Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN : Seorang kontraktor ditemukan mati dengan kesan kelar pada leher dan pergelangan tangan kirinya berhampiran kawasan tapak pembinaan perumahan rumah teres di Taman Madani, Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mayat mangsa yang berusia lingkungan 40an itu ditemukan terbaring di atas tanah dengan berlumuran darah, bersebelahan pintu penumpang hadapan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang di parkir di tepi jalan
kira-kira pukul 3.15 petang.
“Pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan kelar di pergelangan tangan kiri dan leher mangsa.
“Turut ditemui, sebilah pisau pemotong kertas berhampiran mayat mangsa,” katanya di sini, malam ini.
Maizura berkata, setakat ini, punca kematian mangsa yang berasal dari Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur itu masih dalam siasatan dan pihak forensik turut melakukan siasatan lanjut sama ada wujud unsur jenayah.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penduduk, Mohd Syukri Mamat, 35, berkata, dia terkejut apabila melihat lelaki yang sedang terbaring di tepi jalan dengan berlumuran darah.
“Saya dan rakan saya melalui kawasan projek perumahan ini untuk menghantar makanan kepada rakan.
“Pada awalnya kami nampak orang terbaring tepi kereta, kami ingatkan dia tidur atau kereta rosak sebab enjin kereta masih hidup. Bila kami hampiri lelaki itu, memang terkejut tengok badannya berlumuran darah. Saya terus hubungi polis,” katanya. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.