KEMAMAN: Seorang lelaki berusia 33 tahun ditemukan meninggal dunia di tepi jalan di Kampong Ban Ho, Cherul dekat sini, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 6.45 petang mengenai penemuan mangsa.
Menurutnya, mangsa Mohamad Kamal Rizairi Ab. Fattah, dari Kampung Bunut Payong, Telekong, Kuala Krai, Kelantan merupakan seorang penyelia di salah sebuah lombong di kawasan tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati mngsa terbaring di tepi jalan berhadapan sebuah jentera berat lebih kurang 3 kilometer dari lombong.
“Mayat mangsa dibawa Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
“Hasil siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya.
Beliau menambah, kes diklafikasikan sebagai laporan mati mengejut. – Suara Timur
KEMAMAN: Seramai 583 graduan Ranaco Education and Training Institute (RETI) dan Ranaco Marine Sdn. Bhd. (RMSB) diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-14 Ranaco Education and Training Institute (RETI) dan Ranaco Marine Sdn. Bhd. (RMSB) di Dewan Dato’ Seri Tuan Guru, Darul Iman Training Centre (DITC), Telok Kalong, di sini, hari ini.
Pada majlis konvokesyen itu, seramai 370 orang menerima anugerah Sijil Kemahiran dan 213 orang menerima anugerah Diploma.
Graduan tersebut menerima anugerah Sijil Kemahiran Program Pipe Gas Insulation, Program Site Safety Supervisor Level 3, Program Food And Beverage Operation Service Level 2, Program Basic Culinary, Program Pipe & Rigger Fitter dan Program Deck Rating.
SEBAHAGIAN graduan yang menerima anugerah Sijil Kemahiran dan anugerah Diploma pada Majlis Konvokesyen Ke-14 RETI dan RMSB di Dewan Dato’ Seri Tuan Guru, Darul Iman Training Centre (DITC), Telok Kalong, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Anugerah diploma pula membabitkan Diploma in Maritime Management (DMM), Diploma in Marine Cargo Surveying (DMCS), Diploma in Logistics Supply Chain (DLSC), Diploma in Nautical Studies (DNS), Diploma in Offshore Engineering (DOE) dan Diploma in Occupational Safety and Health (DIOSH).
Majlis perasmian dan penyampaian anugerah disempurnakan oleh Canselor RETI, Kapten Abdul Aziz Abdullah.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco Group, Syafiq Asyraf Mohd Yusup, Ketua Eksekutif RETI Mislaiha A. Ghani dan Pengurus RMSB, Jasrin Mohd Radin.
KAPTEN Abdul Aziz Abdullah (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaam kepada Penerima Anugerah Kapten Ramlan dan Anugerah Perdana Tahun 2024, Muhammad Amirul Hadi Mat Ali (tengah) pada Majlis Konvokesyen Ke-14 RETI dan RMSB di Telok Kalong, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Bercakap kepada media, Syafiq Asyraf berkata, lebih 80 peratus graduan TVET, RETI di Kemaman telah berjaya mendapat pekerjaan sebelum mereka menamatkan pengajian.
Menurutnya, jumlah penerima anugerqh sijil dan diploma itu meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu sekaligus membuktikan graduan institut itu diterima bekerja sebelum mereka bergraduat.
KAPTEN Abdul Aziz Abdullah (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaam kepada Penerima Anugerah Kapten Ramlan Tahun 2025, Puteri Nurul Liyana Ibrahim (tengah) pada Majlis Konvokesyen Ke-14 RETI dan RMSB di Telok Kalong, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
“Ramai pelajar institut itu ditawarkan pekerjaan sejurus selesai menjalani latihan amali di pelbagai sektor industri dalam bidang TVET seperti sektor maritim dan perkapalan,” katanya.
Ujarnya, perkembangan itu juga membuktikan institut berkenaan telah mendapat tempat dan pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mempelajari bidang TVET.
