MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Isnin, Disember 08, 2025

UMNO Kemaman lapor polis kaitkan Ahmad Said dengan laporan tidak benar

 

UMNO Kemaman lapor polis kaitkan Ahmad Said dengan laporan tidak benar

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : UMNO Bahagian Kemaman hari ini membuat laporan polis berhubung satu laporan media yang mengaitkan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan konflik antara kerajaan negeri dan Felda.

Setiausahanya, Rosli Ahmad berkata, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, selepas beliau dihubungi Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman, yang meminta laporan polis itu dibuat.

“Laporan yang ditulis dalam media itu tidak benar dan Datuk Seri Ahmad Said menafikan beliau telah membuat kenyataan sebagaimana yang dilaporkan media itu.

“Sebenarnya laporan media itu tidak betul, apa yang dijawab Datuk Seri Ahmad Said lain, kemudian ditulis lain dalam berita,” katanya ketika ditemui di perkarangan IPD Kemaman, hari ini.

Rosli berkata, pihaknya juga kesal apabila laporan itu kemudiannya disebarkan di media sosial oleh pihak tertentu untuk mendapat ‘mileage’ politik.

“Kenyataan ini kita dikira memfitnah dan boleh mencemar nama baik Datuk Seri Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia serta boleh menjejaskan hubungan antara dengan kerajaan Madani.

“Kita harap pihak yang tidak bertanggungjawab boleh padam balik posting-posting yang telah dibuat dalam tempoh tujuh hari ini. Jika tidak, kami akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Rosli berkata, pengamal media itu telah membuat permohonan maaf dan berjanji untuk membetulkan semula artikel tersebut,” katanya. – Suara Timur

Buruh maut dirempuh kereta di Bandar Kerteh

 

Buruh maut dirempuh kereta di Bandar Kerteh

KEMAMAN: Seorang buruh maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika keluar dari simpang lampu isyarat di Bandar Kerteh dekat sini petang semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.10 minit petang di Kilometer 113, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat Bandar Kerteh.

Dalam kejadian itu, mangsa Muhammad Tarmizi Muda, 36 tahun, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kerteh.

KEADAAN motosikal ditunggangi Muhammad Tarmizi Muda setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 113, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat Bandar Kerteh, semalam.

Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak dikatakan sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Pengkalan Ranggon ke Bandar Kerteh.

Ketika sedang membelok, sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu seorang lelaki dari arah Bandar Paka tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal ditunggang mangsa.

Akibat rempuhan itu mangsa tercampak beberapa meter ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.

Mohd Razi berkta, polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat. – Suara Timur

Ahad, Disember 07, 2025

Mangsa terjatuh di Jeti Geliga Che Ako ditemukan lemas

 

Mangsa terjatuh di Jeti Geliga Che Ako ditemukan lemas

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Seorang lelaki yang hilang selepas terjatuh ketika sedang memeriksa bot miliknya di Jeti Geliga Che Ako dekat sini Jumaat lalu ditemukan lemas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata mayat Muhammad Anuar Syhukrimi Mahmod, 31, ditemukan terapung di Sungai Kemaman sejauh 500 meter dari lokasi kejadian pada 9.05 pagi tadi.

“Mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat setelah operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada 7 pagi.

“Operasi SAR hari ini menggunakan teknik pencarian di permukaan air melibatkan beberapa buah bot pada jarak radius satu kilometer dari tempat kejadian menghala ke arah Kuala Kemaman,” katanya kepada Suara Timur hari ini.

Mohd Razi berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan lemas selepas dikatakan tergelincir di jeti tersebut pada 10 malam Jumaat lalu.

Bagaimanapun pihak bomba hanya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 2.26 petang semalam. – Suara Timur

Fenomena air pasang besar, berapa kampung di Kemaman dinaiki air

 

Fenomena air pasang besar, berapa kampung di Kemaman dinaiki air

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Beberapa kampung di daerah ini dinaiki air sedalam sehingga 0.3 meter susulan fenomena air pasang besar yang berlaku malam tadi.

Antara kawasan kediaman terbabit ialah Kampung Bakau Tinggi, Kampung Geliga Jambatan, Kampung Kuala Kemaman, Kampung Pengkalan Cicar dan Pulau Sekepeng.

Tinjauan di Kampung Bakau Tinggi bersama sepasukan sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman malam tadi mendapati kira-kira 80 peratus kawasan kediaman berkenaan dinaiki air sedalam sehingga 0.3 meter.

Sebatang jalan yang menghubungkan kampung berkenaan dengan Bandar Chukai turut dinaiki air dan ditutup kepada kenderaan kecil.

Menurut Penolong Penguasa Bomba Mohd Ridzuan berkata, di daerah Kemaman, bacaan tertinggi air pasang besar yang direkodkan iaitu 3.70 meter sekaligus mengakibatkan lima buah kampung berkenaan dinaiki air.

“Pemantauan hari ini dan semalam didapati paras air dalam keadaan terkawal dan jika ada sebarang perpindahan penduduk, pihak bomba akan bersiap siaga untuk sebarang perpindahan dan menyelamat.

“Kami bersama pasukan juga memberi nasihat kepada penduduk supaya behati-hati kalau boleh jangan keluar dari rumah untuk mengelakkan berlaku sebarang risiko,” katanya kepada Suara Timur hari ini.

Fenomena air pasang besar di sekitar daerah Kemaman bermula sekitar jam 10.30 malam dan kemuncaknya ialah kira-kira jam 12.00 malam tadi.

Mohd Ridzuan berkata, pemantauan akan dilakukan secara berterusan sehingga esok bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Di negeri Terengganu, sebanyak 41 buah kampung berhampiran 12 muara sungai dijangka dinaiki air susulan feneomena berkenaan bermula hari Khamis lalu hingga Selasa ini. – Suara Timur