Halaman

Jumaat, November 21, 2025

Polis adakan ‘Spot Check’ di SK Sri Paka

 

Polis adakan ‘Spot Check’ di SK Sri Paka

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Polis mengadakan pemeriksaan mengejut ‘Spot Check’ terhadap murid di
Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Paka dekat sini sempena Program Kerjasama Strategik Pencegahan Jenayah, semalam.

Pemeriksaan mengejut itu diketuai Ketua Polis Daerah Dungun, Supt. Maizura Abdul Kadir dan disertai bersama pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun.

Menurut Maizura, program tersebut yang dianjurkan  Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun bersama PPD Dungun sebagai langkah proaktif memperkukuh kawalan keselamatan dan ketenteraman persekitaran sekolah.

Katanya, program ini menjadi wahana menyampaikan nasihat dan panduan kepada pelajar berkaitan isu disiplin, buli, vandalisme, penyalahgunaan gajet serta gejala sosial yang boleh merosakkan masa depan.

MAIZURA Abdul Kadir menyampaikan ucapan pada Program Kerjasama Strategik Pencegahan Jenayah di SK Sri Paka, Dungun, semalam.

“Ia turut menyokong inisiatif penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ), Kor Kadet Polis dan Duta Sahsiah Murid sebagai ejen perubahan dalam membentuk komuniti sekolah yang selamat, beretika dan berdaya tahan.

“Sesungguhnya, program ini mencerminkan semangat kerjasama erat antara pasukan keselamatan dan institusi pendidikan, menjunjung tinggi gagasan keramat ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya pada program itu.

Turut hadir Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, ASP Mohd Azlan Md Yusoff dan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Yusma @ Abd Mubin Yusof @ Mustapar.

Maizura memberitahu, pda program itu, seramai 1,081 orang pelajar turut menyaksikan demonstrasi seni mempertahankan diri T-Baton oleh pasukan polis.

“Demonstrasi tersebut  bukan sahaja mempamerkan kecekapan taktikal anggota, malah membangkitkan keyakinan awam terhadap keupayaan PDRM dalam menjaga keselamatan komuniti. – Suara Timur

Rabu, November 19, 2025

Penantian penduduk terjejas banjir diami rumah PPK hampir tercapai

Penantian penduduk terjejas banjir diami rumah PPK hampir tercapai

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Penantian penduduk di kawasan terjejas banjir di Kampung Air Putih di sini untuk mendiami rumah yang bebas banjir hampir tercapai selepas Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah ( Ketengah) akan memajukan semula projek perumahan Program Pemajuan Kawasan (PPK) yang terbengkalai di kampung itu kira-kira dua tahun lalu.

Pengerusi Ketengah, Datuk Rozi Mamat berkata, projek tersebut projek itu dijangka akan dilaksanakan sebaik sahaja kontraktor menerima surat kelulusan tambahan peruntukan berjumlah kira-kira RM3 juta.

Menurutnya, projek yang bermula sejak 16 Oktober 2019 itu mengalami kelewatan akibat pelbagai kekangan termasuk pandemik Covid-19, penyelarasan pematuhan syarat-syarat baharu agensi teknikal dan pertambahan skop kerja.

“Kontraktor projek perumahan Program Pemajuan Kawasan (PPK) Kampung Air Putih di sini diberi tempoh enam bulan untuk menyiapkan keseluruhan pembinaan rumah berkenaan yang sepatutnya siap tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas meninjau di tapak projek tersebut di sini, hari ini.

KEADAAN rumah penempatan mangsa banjir menerusi program PKK Kampung Air Putih, Kemaman yang terbengkalai kira-kira dua tahun lalu. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Turut serta, Pengurus Besar Ketengah, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Terdahulu, Suara Timur melaporkan penduduk kecewa apabila projek perumahan   terbengkalai hampir dua tahun.

Rozi memberitahu, projek di bawah kelulusan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu melibatkan pembinaan 185 unit rumah, surau, tadika dan padang permainan di kawasan seluas 16.8 hektar.

“Projek ini bertujuan menempatkan semula penduduk kampung yang terdedah kepada bencana alam, isu keselamatan dan risiko kesihatan serta mereka yang tinggal di kawasan penempatan tidak sesuai.