Sehubungan itu, Syafiq berkata, RETI akan mengadakan kolaborasi dengan pelbagai pemain industri untuk menaja lebih ramai pelajar lepasan SPM yang kurang mampu untuk mempelajari bidang TVET di institut berkenaan. – Suara Timur
KEMAMAN: Seorang pekerja am Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 22, Jalan Chukai Air Putih berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih di sini pada pukul 8.30 malam tadi
Ketua Polis Daerah Kemaman, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, mangsa, Rusly Zahari, 58, yang cedera di kepala meninggal dunia di Hospital Kemaman pada pukul 8 pagi ini.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang tinggal di Kampung Tanah Lot Air Putih di sini, sedang menunggang motosikal jenis Honda dari Chukai ke Air Putih.
Bagaimanapun, katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang hilang kawalan lalu bertembung dengan tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sebelah kanan jalan sebelum terjatuh.
“Ekoran daripada kejadian tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan di kepala dibawa ke Hospital Kemaman dirawat unit kecemasan zon kuning.
“Pada pukul 8 pagi tadi, saya terima panggilan telefon dari Unit Forensik Hospital Kemaman maklum mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat Seksyen 41(1) APJ 1987. – Suara Timur
KEMAMAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman akan membuat penutupan jalan secara kekal dan berperingkat di beberapa kawasan bagi melancarkan perjalanan sempena Tour Gateh D’Tranung 2025 di daerah ini, Khamis depan.
IPD Kemaman dalam satu kenyataan kepada media berkata, perlumbaan Tour Gateh D’Tranung bagi peringkat 4 di daerah ini melibatkan penutupan jalan secara kekal bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang di Jalan Padang hingga Simpang Pejabat Agama Daerah Kemaman dan Jalan Melor (hadapan Wisma Persekutuan Kemaman).
Sementara itu, penutupan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan pada pukul 10 pagi hingga 4 petang.
MOHD RAZI ROSLI
Antara jalan yang terlibat seperti, Bandar Chukai – Stesyen Bas Chukai – Jalan Jakar – Jalan Geliga, Jalan Mak Lagam – Jalan Jerangau/Jabor, Jalan Chukai – Air Putih, Jalan Paman – Jalan Ibok, Jalan Payoh -Air Jernih, Jalan Semayor – Kampung Chabang, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan.
Turut ditutup secara berperingkat Jalan Lama Kijal hingga Lampu Isyarat Eastern Steel dan dari Lampu Isyarat Eastern Steel hingga Lampu Isyarat Enjin Gergaji.
Pengguna yang ingin ke Kuala Terengganu, mereka boleh menggunakan laluan alternatif Bandar Chukai – Lampu Isyarat Mak Chili – Jalan Rahmat (Lot 144) – Jalan Pengkalan Sir – Bukit Kuang / Dungun.
Bagi mereka yang datangnya dari Kuantan, mereka dinasihatkan mengguna laluan Kuantan / Geliga – Lampu Isyarat Sekolah Menengah Chukai – Jalan Bukit Mentok – Lampu Isyarat PSM – Binjai / Tol Chukai Atau Jalan Mak Chili – Ibok – Dungun.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli menasihati pengguna jalan raya agar merancang perjalanan dan mematuhi arahan yang diberikan oleh pegawai polis bertugas dari masa ke semasa demi memastikan kelancaran lalulintas.
Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di talian 09-8591999. – Suara Timur
KEMAMAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) menyalurkan peruntukan RM500,000 kepada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bagi melaksanakan projek cadangan tapak kenderaan rekreasi (RV) di daerah ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Fadli Yusof Zakaria berkata, penyediaan tapak RV ini merupakan satu lagi usaha berterusan di bawah inisiatif PLANMalaysia untuk memperkukuh perancangan dan pembangunan kawasan rekreasi di negara kita.
“Projek ini dilaksanakan selaras dengan garis panduan perancangan kawasan rekreasi, yang menjadi panduan utama dalam memastikan setiap pembangunan rekreasi dilaksanakan secara terancang, selamat dan lestari,” katanya.
