MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Khamis, September 04, 2025

50 penduduk RMTS Binjai ikuti program PICC

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Seramai 50 orang penduduk Rumah Murah / Taman Semarak (RMTS) Binjai di sini mengikuti program Pharmacy Integrated Community Care (PICC) (Tuisyen Diatbetes) Sesi 3/2025 di Kabin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rumah Murah Binjai di sini, hari ini.

Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman dengan kerjasama Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Rumah Murah / Taman Semarak (RMTS) Binjai memberi pendedahan mengenai amalan gaya hidup sihat kepada kepada warga emas dan penerangan mengenai penyakit diabetes.

Pengerusi Kospen RMTS, Mohd Shahrir Abdul Rahman berkata, program PICC ini merupakan kali ketiga diadakan selepas sesi pertama dan kedua diadakan pada Julai dan Ogos lalu.

Menurutnya, program dimulakan dengan saringan kesihatan oleh Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) PKD Kemaman, diikuti dengan sesi senaman ringan (Stick Workout) serta ujian Body Composition Analysis yang dikendalikan oleh pasukan Fisioterapi PKD Kemaman.

Dari kiri Pengerusi Kospen RMTS, Mohd Shahrir Abdul Rahman, Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Shafik Abd. Majid dan Timbalan Pengarah Kesihatan (Farmasi) Negeri Terengganu, Rozita Awang sempena program PICC (Tuisyen Diatbetes) Sesi 3/2025  di Kabin KRT Rumah Murah Binjai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Program ini memberi fokus kepada penjagaan kesihatan komuniti melalui pendekatan pendidikan dan intervensi awal yang melibatkan pelbagai aktiviti seperti saringan kesihatan, pengenalan kepada konsep PICC, serta Ceramah Modul 1: Amalan Gaya Hidup Sihat,” katanya ketika ditemui Suara Timur di sini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan (Farmasi) Negeri Terengganu, Rozita Awang dan Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Shafik Abd. Majid.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Farmasi) Negeri Terengganu, Rozita Awang dan Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Shafik Abd. Majid turut mengadakan lawatan di dua buah rumah pesakit diabetes di Taman Semarak Binjai.

PESERTA program PICC (Tuisyen Diatbetes) Sesi 3/2025 mengikuti senaman ringan dikendalikan pasukan Fisioterapi PKD Kemaman di Kabin KRT Rumah Murah Binjai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Program ini telah melibatkan lebih 20 orang petugas kesihatan merangkumi Unit Farmasi, Unit NCD, Unit Dietetik dan Unit Fisioterapi serta sokongan daripada Urusetia Kospen RMTS dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) RMTS.

PICC merupakan inisiatif bagi mengoptimumkan rawatan diabetes pesakit di komuniti. PICC merangkumi aktiviti pengurusan ubat-ubatan, amalan gaya hidup sihat dan pengambilan diet yang seimbang. PICC dilaksanakan melalui kolaborasi pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan, pegawai farmasi, pegawai dietetik, pegawai sains pemakanan, jururawat, penolong pegawai perubatan, ahli fisioterapi serta wakil komuniti (contohnya Duta Kenali Ubat Anda dan Pasukan Sukarelawan KOSPEN).

Ujar Mohd Shahrir, peserta PICC juga diberi taklimat pengambilan ubat-ubatan antidiabetes oleh Pegawai Farmasi dan Pegawai Dietetik turut berkongsi maklumat pemakanan sihat khas untuk pesakit diabetes.

Katanya, Duta Kenali Ubat Anda (KUA) turut memainkan peranan aktif dalam menyampaikan maklumat penyimpinan ubat dengan menggunakan “Meditips” kepada para peserta, sekaligus memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai pengurusan ubat yang betul.

Sementara itu Timbalan Pengarah Kesihatan (Farmasi) Negeri Terengganu, Rozita Awang ketika ditemui berkata, Pharmacy Integrated Community Care (PICC) dalam bahasa mudahnya tuisyen diabetes atau tuisyen untuk pesakit kencing manis.

Katanya, PICC ni mempunyai empat sesi dan ini merupakan sesi ketiga dan sesi keempat akan diadakan pada bulan Oktober hadapan.

“Dalam empat sesi ini, kami akan bercerita kepada pesakit kencing manis bermula dari awal seperti apa itu kencing manis sehingga pesakit tahu jaga makan, jaga kaki dan sebagaimya,” jelasnya.

