalau hendak jadi pemimpin kena menyuarakan pandangan dengan lebih bertamadun. Bukan ajak orang ke jalan raya," katanya. Satu perhimpunan Protes Sejuta Rakyat dijadualkan berlangsung Ahad ini di Petaling Jaya untuk membantah kenaikan harga minyak. Ahmad Shabery meminta rakyat agar tidak diperalatkan oleh Anwar yang kini tersepit dengan "masalah peribadi" dengan menyertai perhimpunan itu. "Baru-baru ini sibuk kata keselamatan terancam, hingga masuk Kedutaan Turki, kenapa sekarang hendak mengajak orang kepada keadaan yang boleh mengancam kehidupan rakyat, langkah dan tindakan yang boleh ancam kestabilan dan keselamatan negara," katanya. Ahmad Shabery berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sekiranya didapati perhimpunan yang dirancang itu bersifat mengganggu ketenteraman awam.-
Sumber Agenda Daily 5/7/2008

Debat Shabery - Anwar…bagus kata PM

PM Datuk Seri Abdullah Ahamad Badawi menyifatkan debat antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim anjuran Agendadaily sebagai “bagus”. Katanya kepada AgendaNews dipejabatnya di bagunan Parlimen, beliau yakin Shabery mampu mempertahankan dasar kerajaan.

Sumber Agendadaily 1 Julai 2008

Khamis, Julai 03, 2008

Ghapur cadang Dr M didakwa

AHLI Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh mencadangkan kerajaan supaya menghadapkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke mahkamah bagi mengetahui kebenaran dakwaan berlaku ketidakadilan dalam sistem kehakiman negara ketika pemerintahannya. Katanya, terlalu banyak diperkatakan mengenai sistem kehakiman sejak era pemerintahan Dr Mahathir sehingga menyebabkan keputusan mahkamah diragui rakyat dan pihak asing. "Kita bawa ke mahkamah supaya Tun dapat menyuarakan apa yang sebenarnya berlaku pada masa pemerintahannya. Kita tidak mahu lagi berlaku tuduh menuduh antara kerajaan, sistem kehakiman dan Tun mengenai perkara ini sehingga mengelirukan rakyat.

"Ia juga tidak baik kepada orang (Tun) yang berjasa kepada negara selama 22 tahun, dituduh macam-macam, biar dia kemuka apa bukti yang ada, saya rasa dia juga rela berbuat demikian," katanya ketika membahas usul Kajian Separuh Penggal RMK-9 di Dewan Rakyat semalam. Abdul Ghapur juga menyifatkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 bilion bagi untuk kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebagai usaha mengaburi mata rakyat kerana manfaatnya tidak dinikmati secara terus kepada golongan sasaran. Katanya, peruntukan itu sekadar dapat menampung kos kenaikan harga barang binaan ditanggung kontraktor berikutan kenaikan harga besi dan keluli 40 hingga 50 peratus berbanding ketika kontrak ditandatangani.
"Peruntukan tambahan itu hanya mengaburi mata rakyat, sebab tidak ada projek baru yang dibanggakan akan dibina,” katanya. "Peruntukan itu juga tidak cukup untuk menampung kos kenaikan harga barangan binaan yang melambung sehingga menyebabkan ada kontraktor tidak dapat meneruskan kerja mereka," katanya ketika membahas usul Kajian Separuh Penggal RMK-9. Abd Ghapur berkata bagi memastikan kerajaan lebih telus untuk membantu rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah khususnya di pedalaman yang terpinggir, peruntukan itu harus diagihkan kepada golongan sasaran. "Ramai rakyat miskin yang rumah mereka daif. Sekiranya kerajaan beri bantuan seperti kelengkapan rumah atau menaik taraf rumah mereka dengan peruntukan RM10,000 setiap keluarga, ia sudah pasti membantu mereka hidup dengan selesa. "Masalahnya, kita tidak nampak peruntukan berbilion yang diumumkan kerajaan itu sampai kepada golongan sasaran kerana realitinya taraf hidup rakyat masih rendah walaupun kerajaan mengumumkan kadar kemiskinan semakin menurun. "Kita tidak tahu bagaimana kerajaan menilai kadar dan angka kemiskinan itu dan kita juga tidak mahu kerajaan bagi peruntukan besar, tetapi tidak nampak kesan kepada golongan berkenaan," katanya yang menggesa pihak berkuasa termasuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat sebarang penyelewengan dalam melaksanakan projek pembangunan RMK-9. Abd Ghapur turut menggesa kerajaan membuat Dasar Ekonomi Baru (DEB) menggantikan dasar lama yang gagal matlamat khususnya dalam membantu meningkat penyertaan golongan Bumiputera dalam pelbagai sektor. Beliau berkata dasar baru khusus untuk membantu pencapaian Bumiputera dan masyarakat pribumi yang kebanyakannya tinggal di Sabah dan Sarawak itu perlu dilaksanakan dalam jangka masa pendek bagi menentukan keberkesanannya. "Tidak perlu 30 hingga 40 tahun, cukuplah buat satu dasar jangka pendek iaitu lima hingga 10 tahun bagi membela nasib golongan ini. "Dasar lama gagal kerana hanya mencatatkan pencapaian golongan ini dalam pelbagai sektor di tahap 16 hingga 18 peratus saja," katanya.

Petikan Berita Harian on line 3 Julai 2008

Komen

Saya amatlah bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Abdul Ghafur Salleh supaya Tun Mahathir dibicara di Mahkamah supaya Tun Mahathir dapat membela diri dan juga dapat menguraikan apa yang sebenarnya berlaku. Tun Mahathir sendiri dah berkali kali memberitahu yang beliau lebih suka dibicarakan dimahkamah kerana dapat memberi penjelaasan yang sewajarnya pada mahkamah, katanya lagi, ada perkara bolih didedah kepada umum dan ada juga perkara yang hanya bolih didedah kepada mahkamah.