Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seramai 50 orang pegawai pelbagai agengsi dan jabatan menyertai Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, latihan yang dijalankan selama tiga hari itu sebagai persediaan menghadapi Monson Timur Laut (MTL) tidak lama lagi.
Menurutnya, latihan itu melibatkan ulang kaji pemanduan bot dalam kalangan pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bagi meningkatkan kemahiran dalan pengendalian kemudahan tersebut.
“Latihan ini mendedahkan kepada mereka mengenai teknik mengendalikan bot, penyelamatan dan menghadapi kecemasan di dalam air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Timur selepas merasmikan program penutup Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) – Botman Siri 2 / 2025 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di Pantai Bukit Kuang, Jalam Zon Maritim Kemaman di sini, kelmarin.
Hadir sama, Tmbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Mohamad Wan Ja’afar dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Hanif Che Khalid.
Latihan itu dikendalikan oleh orang jurulatih awam bertauliah Engku Ahmad Shaiful Tengku Mohamad (Freelance Trainer @ Instructor) dan Amdan Abu Bakar dari Memerang Enterprise.
Mohd Razi memberitahu, peserta juga diberi latiham mengkaji tempat tempat yang dinaiki air pada penghujung tahun 2024 kerana trend banjir di daerah Kemaman dikatakan telah berubah berbanding 2023 dan 2024.
“Kita bawa mereka ke kawasan-kawasan baru yang dinaiki air untuk mereka mengetahui dan memahami bentuk muka bumi di kawasan yang berlaku banjir pada hujung tahun lepas,” ujarnya.
Beliau menambah, latihan itu turut melibatkan beberapa agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Bantuan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).
“Kerjasama ini dapat memantapkan lagi agensi penyelamat bagi menghadapi MTL agar operasi menyelamat berjalan dengan teratur, tersusun dan lancar.
“Walaupun setiap agensi mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berbeza, kita mahu memastikan operasi menyelamat yang dijalankan kelak berjalan lancar,” katanya. – Suara Timur