Halaman

Sabtu, Jun 21, 2025

KRT ejen perpaduan antara masyarat setempat

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bukan sekadar berperanan untuk menjaga keselamatan di kawasan kejiranan, malah turut menjadi ejen perpaduan antara masyarakat setempat.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator K. Saraswathy berkata, KRT yang mula ditubuhkan pada 1975 dan mencapai usia 50 tahun pada tahun ini, kini telah berkembang daripada rondaan keselamatan kepada satu gerakan akar umbi yang menyentuh pelbagai aspek kejiranan, kesejahteraan sosial, pendidikan, ekonomi komuniti dan pemuliharaan budaya.

“Rukun Tetangga bergiat aktif dalam menyatukan perpaduan termasuk di media sosial, anggota rukun tetangga turut memainkan peranan termasuk di mana-mana sahaja yang mungkin akan berlaku ketegangan antara kejiranan.

K. SARASWATHY

“Anggota rukun tetangga juga bersama pihak polis berperanan untuk menyelesaikan pelbagai isu yang timbul,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri Terengganu di Arena Squera Chukai, di sini, hari ini.

Sambutan Minggu Perpaduan peringkat Negeri Terengganu, ini adalah negeri yang keenam berlangsungnya bermula dari Negeri Melaka, kemudian diikuti oleh negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah, Perlis, dan Johor, dan Terengganu.

Perancangan program Sambutan Minggu Perpaduan ini untuk memberi kesedaran kepada rakyat bahawa kita harus memperkukuhkan lagi perpaduan di antara kaum di negara ini.

Saraswathy berkata, ia dapat dilihat, sebahagian daripada pengisian program ini ialah Rumah Kita yang mempersembahkan rumah kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain, bertujuan memperkenalkan cara hidup, budaya dan makanan kaum-kaum. Ini memberi satu bentuk kesedaran kepada masyarakat.

“Keseluruhan program ini adalah berteraskan kepada konsep faham, hormat dan terima, seperti yang ditekankan oleh Kementerian Perpaduan Negara,’ ujarnya.

Saraswathy berkata, sehingga kini, terdapat 8,565 KRT yang berdaftar di seluruh negara dengan disertai pelbagai peringkat usia.

Menurutnya, kementeriannya melakukan pelbagai aktiviti untuk menggalakkan penyertaan golongan belia dalam KRT.

“KRT bukan hanya disertai golongan dewasa, malah kita sangat galakkan golongan belia menyertai KRT dan kita turut mengadakan pelbagai program untuk menarik golongan ini.

“Perpaduan perlu dijadikan sebagai budaya hidup, bukan hanya semangat bermusim dan kita perlu sama-sama menjunjung prinsip Rukun Negara dengan mengamalkan nilai faham, hormat dan terima,” katanya. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.