MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, September 13, 2025

1,000 pendaki gunung, peminat sukan lasak sertai program cabaran larian gunung, Mount Berembun Climbathon Challenge

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seramai 1,000 pendaki gunung dan  peminat sukan lasak menyertai program cabaran larian gunung, Mount Berembun Climbathon Challenge (MBCC) di Taman Eko Rimba Chemerong, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, keindahan Gunung Berembun yang mempunyai tiga air terjun semulajadi iaitu Chemerong, Berembun dan Langsir yang berketinggian 1,038 meter dari paras laut menjadi tarikan peserta tempatan dan luar negara.

Menurutnya, program kali kedua yang dianjurkan Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) dan TAC Outdoor dengan kerjasama kerajaan negeri  mendapat sambutan menggalakkan.

RAZALI Idris (kanan) melepaskan peserta program cabaran larian gunung, Mount Berembun Climbathon Challenge (MBCC) di Taman Eko Rimba Chemerong, Dungun, hari ini.

Katanya, program berkenaan juga dapat memperkenalkan pelancongan sukan bagi membudayakan aktiviti riadah dan rekreasi keluarga.

“InsyaAllah, program ini akan diperluaskan lagi dengan lebih ramai penyertaan termasuk peserta dari luar negara kerana kita lihat program ini sememangnya berpotensi menarik lebih ramai pelancong,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelepasan peserta MBCC’25 dan Hari Hutan Antarabangsa di Taman Eko Rimba Chemerong, di sini, hari ini.

Razali berkata, langkah mempromosikan program itu juga seiring dengan penggalakan pelancongan tempatan seiring Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027.

RAZALI Idris (dua, kiri) meninjau ge (MBCC) di Taman Eko Rimba Chemerong sempena program cabaran larian gunung, Mount Berembun Climbathon Challenge (MBCC) di Dungun, hari ini.

“Program ini juga dapat memberi impak ekonomi kepada penduduk sekitar Hulu Dungun termasuk peniaga dan inap desa.

“Menerusi program ini juga kita dapat menggerakkan peranan Malim Gunung Perhutanan yang terlatih bagi memberi panduan dan membantu peserta program untuk pendakian gunung,” katanya.

Sementara itu, pengarah program, Mohd. Rafi Kori berkata, MBCC’25 merupakan acara berkonsep ‘trail run’ atau perlumbaan gunung yang dihidupkan semula dengan membawa elemen penghayatan alam semulajadi, sukan dan pelancongan kembara.

RAZALI Idris (kanan) menyiram pokok yang ditanam di Taman Eko Rimba Chemerong, di Dungun, hari ini.

“Tahun ini terdapat tiga kategori diperkenalkan iaitu kategori Cengal iaitu terbuka lelaki dan wanita dan veteran lelaki dan wanita; kategori Meranti iaitu tertutup lelaki dan wanita yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM13,000.

“Kita juga turut memperkenalkan kategori ‘Fun Trail’ atau kategori Nyatuh sejauh dua dan lima kilometer bagi memberi peluang kepada peserta untuk melakukan pendakian hutan secara santai,” katanya.  – Suara Timur

Khamis, September 11, 2025

MyChampion Kemaman sapu bersih empat kategori Anugerah MyChampion Peringkat Negeri Terengganu

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: MyChampion Kemaman menyapu bersih empat kategori yang disertai pada Anugerah MyChampion Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam.

MyChampion Kemaman dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, sebanyak lapan kategori dipertandingkan pada program tersebut yang berlangsung pada 9 hingga 10 September lalu.

Lapan kategori yang dipertandingkan adalah Anugerah Tokoh Khas Juri, Anugerah Pempengaruh Media Sosial, Anugerah Junior Harapan, Anugerah Intervensi Pengurusan Berat Badan, Anugerah Penggerak Komuniti Sihat, Anugerah Ikon Pasukan MyChampion, Anugerah Inovasi serta Anugerah Pengurusan Lokaliti Bersih dan Ceria.

Pegawai Pendidikan Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman selaku Penyelaras MyChampion Kemaman, Wani Syahira Abdul Wahid berkata, Daerah Kemaman melalui pasukan MyChampion Kemaman telah menghantar penyertaan dalam empat kategori berikut iaitu Anugerah Tokoh MyChampion, Anugerah Intervensi Pengurusan Berat Badan, Anugerah Ikon Pasukan MyChampion dan Anugerah Inovasi MyChampion.

PENGERUSI COMBI Daerah Kemaman Wan Norsuriya Wan Mokhtar (dua kiri) dan Penyelaras MyChampion Kemaman, Wani Syahira Abdul Wahid (dua kanan) bergambar pada Pertandingkan Anugerah MyChampion Peringkat Negeri Terengganu 2025, semalam di JKNT di Klinik Kesihatan Seberang Takir, Khala Nerus, semalam.

