Halaman

Khamis, Disember 11, 2025

Peneroka berharap pertikaian ladang milik FELDA diselesai di meja rundingan

 

Peneroka berharap pertikaian ladang milik FELDA diselesai di meja rundingan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Para peneroka di beberapa tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di daerah ini mengharapkan pertikaian ladang milik FELDA dan FGV Holdings Berhad (FGV) di negeri ini dapat diselesaikan dengan baik.

Mereka turut merayu agar kedua-dua pihak berkenaan dapat duduk semeja untuk mencari solusi dan penyelesaian terbaik berkaitan perkara tersebut demi masa hadapan mereka dan generasi seterusnya.

Beberapa peneroka mengakui banyak jasa dan peranan dimainkan FELDA sejak penubuhannya tahun 1956 khususnya dalam membantu menjana ekonomi keluarga dan masyarakat tanah rancangan itu.

SALAH sebuah ladang sawit milik FGV di Dherul 3, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Mereka berkata, penubuhan agensi berkenaan juga amat meninggalkan kesan mendalam kepada orang Melayu dalam kawasan FELDA terutama berkaitan ekonomi dan sosial.

Peneroka berkata, lantaran itulah, penubuhan FELDA dilihat satu dasar paling berjaya cetusan pemimpin terdahulu dalam mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar yang majoritinya orang melayu.

LADANG sawit FGV Felda Cherul 3, Kemaman, merupakan antara ladang yang sita kerajaan Terengganu.

Menurut mereka, kini sebagai peneroka FELDA hasilnya, mereka telah mengecapi nikmat hidup yang selesa melalui hasil pertanian daripada sebidang tanah yang dianugerahkan dan juga sebuah rumah untuk penempatan baharu.

PENEMPATAN peneroka di FELDA Cherul, Kemaman kini semakin maju, selesa apabila dilengkapi pelbagai kemudahan asas.

Susulan itu, peneroka berharap agar isu berkenaan dapat diselesaikan segera kerana setiap peneroka termasuk generasi kedua dan ketiga turut bergantung nasib dan masa hadapan bersama FGV.

Seorang peneroka Felda Seberang Tayor, Kemaman, Che Abdul Jalil Ismail, 84, berkata, selepas menjadi peneroka di tanah rancangan itu, FELDA banyak berjasa kepada peneroka khususnya dalam memajukan sosio ekonomi keluarga mereka.

CHE ABDUL JALIL ISMAIL

“Kaedah rundingan merupakan satu-satunya jalan terbaik untuk mencari penyelesaian berkaitan isu yang sedang dihadapi itu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi peneroka generasi kedua Felda Seberang Tayor, Kemaman, Zakaria Abdul Rahman, 70, berkata, mereka berharap  isu berkenaan dapat diselesaikan melalui perbincangan antara pihak berkaitan kerana ianya membabitkan kepentingan banyak pihak termasuk peneroka.

ZAKARIA ABDUL RAHMAN

“Setakat ini, pengurusan tertinggi FELDA dan wakil kerajaan Terenganu sedang dalam proses rundingan bagi mencapai persetujuan secara menang-menang,” katanya.

Sementara itu, generasi ketiga Felda Seberang Tayor, Nazli Derani berkata, dia menyerahkan isu berkenaan kepada kedua-dua pihak untuk berunding dan berharap ianya dapat diselesaikan dengan cara terbaik demi masa hadapan mereka dan seluruh warga FELDA.

NAZLI DERANI

Dalam pada itu, beberapa peneroka FELDA  Cherul, dekat sini, mengakui peranan dimainkan FELDA telah banyak mengubah taraf kehidupan mereka menjadi lebih baik daripada mula-mula mereka menjadi peneroka.

Seorang penerokawati FELDA berkenaan, Tuan Fauziah Syed Hashim berkata, jika diimbas semula ketika dia dan suami masuk ke tanah rancangan itu di mana mereka hidup dalam keadaan serba daif dan tiada sebarang kemudahan asas seperti bekalan seperti elektrik, air dan sebagainya.

