Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di daerah ini ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti menangkap ikan bersama dua rakannya di Pantai Telekom Kemasik, di sini, kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa, A. Zani Ghazali, 51, bersama dua rakannya dikatakan telah menaiki bot dan menyelam di kawasan unjam kira-kira pukul 10 pagi.
Ketika kejadian, mangsa bersama seorang rakannya menyelam beberapa kali untuk menangkap ikan dan sotong, sementara seorang lagi rakannya berada di atas bot.
Mangsa dikatakan dilihat tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika melakukan selaman itu dan kedua-dua rakannya bergegas membawa mangsa ke daratan sebelum menghubungi pasukan penyelamat untuk bantuan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairulhasni Mokhtar berkata, sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.42 tengah hari.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa telah dibawa naik ke tepi pantai dan pasukan perubatan cuba memberi rawatan bantuan pernafasan, bagaimanapun mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman,” katanya. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.