“Selain itu, manfaat turut disasarkan kepada golongan miskin, miskin tegar (berdasarkan data e-Kasih) serta golongan berpendapatan rendah (B40) yang memenuhi kriteria kelayakan,” katanya.

Beliau menambah, proses kemasukan penduduk ke rumah tersebut hanya boleh dibuat selepas urusan penyerahan dan kelulusan melibatkan Ketengah, pejabat daerah serta agensi teknikal lain.

“Apa yang penting sekarang, kita siapkan dulu. Selepas diserahkan kepada Ketengah, barulah proses seterusnya boleh dibincangkan.

“Kita juga mahu percepatkan kemasukan kerana jika rumah dibiarkan kosong terlalu lama, banyak kerosakan boleh berlaku,” katanya. – Suara Timur

Ubi keledek laris di musim tengkujuh

 

Ubi keledek laris di musim tengkujuh

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Setiap kali menjelang musim tengkujuh, ubi keledek pasti menjadi juadah pilihan masyarakat Pantai Timur khususnya di negeri ini.

Kesempatan itu diambil  oleh petani menjual ubi keledek yang ditanam bagi menambah pendapatan.

Seorang petani, Tengku Zulkarnain Tengku Man dari Kampung Shukor, Hulu Dungun, dekat sini berkata, jualan ubi keledek laris pada musim tengkujuh kerana amat sesuai dimakan ketika musim hujan.

TENGKU Zulkarnain Tengku Man mengangkut ubi keledel yang tuai di di  Kampung Shukor, Hulu Dungun. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Malah, katanya, rasa ubi keledek lebih enak dimakan jika direbus.

Menurutnya, dia mula mengusahakan tananam ubi keledek kira-kira tiga tahun lalu selepas mendapati hasil jualan yang diperolehi tinggi.

“Saya menanam ubi keledek pada bulan September lalu dan hasilnya akan dituai apabila memasuki musim tengkujuh,” katanya di sini, hari ini.

SEBAHAGIAN ubi keledek yang dituai Tengku Zulkarnain Tengku Man di  Kampung Shukor, Hulu Dungun. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, tanaman ubi keledek dilihat dapat memberi peluang baharu untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

“Pada musim tengkujuh ini, saya mampu menuai hasil ubi keledek hampir lima tan dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan termasuk luar Terengganu,” ujarnya. – Suara Timur

25 buah rumah di Kampung Pasir Gajah rosak dibadai ribut

 

25 buah rumah di Kampung Pasir Gajah rosak dibadai ribut

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebanyak 25 buah rumah rosak di bahagian bumbung dalam kejadian ribut di Kampung Pasir Gajah, di sini, petang semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu menyebabkan hampir keseluruhan bumbung di deretan rumah teres itu diterbangkan angin.

Penduduk mendakwa kejadian itu merupakan kali kedua dan paling kuat berlaku sepanjang mereka menetap di situ sejak beberapa tahun lalu.

Salah seorang penduduk, Sabrina Nor Azmi, berkata ketika kejadian, dia yang baru sahaja tiba di kediamannya, melihat pusaran angin bewarna hitam datang dari arah kanan rumahnya.

PENDUDUK membaiki rumah yang rosak ditimpa ribut di Kampung Pasir Gajah, Kemaman.

Menurut Sabrina, waktu itu cuaca tidak hujan, namun dia melihat pusaran angin itu bergerak laju terus menyebabkan hampir keseluruhan bumbung rumah saya dan rumah jiran-jiran diterbangkan angin.

“Masa kejadian saya duduk dalam kereta, nak keluar, lepas itu saya tengok dengan angin datang dari sebelah kanan saya warna hitam,  berpusing perlahan-lahan dan kemudian sampai ke rumah saya, dalam sekelip mata atap rumah saya diterbangkan angin kencang.

Ujar Sabrina, selepas itu disusuli hujan lebat sehingga menyebabkan kediamannya dimasuki air dan keseluruhan perabot dan barangan rosak.