TUAN FAUZIAH SYED HASHIM

“Namun, pada masa ini, suasana tersebut jauh berubah apabila kawasan FELDA dilengkapi pelbagai kemudahan asas,” ujarnya.

Sementara itu, peneroka lain, Fadilah Hamid, berkata, mengenang semula ketika masuk ke tanah rancangan itu mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan dan FELDA banyak membantu mereka untuk meneruskan kehidupan sehinggalah menjadi lebih selesa sekarang.

FADILAH HAMID

Dalam pada itu, Zulkifli Jaafar berkata, Felda merupakan satu-satunya agensi sedemikian yang ada di dunia ini yang sentiasa berusaha untuk membantu peneroka termasuk memberikan pelbagai jenis bantuan bagi meringankan kehidupan mereka.

ZULKIFLI JAAFAR

Sementara itu, Siti Fadilah Ahmad, berkata dia dan suami pernah menitiskan air mata setiap kali mengenang nasib mereka ketika mula masuk ke Felda berkenaan yang terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran namun selepas agensi itu banyak membantu mereka kini menarik nafas lega.

SITI FADILAH AHMAD

Seorang generasi ketiga Felda Cherul, Norzalilah Mohd Nordin, berkata Felda telah banyak membantu meningkatkan taraf pendidikan dalam kalangan warga Felda dan kini ramai anak-anak peneroka di situ telah berjaya mendapat tawaran kerja dan jawatan yang baik.

NORZALILAH MOHD NORDIN

Dalam perkembangan isu FGV pula, para peneroka berharap kerajaan negeri dan Felda dapat duduk semeja berbincang untuk mencari kata sepakat terbaik bagi memastikan masa hadapan anak-anak Felda terbela.

Sebelum ini akhbar melaporkan, kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri itu bermula 29 November lalu iaitu pada tarikh akhir tempoh rundingan yang diberikan kepada agensi itu.

Penyerahan notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu. – Suara Timur

Rabu, Disember 10, 2025

Ibu bapa kecewa YT tidak keluar notis beritahu penutupan asrama

 

Ibu bapa kecewa YT tidak keluar notis beritahu penutupan asrama

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kemelut notis penutupan Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) di sini yang didakwa terlalu singkat menimbulkan ketidakpuasan ibubapa terhadap tindakan Yayasan Terengganu (YT).

Seorang peneroka Felda Cherul 1, dekat sini, Kamariah A. Karim berkata, setakat ini, ibu bapa tidak mengetahui punca AYTK akan ditutup dan keliru dengan kenyataan YT yang mendakwa keputusan menutup asrama itu telah dicapai hasil perbincangan dengan  ibu bapa pelajar terlibat.

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa pula mendakwa mereka tidak menerima sebarang notis perbincangan dan penutupan AYTK dalam tempoh terdekat ini.

SURAT pemberitahuan ‘Taklimat Penstrukturan Asrama Yayasan Terengganu Kemaman dan Pembukaan Sekolah Menengah IMTIAZ (Swasta)’ pada 13 Disember ini.

“Dua hari yang lepas, saya menelefon Pejabat Pendidikan Daerah  (PPD) untuk memaklumkan saya tidak menerima apa-apa notis penutupan asrama tersebut.

“Kami nak nasib anak kami terbela termasuk jamiman penempatan anak kami asrama sekolah mengikut aliran sebelum ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kamariah memberitahu, kebanyakan pelajar yang ditempatkan di AYTK merupakan pelajar cemerlang terpilih dalam kalangan B40 dari pendalaman untuk bersekolah di sekitar bandar Chukai.

