MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Selasa, Ogos 12, 2025

Perhilitan rampas sembilan ekor burung dilindungi

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Hobi seorang lelaki memelihara burung dilindungi mengundang padah apabila ditahan dalam serbuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sebuah rumah di daerah ini, semalam.

Hasil serbuan itu, Perhilitan turut merampas sembilan ekor burung dilindungi di rumah tersebut.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, serbuan dilakukan empat anggota Perhilitan dan lima anggota polis marin itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang, hasil risikan pihaknya.

“Hasil serbuan, kita merampas sembilan ekor burung dilindungi iaitu dua ekor burung jenis Serindit dan tujuh ekor burung yang dilindungi sepenuhnya iaitu Bayan Puling.

“Kita turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang dipercayai menyimpan burung itu bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Kean Seong berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai memiliki hidupan liar itu sebagai hobi.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 60(1) dan Seksyen 68(1) di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya. – Suara Timur

Isnin, Ogos 11, 2025

Kejohanan Badminton Semarak Merdeka MAYC Kemaman sempena Bulan Kemerdekaan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kawasan Kemaman akan menganjurkan Kejohanan Badminton Semarak Merdeka MAYC Kemaman sempena Bulan Kemerdekaan 2025.

Urusetia program, Amirah Afiqah Syahir Jalaluddin dalam kenyataan kepada Suara Timur berkata, kejohanan tersebut akan diadakan pada Sabtu 23 Ogos hadapan bertempat di Summer Sport Badminton Centre (Sebelah E-Bundle), Jalan Kubang Kurus, Chukai.

Menurutnya, penyertaan dibahagi kepada tiga kategori iaitu, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran dan setiap peserta hanya boleh bermain untuk satu kategori sahaja.

AMIRAH AFIQAH SYAHIR

“Syarat peyertaan, peserta mesti berumur 18 hingga 38 tahun dan beralamat di Kemaman. Pemain yang sedang atau pernah bermain Sukma, Negeri dan Kebangsaan tidak dibenarkan,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Amirah Afiqah, yuran penyertaan bagi beregu lelaki RM50.00, beregu wanita RM30.00 dan beregu campuran RM30.00 dan bayaran boleh dibuat melalui akaun 563028602945 (Maybank) atas nama Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kawasan Kemaman. Resit bukti pembayaran hendaklah dihantar kepada urusetia untuk direkodkan.

Katanya, hadiah yang ditawarkan bagi kategori beregu lelaki, Juara RM400.00, Naib Juara RM200.00 dan Tempat Ketiga RM100.00

Bagi kategori beregu wanita dan kategori beregu campuran, Juara RM200.00, Naib Juara RM100.00 dan Tempat Ketiga RM50.00.

“Kesemua peserta akan diberi sijil penyertaan dan pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik disediakan kepada pemain dan penonton,” ujar Amirah Afiqah.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Amirah Afiqah di talian 014-2997254 dan Uddin di talian 017-9705583. – Suara Timur