Pengerusi JPKK Kampung Pasir Gajah, Razali Omar (kiri) menurunkan atap bagi membaiki rumah mangsa ribut di Perumahan Awam Kos Rendah, Kampung Pasir Gajah, Kemaman, semalam

Seorang lagi penduduk, Noratikah Azmi berkata, dia takut melihat pusaran angin sebelum melihat bahagian bumbung diterbangkan angin kencang.

“Ya Allah nak keluar tak boleh sebab atap sedang jatuh. Ya Allah mengucap dan berdoa semoga dilindungi dan selamat,” katanya.

Seorang lagi mangsa ribut, Jamal Abdul Nasir Abdul Rahmat berkata, masa berlaku tu saya nak pergi ambik orang puan saya kerja tapi tak dang sampai tengah jalan tu tengok atap beterbangan, anak dengan menantu ada dalam rumah. Dia pun tadah tadah air dia pun. Saya pun mari sini, tak guna tadah la atas sebab atap berterbangan.

SABRINA Nor Azmi menunjukan atap rumahnya pecah dalam kejadian ribut di Perumahan Awam Kos Rendah, Kampung Pasir Gajah, Kemaman.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pasir Gajah, Razali Omar berkata, pihaknya bersama Pejabat Daerah Kemaman dan Pejabat Kebajikan Daerah telah mengenalpasti setiap kerosakan rumah dan sedang dalam proses pembaikian.

“Rumah yang terlibat setakat ini 25 buah rumah itu, sebanyal 23 rumah di Perumahan Awam Kos Rendah dan dua buah lagi di Kampung Laut.

“Bantuan membaiki kerosakan rumah mangsa sedang dijalankan menerusi peruntukan daripada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Tinjauan Suara Timur di lokasi kejadian pagi ini mendapati kebanyakan rumah terbabit mengalami kerosakan pada struktur bumbung dan siling manakala kerja-kerja pembaikian segera sedang dilakukan.  – Suara Timur

Penduduk kecewa projek rumah penempatan mangsa banjir terbengkalai

 

Penduduk kecewa projek rumah penempatan mangsa banjir terbengkalai

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: “Kami dah tak tahan menunggu terlalu lama, habis dah barang-barangan dalam rumah, lepas satu, satu yang rosak dan akhirnya tiada apa yang tinggal. Sekarang dah tak beli apa-apa, guna mana yang masih tertinggal,” katanya.

Itulah luahan hati seorang warga emas mangsa banjir Kampong Air Putih, Zaharah Omar, 80, yang kecewa apabila projek perumahan untuk penempatan mangsa banjir menerusi Program Pemajuan Kawasan (PPK) Kampung Air Putih masih terbengkalai sejak dibangunkan kira-kira tujuh tahun lalu.

Menurutnya, mangsa banjir Kampong Air Putih dan Kampong Teladas di sini selama ini berharap mereka dapat berpindah ke rumah baharu itu kerana mereka tidak sanggup untuk beepindah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setiap kali banjir yang berlaku hampir setiap tahun.

PROJEK perumahan untuk penempatan mangsa banjir menerusi program PKK Kampung Air Putih, Kemaman, yang dbina tujuh tahun lalu masih terbengkalai.

“Setiap tahun, penduduk terpaksa berpindah ke PPS apabila banjir melanda kediaman mereka dan mereka sedih apabila rumah yang disediakan untuk mereka masih terbengkalai,” katanya.

Zaharah berkata demikian kepada media selepas mengadakan himpunan aman di hadapan projek Program Pemajuan Kawasan Kampong Air Putih (PPK Air Putih) tersebut Khamis lalu.

Perhimpunan aman itu disertai lebih 30 orang mangsa banjir dari Kampong Air Putih dan Kampong Teladas.

ZAHARAH OMAR

Menurut Zaharah, kerja-kerja pembinaan rumah tersebut telah dihentikan sejak setahun lalu dan berada dalam keadaan terbiar.

“Keadaan itu bukan menjejaskan harapan mereka untuk tinggal di rumah yang selamat daripada banjir ,” ujarnya.

Rakan beliau, Rohana Ismail, 54, pula berkata, penduduk terkilan apabila mereka terpaksa berpindah-randah setiap kali banjir.