“Sebelum ini, kami menaruh harapan tinggi kepada AYTK dalam menyediakan kemudahan asrama serta lain, namun apabila berlaku masalah ini, kami amat kecewa dan harapan jadi musnah,” ujarnya

Sementara itu, pada petang tadi, Suara Timur menerima salinan surat pemberitahuan ‘Taklimat Penstrukturan Asrama Yayasan Terengganu Kemaman dan Pembukaan Sekolah Menengah IMTIAZ (Swasta)’ yang akan diadakan di Dewan Ibnu Sina AYTK Jalan Mak Chili dekat sini, pada pukul 2.30 petang, 13 Disember ini.

Pengeluaran surat taklimat itu seolah-olah mengesahkan dakwaan ibubapa pelajar AYTK tidak pernah dijemput  hadir pada perbincangan atau taklimat mengenai penutupan asrama tersebut dalam tempoh terdekat ini.-  Suara Timur

Persatuan alumni bantah penutupan asrama YT Kemaman

 

Persatuan alumni bantah penutupan asrama YT Kemaman

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Persatuan Alumni Penghuni Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (PAPAYTK) membantah keputusan Yayasan Terengganu (YT) yang mahu menutup asrama itu yang telah hampir 40 tahun membantu pelajar B40 mendapatkan akses pendidikan.

Pengerusinya, Mohd Rohaimi Yusof berkata, meskipun persatuan itu menghormati keputusan kerajaan negeri, namun pihaknya berharap keputusan penutupan asrama itu dikaji semula dengan lebih teliti demi masa depan pelajar.

“Tempoh enam bulan yang diberikan untuk menutup asrama itu secara berperingkat hingga Jun tahun depan juga dilihat terlalu singkat dan drastik yang boleh menjejaskan akademik dan emosi pelajar.

“Kebajikan kira-kira 150 pelajar di asrama itu mesti menjadi keutamaan khususnya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Katanya, sejak awal ditubuhkan, Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) berperanan membantu anak-anak kampung dan keluarga berpendapatan rendah mendapatkan peluang pendidikan yang setara dengan pelajar bandar dengan pelbagai kemudahan seperti asrama yang selesa, kelas bimbingan Al-Quran dan kelas malam yang sukar diperoleh pelajar B40.

Mohd Rohaimi berkata, pihaknya juga bimbang penutupan asrama itu dapat membawa implikasi lain kepada pelajar termasuk penempatan baharu yang tidak kondusif, gangguan akibat pertukaran sekolah, asrama dan guru serta rakan di pertegahan penggal.

“Ibu bapa hanya dimaklumkan mengenai penutupan asrama itu pada 3 Disember lalu menerus aplikasi WhatsApp dan kami berpendapat pihak pengurusan sepatutnya mengadakan perbincangan dan sesi libat urus secara bersemuka dengan ibu bapa, pelajar dan alumni sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya.

“Alasan asrama itu ditutup untuk menggantikan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz swasta juga dilihat tidak wajar kerana kedua-duanya mempunyai mandat yang berbeza, Imtiaz adalah untuk pelajar cemerlang manakala AYTK untuk pelajar sederhana yang memerlukan bimbingan.

“Sudah ada lapan buah SM Imtiaz di negeri ini dan pelajar berprestasi tinggi mempunyai pilihan tanpa perlu dikorbankan satu-satunya asrama untuk pelajar golongan sederhana,” katanya.

Menurutnya, keputusan menutup AYTK juga perlu dikaji semula dan kemudahan itu telah banyak mengubah kehidupan ramai pelajar B40. – Suara Timur

Isnin, Disember 08, 2025

UMNO Kemaman lapor polis kaitkan Ahmad Said dengan laporan tidak benar

 

UMNO Kemaman lapor polis kaitkan Ahmad Said dengan laporan tidak benar

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : UMNO Bahagian Kemaman hari ini membuat laporan polis berhubung satu laporan media yang mengaitkan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan konflik antara kerajaan negeri dan Felda.

Setiausahanya, Rosli Ahmad berkata, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, selepas beliau dihubungi Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman, yang meminta laporan polis itu dibuat.