Menurutnya, PICC ini diwujudkan bertujuan bagi mendekati komuniti dengan cara turun dilapangan atau kampung – kampung berjumpa pesakit dan bukannya seperti dahulu pesakit dikehendaki hadir ke hospital atau klinik – klinik kesihatan yang berhampiran.

“Setiap sesi kita bagi penerangan yang berbeza seperti bermulanya kencing manis, jaga makan, kenali ubat dan cara melakukan senaman yang betul.

“Setiap peserta yang menyertai PICC ini diharap dapat mengikuti kesemua empat sesi bagi mendapat yang betul mengenai kencing manis.

“Ini merupakan PICC tahun keempat di Terengganu dan setiap daerah kita pilih satu kampung setiap tahun,” ujarnya. – Suara Timur

44 pelajar SMK Permai, Kemaman pelajari teknik kendali radio amatur

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 44 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permai di sini, teruja dapat mempelajari teknik mengendali radio amatur dan peralatan radas yang dikendalikan Kelab Radio Amatur dan Rekreasi (PEMANCAR) Negeri Terengganu.

PEMANCAR dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, pelajar terlibat diberi kesempatan mempelajari radio amatur sempena Program CQ MERDEKA 2025 Semangat Patriotisme Melalui Gelombang Udara PEMANCAR sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 tahun ini.

Program tersebut diadakan di Penyu Beach Camp, Pantai Mengabang Panjang, Batu Rakit, Kuala Nerus,  30 dan 31 Ogos lalu.

Pelajar tersebut diiringi empat guru pengiring diketuai Wan Abdul Ghani Wan Yusuf.

Presiden PEMANCAR, 9M2SUK Mohd Sukri Yaakop berkata, pelajar terlibat diberi penerangan mengenai etika operasi radio amatur, sesi pengenalan Radio HF, fungsi radio HF, antena, dan kawalan stesen serta demonstrasi pancaran dan penerimaan CQ dan membangunkan pengulang (repeater) apabila pengendali radio amatur mendapat lesen AA (lesen repeater) yang diiktiraf Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia.

Presiden PEMANCAR, 9M2SUK Mohd Sukri Yaakop memberi penerangan mengenai penggunaan radio amatur kepada pelajar SMK Permai, Kemaman pada Program CQ MERDEKA 2025 Semangat Patriotisme Melalui Gelombang Udara PEMANCAR sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 di Penyu Beach Camp, Pantai Mengabang Panjang, Batu Rakit, Kuala Nerus, baru baru ini.

Menurutnya, Jawatankuasa Teknikal PEMANCAR juga turut memberi penerangan mengenai pengenalan kelab radio, cara komunikasi yang berhemat menggunakan Q-Qode mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Konmunikasi dan Multimedia Malaysia.

Selain itu, katanya, PEMANCAR juga memberi penerangan ringkas mengenai Peperiksaan Radio Amatur (ORAE) bagi mendapat lesen kelas C, B dan A serta syarat kelayakan, kandungan ujian, cara daftar dan belajar.

Presiden PEMANCAR, 9M2SUK Mohd Sukri Yaakop

Mohd Sukri berkata, radio amatur adalah perkhidmatan radio komunikasi yang digunakan bagi tujuan latihan diri, perhubungan dan penyiasatan teknikal yang dijalankan oleh individu yang memegang lesen radio amatur.

“Pengendali radio amatur  dikenali sebagai “Ham Radio” dan terdapat lebih tiga juta pengendali di serata dunia dan mereka berpeluang berhubung di antara sama lain,” katanya.

Mohd Sukri memberitahu, ketika berlaku bencana, radio amatur amat berguna, terutamanya kepada agensi-agensi pasukan mencari dan menyelamat.

“Dalam keadaan darurat seperti bencana alam, peranan radio amatur amat menonjol di dalam memberikan kemudahan perhubungan bagi melancarkan tugasan,” ujarnya. – Suara Timur

Rabu, September 03, 2025

Padah merokok di kawasan larangan, lelaki dipenjara sebulan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berusia 26 tahun dijatuhkan hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kelmarin atas kesalahan merokok di kawasan awam pada Mac tahun lepas.

Berdasarkan fakta kes, lelaki tersebut melakukan kesalahan di kawasan awam Pantai Batu Buruk kejadian berlaku lebih kurang pukul 6 petang, pada 6 Mac 2024.

