KUALA TERENGGANU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Rozi Mamat menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada semua bekas ahli dan individu yang ingin kembali bersama perjuangan parti itu.
Beliau berkata, semangat penyatuan yang dibawa itu amat bertepatan dengan keberkatan bulan Ramadan yang mengajak umat Islam bermuhasabah, memperbaiki hubungan serta memperkukuhkan ukhuwah sesama mereka.
Menurutnya, UMNO sebagai sebuah parti besar yang menjadi tunjang perjuangan orang Melayu dan Bumiputera sentiasa terbuka untuk merapatkan kembali saf perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.
“Usaha membuka pintu Rumah Bangsa ini merupakan langkah matang dan bijaksana bagi memperkukuhkan kembali kesatuan keluarga besar UMNO.
“Kekuatan parti bukan hanya terletak pada struktur organisasi semata-mata, tetapi pada kesatuan hati, kesetiaan serta semangat kebersamaan seluruh ahlinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rozi berkata, beliau percaya usaha berkenaan mampu menjadi titik permulaan kepada penyatuan yang lebih kukuh dan memberi kekuatan baharu kepada UMNO dalam menghadapi cabaran masa depan.
Katanya, langkah itu juga penting bagi memastikan agenda membela rakyat terus diperkasakan demi kestabilan dan kemakmuran negara.
“Semoga segala usaha murni ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan menjadi jalan untuk kita memperkukuhkan kembali perjuangan parti demi kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya. – Suara Timur
KEMAMAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera dipercayai terkena tembakan senapang angin dilepaskan jirannya dalam satu kejadian di Felda Seberang Tayor, Kemaman petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang bermain bersama abang kandung di hadapan rumahnya kira-kira pukul 3.45 petang.
Menurutnya, mangsa dikatakan menangis selepas dipercayai terkena tembakan dan mengadu berasa sakit pada bahagian belakang sebelah kiri badan sejurus terdengar bunyi meletup.
“Selepas diperiksa ibu mangsa terdapat kesan lebam kemerahan pada belakang badan mangsa dan menemui satu biji bebola besi berwarna perak di hadapan rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
DUA laras senapang angin buatan sendiri yang dirampas di Felda Seberang Tayor, Kemaman, semalam.
Beliau berkata, bapa mangsa yang mengesyaki sesuatu kemudiannya bertindak membuat laporan di Balai Polis Ayer Putih kira-kira pukul 5 petang sebelum suspek ditahan kira-kira jam 6 petang.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku melepaskan satu das tembakan ke arah rumah jirannya pada jarak 40 meter melalui tingkap rumah namun tidak menyangka tembakan itu terkena ke arah mangsa,” ujarnya.
Tambahnya, polis kemudiannya merampas dua laras senapang angin termasuk satu senapang angin buatan sendiri berukuran panjang lebih kurang 123 sentimeter (cm) dan 107 cm serta sembilan biji bebola besi.
“Suspek dipercayai membeli senjata berkenaan secara atas talian sejak setahun lalu sementara satu laras lagi dibuatnya sendiri bagi tujuan menembak burung,” katanya.
Mohd. Razi berkata hasil pemeriksaan terhadap suspek mendapati positif dadah jenis morfin dan suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan manakala suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga Ahad depan bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – Suara Timur
DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukan hampir RM1 juta bagi melaksanakan Program Ikatan Kasih Madani Wilayah itu pada Ramadan tahun ini.
Pengerusi KETENGAH Datuk Rozi Mamat berkata, peruntukan tersebut diagihkan kepada 3,100 individu layak termasuk golongan asnaf, anak yatim piatu, pesakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU).
Menurutnya, di bawah program itu, setiap seorang golongan berkenaan akan menerima RM200 yang membabitkan jumlah keseluruhan RM640,000.
Katanya, lapan buah madrasah dan pusat tahfiz turut menerima sumbangan ‘Ihsanul Qura’ berjumlah RM2,000 setiap satu dengan jumlah keseluruhan RM16,000.