“Laporan yang ditulis dalam media itu tidak benar dan Datuk Seri Ahmad Said menafikan beliau telah membuat kenyataan sebagaimana yang dilaporkan media itu.

“Sebenarnya laporan media itu tidak betul, apa yang dijawab Datuk Seri Ahmad Said lain, kemudian ditulis lain dalam berita,” katanya ketika ditemui di perkarangan IPD Kemaman, hari ini.

Rosli berkata, pihaknya juga kesal apabila laporan itu kemudiannya disebarkan di media sosial oleh pihak tertentu untuk mendapat ‘mileage’ politik.

“Kenyataan ini kita dikira memfitnah dan boleh mencemar nama baik Datuk Seri Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia serta boleh menjejaskan hubungan antara dengan kerajaan Madani.

“Kita harap pihak yang tidak bertanggungjawab boleh padam balik posting-posting yang telah dibuat dalam tempoh tujuh hari ini. Jika tidak, kami akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Rosli berkata, pengamal media itu telah membuat permohonan maaf dan berjanji untuk membetulkan semula artikel tersebut,” katanya. – Suara Timur

Buruh maut dirempuh kereta di Bandar Kerteh

 

Buruh maut dirempuh kereta di Bandar Kerteh

KEMAMAN: Seorang buruh maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika keluar dari simpang lampu isyarat di Bandar Kerteh dekat sini petang semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.10 minit petang di Kilometer 113, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat Bandar Kerteh.

Dalam kejadian itu, mangsa Muhammad Tarmizi Muda, 36 tahun, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kerteh.

KEADAAN motosikal ditunggangi Muhammad Tarmizi Muda setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 113, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat Bandar Kerteh, semalam.

Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak dikatakan sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Pengkalan Ranggon ke Bandar Kerteh.

Ketika sedang membelok, sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu seorang lelaki dari arah Bandar Paka tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal ditunggang mangsa.

Akibat rempuhan itu mangsa tercampak beberapa meter ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.

Mohd Razi berkta, polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat. – Suara Timur

Ahad, Disember 07, 2025

Mangsa terjatuh di Jeti Geliga Che Ako ditemukan lemas

 

Mangsa terjatuh di Jeti Geliga Che Ako ditemukan lemas

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Seorang lelaki yang hilang selepas terjatuh ketika sedang memeriksa bot miliknya di Jeti Geliga Che Ako dekat sini Jumaat lalu ditemukan lemas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata mayat Muhammad Anuar Syhukrimi Mahmod, 31, ditemukan terapung di Sungai Kemaman sejauh 500 meter dari lokasi kejadian pada 9.05 pagi tadi.

“Mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat setelah operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada 7 pagi.

“Operasi SAR hari ini menggunakan teknik pencarian di permukaan air melibatkan beberapa buah bot pada jarak radius satu kilometer dari tempat kejadian menghala ke arah Kuala Kemaman,” katanya kepada Suara Timur hari ini.

Mohd Razi berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan lemas selepas dikatakan tergelincir di jeti tersebut pada 10 malam Jumaat lalu.

Bagaimanapun pihak bomba hanya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 2.26 petang semalam. – Suara Timur

Fenomena air pasang besar, berapa kampung di Kemaman dinaiki air

 

Fenomena air pasang besar, berapa kampung di Kemaman dinaiki air

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Beberapa kampung di daerah ini dinaiki air sedalam sehingga 0.3 meter susulan fenomena air pasang besar yang berlaku malam tadi.

Antara kawasan kediaman terbabit ialah Kampung Bakau Tinggi, Kampung Geliga Jambatan, Kampung Kuala Kemaman, Kampung Pengkalan Cicar dan Pulau Sekepeng.

Tinjauan di Kampung Bakau Tinggi bersama sepasukan sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman malam tadi mendapati kira-kira 80 peratus kawasan kediaman berkenaan dinaiki air sedalam sehingga 0.3 meter.

