MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Ogos 09, 2025

Pengawal keselamatan lemas ketika menangkap ikan di Pantai Telekom Kemasik

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di daerah ini ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti menangkap ikan bersama dua rakannya di Pantai Telekom Kemasik, di sini, kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa, A. Zani Ghazali, 51, bersama dua rakannya dikatakan telah menaiki bot dan menyelam di kawasan unjam kira-kira pukul 10 pagi.

Ketika kejadian, mangsa bersama seorang rakannya menyelam beberapa kali untuk menangkap ikan dan sotong, sementara seorang lagi rakannya berada di atas bot.

Mangsa dikatakan dilihat tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika melakukan selaman itu dan kedua-dua rakannya bergegas membawa mangsa ke daratan sebelum menghubungi pasukan penyelamat untuk bantuan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairulhasni Mokhtar berkata, sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.42 tengah hari.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa telah dibawa naik ke tepi pantai dan pasukan perubatan cuba memberi rawatan bantuan pernafasan, bagaimanapun mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman,” katanya. – Suara Timur

1S1S efektif banteras kes buli di sekolah

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Pelaksanaan program Satu Sekolah Satu Silat (1S1S) boleh menjadi satu langkah efektif ke arah membanteras kes buli di sekolah di samping menjadi landasan bagi melahirkan atlet silat berpotensi di pentas antarabangsa.

Pelaksanaan program itu yang kini sudah hampir lapan tahun menjadikan seni silat sebagai aktiviti sukan utama membabitkan penyertaan menyeluruh murid tanpa mengira latar belakang mereka.

Pengerusi program, Bibi Aisyah Golbal Shah berkata, melalui pendekatan itu pelajar bukan setakat belajar seni mempertahan diri malah berupaya membina disiplin, rasa hormat, dan setia kawan.

SEBAHAGIAN daripada ahli silat yang hadir pada pada program Malam Silaturahim Satu Sekolah Satu Silat, peringkat Negeri Terengganu dan Peluncuran Pewaris Silat Malaysia, di Kemaman malam tadi. – GAMBAR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau yang juga Setiausaha Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), berkata, pengisian latihan yang dapat membentuk sahsiah pelajar sekali gus mengurangkan berlakunya buli.

Menurutnya, di gelanggang, tiada jurang antara umur atau latar belakang dan setiap gerakan silat mengajar erti hormat, setiakawan dan keberanian serta nilai-nilai adab manusia.

“Penganjuran pertandingan seni silat di peringkat sekolah, daerah dan negeri akan menjadi pentas dalam mencungkil bakat baharu yang berpotensi mewakili negara dalam kejohanan dunia,” katanya.

AKSI yang dipamerkan ahli silat yang membuat persembahan pada program Malam Silaturahim Satu Sekolah Satu Silat, peringkat Negeri Terengganu dan Peluncuran Pewaris Silat Malaysia, di Kemaman, malam tadi. – GAMBAR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian pada program Malam Silaturahim Satu Sekolah Satu Silat, peringkat Negeri Terengganu dan Peluncuran Pewaris Silat Malaysia, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Pesaka, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omar Din, Pengerusi Persatuan Pewaris Silat Malaysia, Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin, Setiausaha  Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Abdul Razak Muda.

Sementara itu, Abdul Razak pula berkata, pihaknya berharap lebih banyak lagi sekolah mewujudkan silat sebagai satu wadah untuk menjaga warisan budaya kita, disamping memelihara atau membina karekter murid. – Suara Timur

Jumaat, Ogos 08, 2025

Kes pukul, buli: Enam pelajar sekolah menengah agama direman

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Enam pelajar sebuah sekolah menengah agama bantuan kerajaan di daerah ini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pukul dan buli seorang pelajar lelaki tingkatan tiga, Julai lalu.

Perintah tahanan reman terhadap pelajar tingkatan empat itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan kesemua suspek berusia 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam selepas hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bagi membantu siasatan.

Menurut Superintenden Mohd. Razi, mangsa yang berusia 15 tahun itu mendakwa dibuli dan dipukul di dalam bilik asrama oleh kesemua suspek terbabit kira-kira jam 1.30 pagi pada 30 Julai lalu di hadapan beberapa pelajar lain.

Dalam kejadian itu, pengadu mendakwa telah mengalami kecederaan ringan pada bahagian badan selepas dipercayai dipukul beberapa suspek terbabit.

Sehubungan itu, pengadu telah tampil membuat laporan polis pada 3 Ogos sebelum kesemua suspek terbabit ditahan pada Khamis.

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. – Suara Timur

Khamis, Ogos 07, 2025

Jurutera syarikat swasta rugi RM114,000 terpedaya penyamaran tipu panggilan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang jurutera sebuah syarikat swasta mengalami kerugian RM114,000 setelah terpedaya dengan penyamaran tipu panggilan pada Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, suspek berusia 31 tahun telah menerima satu panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai AMLA dan pegawai polis.

Menurutnya, suspek mendakwa mangsa terlibat dalam sindiket keldai akaun.

“Ini menyebabkan mangsa melakukan lima transaksi pindahan wang bermula 6 Jun 2025 hingga 7 Jun 2025 berjumlah RM 114,000.00 ke dalam empat akaun bank yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Razi memberitahu, mangsa menyedari telah ditipu setelah suspek gagal dihubungi.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, hari ini.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – Suara Timur