“Keputusan penjurian menyaksikan MyChampion Kemaman berjaya menyapu bersih kesemua empat kategori yang disertai, sekali gus mengharumkan nama daerah di peringkat negeri

“Pencapaian ini adalah hasil kerja keras, dedikasi dan komitmen tinggi seluruh pasukan MyChampion Kemaman yang tidak pernah mengenal erti penat lelah,” katanya.

HARTINI Sudi (kanan) membentang projek COMBI Bandar Baru Bukit Mentok Kemaman sempena Pertandingkan Anugerah MyChampion Peringkat Negeri Terengganu 2025 di JKNT,  Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam.

Menurut Wani Syahira, perjuangan tidak terhenti di sini dan MyChampion Kemaman kini akan membawa cabaran Negeri Terengganu ke Pertandingan Anugerah MyChampion Peringkat Kebangsaan dalam keempat-empat kategori yang dimenangi.

Pengerusi Communication for Behavioural Impact” atau “Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) Daerah Kemaman, Wan Norsuriya Wan Mokhtar memenangi Anugerah Tokoh MyChampion dan Projek Fit & Fabulous Influencer (FFI) COMBI Bandar Baru Bukit Mentok Kemaman memenangi Anugerah Intervensi Pengurusan Berat Badan.

“Anugerah Ikon Pasukan MyChampion dimenangi COMBI dan Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Taman Sri Kalongan Kemaman dan Anugerah Inovasi MyChampion dimenangi Projek Hentian COMBI Taman Perwaja,” ujarnya.

SITI Nur Maisarah Ismail (kanan) membentang projek COMBI Taman Sri Kalongan sempena Pertandingkan Anugerah MyChampion Peringkat Negeri Terengganu 2025  di JKNT, Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam.

Dalam pada itu, tambahnya, Anugerah Pempengaruh Media Sosial dimenangi oleh Kamarulazwan Kamarudin dari COMBI Daerah Setiu, Anugerah Junior Harapan (Annur Syifa’ Mohd Arif Fahmi, COMBI Daerah Marang), Anugerah Penggerak Komuniti Sihat (KOSPEN/KRT Daerah Dungun) dan Anugerah Pengurusan Lokaliti Bersih dan Ceria (COMBI/JPKK/KRT, Daerah Kuala Terengganu).

Beliau memberitahu, sesi penyampaian hadiah tersebut diadakan pada Majlis Perasmian Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Negeri Terengganu Tahun 2025 di Pentas Utama, Laman Payang 1 (Pasar Kedai Payang Zon A) pada 13 September.

Majlis penyampaian hadiah itu dijadual dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Zulkifli Ali. – Suara Timur

Selasa, September 09, 2025

Pelajar mengaku salah cederakan rakan kolej

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Dua pelajar lelaki berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan seorang rakan kolej mereka di sebuah kolej vokasional, Mei lalu.

Kedua-dua pelajar tingkatan lima itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin dalam prosiding tertutup.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan sengaja menumbuk badan, menyepak kaki dan punggung mangsa lelaki berusia 17 tahun di koridor asrama kolej berkenaan kira-kira 12.30 tengah malam pada 27 Mei.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan masing-masing diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 1 Oktober ini untuk laporan akhlak dan jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi manakala kedua-dua pelajar diwakili peguam Nurul Farhana Shamsudin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.  – Suara Timur

Tidak wajar lakukan serangan siber terhadap Dr Jessie -Dr Dzulkefly

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu erangan siber terhadap Pakar Patalogi Forensik, Dr Jessie Hui susulan keterangan yang dibuatnya mengenai inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, serangan terhadap pakar perubatan yang menjalankan tugas secara profesional adalah tidak wajar dan hanya akan mencemarkan martabat profesion perubatan di negara kita.

“Saya memandang serius isu pembulian siber yang menimpa Dr Jessie Hui.

“Saya ingin tegaskan setiap pihak harus menghormati proses kehakiman yang sedang berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Intan Minister’s Conversation Reformasi Pembiayaan Kesihatan di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Wilayah Timur, di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, dalam masa yang sama, pihaknya berharap integriti dan kredebiliti profesion perubatan yang berkhidmat berdasarkan fakta dan prinsip sains juga wajar dihormati dan diiktiraf.

“Kita boleh pertikai apa-apa sahaja, tak mengapa… tetapi sampai ke paras buli secara siber itu, bagi saya sangat tidak wajar,” katanya.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, Dr Jessie tampil membuat laporan polis selepas menerima ugutan di media sosial.

Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). – Suara Timur