Sebatang jalan yang menghubungkan kampung berkenaan dengan Bandar Chukai turut dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan kecil.

Menurut Penolong Penguasa Bomba Mohd Ridzuan berkata, di daerah Kemaman, bacaan tertinggi air pasang besar yang direkodkan iaitu 3.70 meter sekaligus mengakibatkan lima buah kampung berkenaan dinaiki air.

“Pemantauan hari ini dan semalam didapati paras air dalam keadaan terkawal dan jika ada sebarang perpindahan penduduk, pihak bomba akan bersiap siaga untuk sebarang perpindahan dan menyelamat.

“Kami bersama pasukan juga memberi nasihat kepada penduduk supaya behati-hati kalau boleh jangan keluar dari rumah untuk mengelakkan berlaku sebarang risiko,” katanya kepada Suara Timur hari ini.

Fenomena air pasang besar di sekitar daerah Kemaman bermula sekitar jam 10.30 malam dan kemuncaknya ialah kira-kira jam 12.00 malam tadi.

Mohd Ridzuan berkata, pemantauan akan dilakukan secara berterusan sehingga esok bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Di negeri Terengganu, sebanyak 41 buah kampung berhampiran 12 muara sungai dijangka dinaiki air susulan feneomena berkenaan bermula hari Khamis lalu hingga Selasa ini. – Suara Timur

Sabtu, Disember 06, 2025

Kastam Terengganu rampas dadah bernilaiRM139,130 di Kemaman

 

Kastam Terengganu rampas dadah bernilaiRM139,130 di Kemaman

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah selepas merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM139,130 di sebuah jeti nelayan yang tidak berdaftar di sini pada 23 September lalu.

Pengarah Kastam Negeri Terengganu, Hasbollah Din berkata, rampasan dilakukan hasil pemeriksaan Pasukan Unit Marin Cawangan Penguatkuasaan JKDM Kemaman pada pukul 4.30 pagi.

Menurutnya, dadah tersebut dijumpai itu disembunyikan di dalam tong ikan yang terletak di dalam bilik di jeti tersebut.

SEBAHAGIAN dadah yang dirampas dalam sebuah bilik di sebuah jeti yang tidak berdaftar di Kemaman.

“Antara barang kes yang dirampas adalah dadah yang disyaki jenis heroin seberat 190 gram, pil kuda 1,200 biji (120 gram), ecstasy 2,099 biji (813 gram), syabu (128 gram) dan air ketum (105 liter),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasbollah memberitahu, modus operandi berselindung di tempat awam bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Suara Timur

Kapal kargo bocor, 15 anak kapal diselamatkan di perairan Terengganu

 

Kapal kargo bocor, 15 anak kapal diselamatkan di perairan Terengganu

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, (Maritim), Zon Maritim Kemaman berjaya menyelamatkan 15 anak kapal sebuah kapal kargo yang mengalami kebocoran serius di perairan terengganu, awal pagi tadi.

Insiden berlaku kira-kira 59 batu nautika timur laut di perairan Merchang di Marang, Terenggnu, sekitar pukul 1 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah dalam satu kenyataannya memberitahu, ketika kejadian kapal berkenaan yang membawa muatan tanah liat dalam pelayaran dari Lumut, Perak ke Vietnam.

ANAK kapal yang diselamatkan Maritim Malaysia diberi rawatan di Jeti Zon Maritim Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Ketika dalam perjalanan, kapal yang dinaiki oleh kesemua anak kapal itu dipercayai mengalami kebocoran pada bahagian ruangan enjin.

Setelah kebocoran gagal dibaiki, kapten kapal mengarahkan kesemua anak kapal keluar dari kapal dengan menggunakan rakit keselematan.

Menurut Abdul Halim Maritime Rescue Sub Centre, (MRSC), Kuantan mengaktifkan prosedur kecemasan dan mengarahkan kapal terbabit menghampiri daratan bagi meminimumkan risiko.