“Dalam program Ikatan Kasih Madani ini hampir satu juta yang kita buat agihan pada hari ini dan Insha Allah agihan secara individu dan kelompok itu kita akan buat di peringkat District masing-masing.
“Sumbangan turut diberikan kepada 70 buah surau dalam wilayah itu dengan kadar RM500 setiap surau bagi melaksanakan Program Ihya’ Ramadan dengan jumlah keseluruhan RM35,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majiis perasmian Program Ikatan Kasih MADANI Wilayah KETENGAH di Al Muktafi Billah Shah, Dungun malam tadi.
Menurut Rozi, program itu mencerminkan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial yang menjadi tunjang Malaysia MADANI selain dapat membantu rakyat memerlukan.
Tambahnya, Ketengah turut membantu 754 anak yatim dengan membeli kelengkapan baju raya bernilai RM200 seorang dan duit raya RM100 melalui Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) dengan jumlah RM226,200.
Jelasnya, pada tahun ini, KETENGAH diluluskan peruntukan RM48.355 juta termasuk enam projek baharu berjumlah RM5.5 juta untuk dilaksanakan iaitu menaik taraf dan baik pulih bangunannya.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan Fatimah Kadir, 73, berkata dia bersyukur menerima sumbangan itu kerana dapat membantu meringankan beban membuat persediaan hari raya nanti.
“Dapatlah saya buat belanja raya, beli kain baju, selain beli makan-makanan. Syukur, Alhamdulillahlah..Terima kasih banyak-banyaklah,” ujarnya. – Suara Timur
DUNGUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu menganjurkan empat program utama sempena Ramadan tahun ini bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat di negeri itu.
Pengarahnya, Mohd Mufsi Lat berkata, program berkenaan ialah Bazar Ramadan Rahmah (BRR) 2026, Program Ikhlas Ramadan 2026, Program MySaveFood Ramadan 2026/Ihsan Food Bank serta Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) sempena Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, BRR 2026 dilaksanakan di lapan lokasi terpilih, melibatkan satu lokasi bagi setiap kawasan Parlimen di Terengganu bermula 1 Mac lepas di Bazar Ramadan Binjai Rendah, Marang dan Bazar Ramadan Paka, Dungun.
“Lokasi seterusnya ialah Bazar Ramadan Kampung Raja, Besut (3 Mac), Bazar Ramadan Kuala Ibai, Kuala Terengganu (5 Mac), Bazar Ramadan Sungai Tarom, Setiu (7 Mac), Bazar Ramadan Kuala Berang, Hulu Terengganu (8 Mac), Bazar Ramadan Kerteh, Kemaman (9 Mac) dan Bazar Ramadan Gong Badak, Kuala Nerus (13 Mac),” katanya.
MOHD Mufsi Lat menunjukkan poster jualan harga Rahmah di Bazar Ramadan Paka, Dungun, semalam. – SUARA TIMIR/MUKHATAR A. RAHMAN
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Bazar Ramadan di Paka dekat sini petang semalam.
Menurut beliau, bazar berkenaan beroperasi sepanjang Ramadan bagi menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai selain mendorong peniaga menawarkan Juadah Rahmah pada harga berpatutan.
Sebagai galakan, tambahnya, peniaga BRR terpilih menerima insentif kewangan secara sekali bayar sebanyak RM100 dalam bentuk dompet elektronik. Peniaga yang melaksanakan transaksi tanpa tunai serta menawarkan Juadah Rahmah turut layak menerima tambahan RM100.
Selain itu, katanya, KPDN mengagihkan kredit e-dompet RM20 kepada 1,500 pengunjung terawal di setiap lokasi BRR bagi pembelian tanpa tunai menerusi operator yang bekerjasama di bawah Program Retail Digitalisation Initiative (REDI).
MOHD Mufsi Lat (kiri) bertanya sesuatu kepada peniaga di Bazar Ramadan Paka, Dungun, semalam. – SUARA TIMIR/MUKHATAR A. RAHMAN
Dalam pada itu, tambahnya, KPDN Negeri Terengganu turut bekerjasama dengan Petronas Dagangan Berhad (PDB) melalui pelaksanaan Program Ikhlas Ramadan 2026.