Kawasan peranginan itu diwartakan sebagai Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) iaitu kawasan larangan merokok sejak 1 Julai 2007.

Orang Kena Tuduh (OKT) didapati merokok di dalam kawasan larangan merokok iaitu di tepi Pagar Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, yang merupakan satu kesalahan dibawah peraturan 22(2) Peraturan-peraturan kawalan hasil tembakau 2004.

OKT mengaku bersalah di atas pertuduhan dan pihak pendakwa menawarkan kompaun sebanyak RM250, namum OKT gagal menjelaskannya dan memilih untuk dipenjarakan.

Pendakwaan kes dikendalikan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan (PPKPK) Alias Awang Kechik.

Majistret Yuhanis Mohd Roslan menjatuhkan hukuman satu bulan penjara atas permohonan OKT sendiri.

Pengunjung Pantai Peranginan Awam Batu Buruk itu dinasihatkan mematuhi larangan merokok di kawasan ini. – Suara Timur

Isnin, September 01, 2025

Lelaki Malaysia ditahan bawa senjata M16, ratusan peluru di Sadao

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

SADAO, SONGKHLA: Seorang lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas didapati membawa senjata api perang jenis M16 bersama ratusan butir peluru dalam kereta yang dipandunya ketika melalui sekatan polis di Sadao, Songkhla.

Media Thailand melaporkan, suspek yang berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.35 petang di sekatan jalan raya yang dijalankan oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao di bawah arahan Ketua Polis Sadao, Kol. Polis Surachit Phetchajom.

Laporan itu memberitahu, sekatan itu diadakan di Jalan Kanchanawanit Sadao–Danok, hadapan Pondok Polis Ban Danok, Mukim Samnak Kham, Daerah Sadao sebagai sebahagian daripada operasi pencegahan jenayah penyeludupan dadah serta ancaman keselamatan.

SENJATA api jenis M16 yang dirampas polis Thailand.

Ketika operasi, sebuah kereta sedan Kia putih bernombor pendaftaran Malaysia PPM5444 dilihat mencurigakan.

Polis menahan kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan, dan pemandunya disahkan sebagai Yeap Soon Eie.

Daripada pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menemui dua laras raifal M16, 300 butir peluru kaliber 5.56 mm, tujuh magazin peluru 5.56 mm, 100 butir peluru kaliber .45 mm dan 50 butir peluru kaliber 9 mm

Kesemua senjata dan peluru berkenaan telah dirampas sebagai barang kes untuk siasatan lanjut.

Setakat ini, pihak berkuasa masih menyiasat tujuan sebenar pemilikan senjata perang dan peluru dalam jumlah besar itu termasuk kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan jenayah atau rangkaian tertentu di kawasan sempadan.

Menurut polis, siasatan rapi sedang dijalankan oleh pegawai penyiasat Kapt. Polis Phairoj Wongthawin, Ketua Unit Siasatan Balai Polis Sadao, bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur ancaman keselamatan lebih besar. – Suara Timur

Ahli Parlimen Dungun terselamat MPV dipandu terbakar

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli terselamat selepas Kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya  musnah dalam kebakaran di Kilometer 330 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran susur masuk Plaza Tol Paka, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari, Wan Hasan bersama isteri Siti Zaliha Mohamad menaiki Toyota Vellfire dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang untuk pulang ke Dungun.

Wan Hasan berkata, setibanya di tempat kejadian, beliau menyedari kenderaan dipandunya mengalami masalah di bahagian enjin.

“Saya memperlahankan kenderaan dan ternampak lampu ‘check engine ‘ menyala di papan pemuka sebelum memberhentikan kenderaan.

“Sebaik berhenti, saya dibantu oleh seorang pengguna lebuh raya yang melihat bahagian bawah enjin berasap,” katanya ketika di sini, hari ini.

Katanya, beliau menghubungi Peronda Plus untuk meminta bantuan dan tidak lama kemudian enjin kenderaannya mula terbakar.

“Api semakin besar menyebabkan saya dan isteri tidak mampu berbuat apa-apa sebelum mengambil barangan penting dan menyelamatkan diri.

“Saya dan isteri pergi ke Perasing, Kemaman untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit, semalam sebelum mengambil keputusan bermalam di Kuantan.

“Pagi ini saya bertolak pulang ke Dungun dan tidak menyangka diuji dengan kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Rohaya Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari dan seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.25 tengah hari dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Suara Timur