Penantian penduduk terjejas banjir diami rumah PPK hampir tercapai
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Penantian penduduk di kawasan terjejas banjir di Kampung Air Putih di sini untuk mendiami rumah yang bebas banjir hampir tercapai selepas Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah ( Ketengah) akan memajukan semula projek perumahan Program Pemajuan Kawasan (PPK) yang terbengkalai di kampung itu kira-kira dua tahun lalu.
Pengerusi Ketengah, Datuk Rozi Mamat berkata, projek tersebut projek itu dijangka akan dilaksanakan sebaik sahaja kontraktor menerima surat kelulusan tambahan peruntukan berjumlah kira-kira RM3 juta.
Menurutnya, projek yang bermula sejak 16 Oktober 2019 itu mengalami kelewatan akibat pelbagai kekangan termasuk pandemik Covid-19, penyelarasan pematuhan syarat-syarat baharu agensi teknikal dan pertambahan skop kerja.
“Kontraktor projek perumahan Program Pemajuan Kawasan (PPK) Kampung Air Putih di sini diberi tempoh enam bulan untuk menyiapkan keseluruhan pembinaan rumah berkenaan yang sepatutnya siap tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas meninjau di tapak projek tersebut di sini, hari ini.

Turut serta, Pengurus Besar Ketengah, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.
Terdahulu, Suara Timur melaporkan penduduk kecewa apabila projek perumahan terbengkalai hampir dua tahun.
Rozi memberitahu, projek di bawah kelulusan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu melibatkan pembinaan 185 unit rumah, surau, tadika dan padang permainan di kawasan seluas 16.8 hektar.
“Projek ini bertujuan menempatkan semula penduduk kampung yang terdedah kepada bencana alam, isu keselamatan dan risiko kesihatan serta mereka yang tinggal di kawasan penempatan tidak sesuai.
“Selain itu, manfaat turut disasarkan kepada golongan miskin, miskin tegar (berdasarkan data e-Kasih) serta golongan berpendapatan rendah (B40) yang memenuhi kriteria kelayakan,” katanya.
Beliau menambah, proses kemasukan penduduk ke rumah tersebut hanya boleh dibuat selepas urusan penyerahan dan kelulusan melibatkan Ketengah, pejabat daerah serta agensi teknikal lain.
“Apa yang penting sekarang, kita siapkan dulu. Selepas diserahkan kepada Ketengah, barulah proses seterusnya boleh dibincangkan.
“Kita juga mahu percepatkan kemasukan kerana jika rumah dibiarkan kosong terlalu lama, banyak kerosakan boleh berlaku,” katanya. – Suara Timur

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.