Susulan itu, Kapal Peronda Maritim Malaysia, KM Sebatik, diatur gerak ke lokasi dan melaksanakan pemindahan anak kapal dengan selamat di kedudukan kira-kira 5 batu nautika Timur Kampung Jambu Bongkok.

Kesemua mangsa berusia antara 21 hingga 54 tahun berjaya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman pada pukul 6.05 petang tadi untuk pemeriksaan kesihatan serta serahan kepada ejen.

Kesemua mangsa terdiri daripada 13 orang warga Vietnam, masing masing 1 dari India dan Bangladesh. – Suara Timur

Pemuda dipercayai lemas selepas tergelincir di Jeti Geliga Che Akob

 

Pemuda dipercayai lemas selepas tergelincir di Jeti Geliga Che Akob

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pemuda dipercayai lemas selepas dikatakan tergelincir ketika ketika air pasang besar berlaku, di Jeti Geliga Che Akob, di sini, semalam.

Mangsa, Muhammad Anuar Syukrimie Mahmood, 31, yang berasal dari Kampung Geliga Jambatan, disedari lemas oleh seorang rakannya kira-kira pukul 10 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang duduk di jeti itu bersama rakan-rakannya.

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian di Jeti Geliga Che Akob, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Ketika itu air pasang besar 3.7 meter berlaku dan mangsa dikatakan tergelincir di jeti itu.

“Rakan mangsa cuba mencarinya, namun gagal,” katanya.

Mohamad Hanif berkata, bagaimanapun pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian kira-kira pukul 2.26 petang tadi.

“Kita telah menggerakkan seramai 17 anggota bomba ke lokasi kejadian dan ketika ini operasi pencarian masih diteruskan dengan menggunakan dua buah bot,” katanya. – Suara Timur

Rabu, Disember 03, 2025

Peniaga rugi RM136,400 ditipu pelaburan saham tidak wujud dalam talian

 

Peniaga rugi RM136,400 ditipu pelaburan saham tidak wujud dalam talian

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang peniaga mengalami kerugian RM136,400 setelah terpedaya dengan penipuan pelaburan saham tidak wujud dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd. Razi Rosli berkata, lelaki berusia 51 tahun itu tertarik dengan pelaburan tersebut selepas melihat satu iklan pelaburan saham di dalam laman Facebook pada 5 Oktober lalu.

Menurutnya, mangsa telah melakukan transaksi melalui Mesin Deposit Tuna (CDM) ke dalam lapan akaun bank yang berbeza berjumlah keseluruhan RM136,400 bermula pada 5 Oktober sehingga 2 November lalu.

“Mangsa membuat laporan polis selepas menerima sebarang pulangan sebanyak RM700,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Suara Timur

Selasa, Disember 02, 2025

Penduduk minta pihak berkuasa tangkap gajah liar

 

Penduduk minta pihak berkuasa tangkap gajah liar

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Penduduk di Kampung Minda, Hulu Dungun, dekat sini meminta  pihak berkuasa segera mengambil tindakan susulan seekor gajah liar yang didakwa sering muncul di kawasan rumah mereka.

Masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu menyebabkan penduduk yang mengusahakan kebun terpaksa menanggung kerugian selepas tanaman mereka dimusnahkan haiwan berkenaan.

Mereka mendakwa, gajah liar itu adalah gajah yang sama ditemui berkeliaran di Kampung Dendang, tidak jauh dari kampung berkenaan bulan lalu.

Menurut penduduk yang juga pekebun, kehadiran gajah liar ke kampung berkenaan empat hari lalu telah memusnahkan pelbagai jenis tanaman seperti pisang yang boleh dituai dan dijual.

PENDUDUK membersihkan pokok pisang yang dirosakkan gajah liar di Kampung Minda, Hulu Dungun, Dungun. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Susulan itu, penduduk kini serik untuk menanam semula dan menanggung kerugian malah ada mereka yang terpaksa berjaga malam bagi mengawal kebun mereka walaupun berdepan risiko bahaya.