ROHANA ISMAIL

“Saya berharap pihak berkenaan supaya segera menyiap dan menyerahkan rumah tersebut kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli Sulong, 50, yang mewakili mangsa banjir Kampong Air Putih dan Kampong Teladas berkata, projek pembinaan rumah banjir untuk mangsa banjir ini dibina sejak tahun 2019 tetapi sehingga hari ini masih belum siap

“Tiap-tiap tahun kami penduduk Kampong Air Putih dan Kampong Teladas bimbang apabila tiba musim tengkujuh dan bersiap sedia berpindah ke PPS,” katanya.

MOHD ROSLI SULONG

Menurutnya, sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) kerajaan Terengganu telah mengadakan majlis pecah tanah dan meletak batu asas bagi pembinaan rumah banjir tersebut.

“Pada tahun 2019, pembinaan rumah penempatan banjir tersebut telah dimulakan tetapi sehingga kini status rumah tersebut tidak diketahui.

“Saya merayu kepada kerajaan supaya mempercepatkan proses penyerahan rumah tersebut kepada penduduk seperti yang dijanjikan,” katanya.

Pada April 2018, akhbar melaporkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan membina 200 unit rumah teres yang dilengkapi kemudahan infrastruktur untuk mangsa banjir Kampong Air Putih dan sekitarnya dalam masa terdekat.

Selain rumah kediaman, Ketengah juga akan menyediakan kemudahan awam seperti Rumah Kedai Dua Tingkat, Surau, Bangunan Tadika dan Padang Permainan diatas tanah seluas 16.69 ekar berhampiran Dewan Orang Ramai Kampong Air Putih.

Program PPK Kampung Air Putih merupakan satu projek besar yang melibatkan peruntukan sebanyak RM25 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. – Suara Timur

Ahad, November 16, 2025

PASTI Raudhatul Athfal musnah terbakar

 

PASTI Raudhatul Athfal musnah terbakar

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebuah bangunan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Raudhatul Athfal, Chukai, di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Bagaimanapun ketika kejadian, seramai 46 pelajar dan empat guru wanita yang sedang menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bangunan berkenaan berjaya keluar dan diselamatkan penduduk berdekatan pusat berkenaan.

Komander Operasi Bertugas Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Saariah Hassan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Terengganu berkata, JBPM menerima panggilan pada pukul 10.06 pagi dan pihaknya terus menggerakan jentera ke tempat kejadian dan jentera sampai pukul 10.15 pagi yang jaraknya sejauh 6 kilometer.

Katanya, bangunan jenis separuh kekal dua tingkat di Kampong BakauTinggi musnah 70 peratus dalam kebakaran pukul 10 pagi.

ANGGOTA bomba memadam kebakaran di bangunan PASTI Raudhatul Athfal, Chukai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, operasi pemadaman dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman dan dibantu BBP Chukai dengan kekuatan anggota seramai 22 orang bersama sebuah jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan Light Fire Rescue Tender (LFRT), Compact Fire Fire Rescue Tender (CSRT) sebuah lori tangki dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Sebaik tiba di lokasi kebakaran, anggota bertindak memadam kebakaran menggunakan tiga aliran hose 300 kaki dengan lima pancutan dari pili bomba berhampiran. Kebakaran berjaya dikawal 30 minit kemudian,” katanya di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1 Natasya Maira Jamiluddin.

SAARIAH Hassan (tengah) ditemani Natasya Maira Jamiluddin (kanan) mengadakan sidang media membabitkan kebakaran TASKA Raudhatul Athfal, Chukai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau memambah, operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 11.30 pagi dan tiada mangsa yang terlibat.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya.

Seorang saksi di tempat kejadian yang enggan dikenali berkata, sebelum kebakaran, dia melihat kepulan asap dilihat keluar dari  tingkat atas bangunan berkenaan.

“Saya kemudian memaklumkan kepada guru-guru yang berada dalam bangunan itu sebelum mengarahkan semua pelajar untuk keluar menyelamatkan diri sebelum bertindak menghubungi pihak bomba,” ujarnya.- Suara Timur