MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Rabu, Ogos 13, 2025

TDM umum bayar kongsi keuntungan RM1,164,670

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KUALA TERENGGANU: Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) mengumumkan pembayaran perkongsian keuntungan berjumlah RM1,164,670 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Jumlah ini adalah hasil daripada kejayaan Projek Tanaman Kelapa Sawit di Ladang Air Puteh, Mukim Tebak, Kemaman yang diuruskan secara bersama sejak hampir tiga dekad lalu.

TDM dalam satu kenyataan yang dihantar ke Suara Timur berkata, majlis penyerahan replika cek berlangsung di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Majlis penyerahan itu disaksikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri,  Datuk Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri, Datuki Mohd Azmi Mohamad Daham,  Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, serta pengurusan tertinggi TDM.

Penyerahan replika cek disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman @ Yusof.

Sementara itu, Najman berkata, usaha sama strategik antara TDM dan LTAWNT adalah contoh terbaik kolaborasi sektor korporat dan kerajaan negeri dapat memaksimumkan potensi industri perladangan negara.

Beliau berkata, kejayaan ini bukan sahaja memberikan pulangan kewangan yang mampan kepada kedua-dua pihak, tetapi juga menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat.

“Projek yang diusahakan oleh TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) melibatkan pengurusan kawasan seluas 1,336 hektar milik LTAWNT di Ladang Air Putih, Kemaman sejak perjanjian dimeterai pada tahun 1996,” katanya.

Menurut Najman, kejayaan berterusan ini membuktikan kekuatan model perniagaan TDM yang mampu mengekalkan prestasi positif walaupun berdepan cabaran harga komoditi global yang tidak menentu.

“Selain memberi pulangan kewangan yang signifikan, TDM turut menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam meningkatkan produktiviti tanah terbiar, memacu kelestarian pertanian melalui amalan perladangan mampan, serta memperkukuh kedudukan Terengganu dalam rantaian nilai industri sawit.

“Usaha ini selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 30) yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif, kesejahteraan rakyat, dan kelestarian alam sekitar,” ujarnya

Sebagai kumpulan yang berteraskan sektor perladangan dan penjagaan Kesihatan, TDM kekal komited untuk meningkatkan kecekapan operasi, meneroka peluang baharu, dan memastikan setiap projek yang dijalankan memberi impak positif kepada negeri dan masyarakat.

Dengan landasan kukuh ini, TDM yakin usahasama bersama LTAWNT akan terus berkembang sebagai pemangkin kemakmuran ekonomi negeri Terengganu pada masa hadapan. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.