Walaupun banyak aduan dibuat, sehingga kini masih belum ada tindakan daripada pihak berkenaan.

Seorang pekebun Mohd Shamsudin Khalid berkata, penduduk kecewa apabila hasil tanaman yang boleh dituai dirosakkan gajah liar tersebut.

MOHD SHAMSUDIN KHALID

“Pendapatan penduduk terjejas apabila hasil tanaman mereka rosak dan tidak dapat dijual,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekebun, Mohamad Nordin Samad pula berkata, masalah yang dihadapi penduduk itu telah lama berlarutan namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

MOHAMAD NORDIN SAMAD

“Keadaan tersebut menyebabkan saya sentiasa mengeluar modal baharu untuk menaman pisang setiap kali dirosakan  gajah liar itu,”  ujarnya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi berkata, operasi menangkap gajah berkenaan sebelum ini berdepan kesukaran khususnya bagi mengesan lokasi kedudukan haiwan liar itu.

“Pihak saya akan turut mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan dan meminta penduduk supaya menyalurkan maklumat sekiranya haiwan itu muncul di kawasan kebun milik mereka,” tambahnya. – Suara Timur

Isnin, Disember 01, 2025

9 pekerja kilang memproses makanan haiwan terhidu gas toksik

 

9 pekerja kilang memproses makanan haiwan terhidu gas toksik

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sembilan pekerja sebuah kilang memproses makanan haiwan berdepan detik cemas selepas terhidu gas toksik ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tangki di kawasan perindustrian biopolimer Kerteh di sini, pada pukul 6.51 petang.

Ketika kejadian kesemua mangsa yang berusia 23 hingga 40 tahun itu baru memulakan kerja-kerja penyelenggraan continuous reacter tank di kilang tersebut.

Kejadian dipercayai berlaku selepas salah seorang mangsa dikatakan membuka penutup tangki tersebut menyebabkan berlakunya pelepas gas amonia dan methyl mercaptan di sekitar kawasan lokasi kejadian.

Akibat dari pelepasan gas toksik tersebut, kesemua mangsa mengalami simptom sesak nafas dan kakitangan kilang yang menyedari kejadian itu telah membawa kesemua mangsa keluar ke kawasan selamat.

ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan  penyebaran gas toksin di kilang memproses makanan haiwan di Kemaman, semalam.

Sementara itu Komander Operasi dari Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM), Zon Dua Terengganu, Penguasa Bomba, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian tersebut.

Menurutnya, pasukan Hazmat telah melakukan teknik water suppression untuk mengurangkan penyebaran dan bacaan gas serta memasang water curtain dilokasi kejadian.

Katanya lagi, kebocoran gas berjaya dikawal pada pukul 8.09 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.05 pagi tadi.

Pegawai Zon 2 JBPM Terengganu Penguasa Kanan Bomba II Rohaya Jamil (tengah) diberi taklimat mengenai kebocoran gas toksik di kilang memproses makanan haiwan, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

 “Tiga mangsa telah dibenarkan pulang selepas diberi rawatan di Hospital Dungun manakala enam mangsa lagi masih menerima rawatan di hospital sama dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya kepada Suara Timur hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi berkata, lima mangsa yang terhidu gas toksik dalam kejadian itu masih menerima rawatan di Hospital Dungun.

Menurutnya, salah seorang mangsa terlibat telah dibenarkan keluar dari hospital tersebut  selepas keadaannya pulih sepenuhnya pagi tadi.

“Lokasi kejadian kini diishtyiharkan selamat dan telah diserahkan pihak pengurusan kilang selepas operasi selesai awal pagi tadi.

“Pada masa yang sama orang ramai tidak perlu risau kerana gas toksik tersebut tidak tersebar ke kawasan penempatan berhampiran,” ujarnya. – Suara Timur