Jelasnya, menerusi program tanggungjawab sosial korporat itu, satu pertukaran silinder Gas PETRONAS secara percuma serta apron Gas PETRONAS diberikan kepada gerai terpilih yang kebanyakannya terdiri daripada komuniti B40.
Bagi mengurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan, beliau memberitahu, KPDN turut melaksanakan Program MySaveFood Ramadan 2026 atau Ihsan Food Bank dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA).
Katanya, program itu membudayakan sistem pengurusan lebihan makanan secara efektif di bazar Ramadan dan melibatkan sukarelawan Gabungan Pengguna Siswa daripada sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Politeknik Besut.
NURUL Emilia Mohd Nor (kanan) menunjukan kuih agar-agar yang dijual di gerai Nasa di Bazar Ramadan Paka, Dungun, semalam. – SUARA TIMIR/MUKHATAR A. RAHMAN
Pelaksanaan program itu melibatkan lapan lokasi bazar Ramadan iaitu Kuala Besut, Gong Badak, Paka, Kuala Berang, Wakaf Tengah, Sungai Tarom, Kampung Raja dan Batu Buruk bermula 23 Februari hingga 13 Mac ini.
“Setakat ini sebanyak 493.7 kilogram lebihan makanan berjaya diselamatkan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Mufsi berkata Program Jualan Rahmah Madani sempena Aidilfitri akan berlangsung serentak di lapan Parlimen di Terengganu pada 14 Mac ini.
Lokasi terlibat ialah Dataran Limbongan, Kampung Raja (Besut), Dewan Komuniti Kampung Telaga Papan (Setiu), Dataran Masjid Tok Jembal (Kuala Nerus), pekarangan Surau Al-Iman, Losong Panglima Perang (Kuala Terengganu), pekarangan Masjid Pengadang Baru (Marang), Dewan Sivik Ajil (Hulu Terengganu), Dewan Arena Merdeka (Dungun) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Permai (Kemaman).
Beliau berkata, program itu bertujuan menyediakan barangan keperluan pada harga berpatutan menjelang perayaan, selain dimeriahkan dengan penyertaan rakan strategik yang menawarkan pelbagai kelengkapan raya termasuk kuih-muih tradisional, pakaian dan aksesori.
Sementara itu, seorang peniaga BRR, Mohamad Nasaruddin Zulkepli, 33, berkata beliau yang mula berniaga sejak 2020 menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Beliau berkata, pelbagai jenis kuih dijual di gerainya pada harga serendah RM5 ke bawah antaranya gula Melaka, puteri mandi, sagu kelapa, agar-agar, koleh kacang, seri kaya, seri muka, puding gula hangus, kasidah dan karipap.
“Saya turut dibantu dua sepupunya dalam mengusahakan gerai berkenaan,” ujarnya. – Suara Timur
KEMAMAN: Tindakan sebuah kapal tanker bersauh tanpa kebenaran di perairan Kemaman membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman dalam rondaan Op Khas Pagar Laut dan Op Tiris 3.0 di perairan Kemaman, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, penahanan dilakukan kira-kira pukul 1.35 petang selepas aset ronda Maritim Malaysia mengesan aktiviti mencurigakan pada kedudukan 4.46 batu nautika timur Teluk Penunjok di sini.
Menurut beliau, kapal terbabit dikesan melalui sistem radar sebelum pasukan operasi menghampiri dan menjalankan pemeriksaan.
KAPAL tanker yang ditahan Maritim Malaysia selepas bersauh tanpa kebenaran di perairan Kemaman, semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal berkenaan dikendalikan lima kru termasuk seorang tekong warga Indonesia berusia antara 26 hingga 52 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, kapal tanker tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, beliau memberitahu, dua kru bersama dokumen dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut, manakala tiga lagi kru kekal di atas kapal dan diiring ke lokasi selamat oleh aset Maritim Malaysia.
Abdul Halim menegaskan, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkat bagi memastikan perairan negara sentiasa berada dalam keadaan selamat serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan. – Suara Timur