KENDERAAN rekreasi yang diletakkan di tapak kenderaan rekreasi di Telaga Simpul, Pantai Marina, Teluk Kalongdi sini, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian tapak kenderaan rekreasi di Telaga Simpul, Pantai Marina, Teluk Kalong di sini, hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatakuasa Infrastuktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Datuk Hanafiah Mat.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan dan Pengurus Operasi Nomadix Camper Park, Hamdan Abu Bakar.
HANAFIAH Mat (tengah) bergambar selepas Majlis Perasmian Tapak Kenderaan Rekreasi di Telaga Simpul, Pantai Marina, Teluk Kalong, Kemaman, hari ini. – MUKHATAR A. RAHMAN
Fadli Yusof memberitahu, inisiatif penyediaan tapak RV ini bertujuan menyediakan kemudahan mesra pelancong dan keluarga khususnya kepada pengguna kenderaan rekreasi atau caravan yang kini semakin mendapat sambutan di Malaysia.
“Selain memberi pilihan gaya pelancongan baharu, ia juga mampu merancakkan aktiviti ekonomi tempatan, terutamanya kepada komuniti setempat yang terlibat dalam sektor perniagaan kecil, inap desa dan perkhidmatan pelancongan,” katanya.
Fadli Yusof menambah, projek ini adalah hasil beberapa siri perbincangan dan mesyuarat bersama Ibu Pejabat PLANMalaysia, PLANMalaysia Negeri Terengganu dan MPK, bagi memastikan reka bentuk, fungsi serta pelaksanaan tapak ini benar-benar memenuhi keperluan semasa dan potensi jangka panjang kawasan pantai ini.
PEMBUKAAN tapak kenderaan rekreasi merancakkan aktiviti ekonomi tempatan,
Beliau berharap dengan peruntukan ini, kemudahan yang dibangunkan dapat memberi manfaat besar kepada penduduk setempat serta menjadi contoh kepada pelaksanaan projek seumpamanya di negeri-negeri lain.
“Besar harapan kami agar selepas ini banyak lagi peruntukan pembangunan, pelancongan atau pemuliharaan baharu diluluskan di Terengganu dan pihak kerajaan negeri akan membantu sebaik yang mungkin bagi menjayakan pelaksanaannya,” katanya.
Sementara itu, Hanafiah berkata, MPK amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama PLANMalaysia dalam menjayakan cadangan pembangunan tapak RV di kawasan yang strategik ini.
SEBAHAGIAN khemah yang didirikan di tapak kenderaan rekreasi di Telaga Simpul, Pantai Marina, Teluk Kalong, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Selain di Pantai Telaga Simpul ini, katanya, beberapa tapak RV lain juga sedang dirancang dan dibangunkan di lokasi tumpuan pelancong seperti Taman Awam Kerteh.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada langkah untuk mewujudkan rangkaian lokasi rekreasi berkualiti di sepanjang pesisir pantai Terengganu, yang berpotensi menarik pelancong domestik dan antarabangsa,” ujarnya.
Ujarnya, pembangunan kawasan rekreasi ini bukan sekadar menyediakan ruang untuk beriadah, tetapi lebih daripada itu.
Tambahnya, ia merupakan simbol keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kualiti hidup masyarakat.
MUHAMMAD RIZAL MUHAMMAD NOR
“PLANMalaysia sentiasa menekankan pendekatan perancangan berasaskan komuniti, agar setiap projek yang dirancang benar-benar memberi nilai tambah kepada rakyat, memelihara alam sekitar, dan menyumbang kepada kesejahteraan bandar serta luar bandar.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak MPK atas komitmen tinggi dalam memastikan projek ini dapat direalisasikan. Tidak lupa juga kepada semua agensi dan jabatan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Hanafiah berkata, tapak RV di Pantai Telaga Simpul ini akan menjadi mercu tanda rekreasi baharu daerah Kemaman, sekaligus memperkukuh imej Terengganu sebagai negeri yang kaya dengan tarikan pelancongan alam semula jadi dan berpotensi tinggi dalam sektor pelancongan mapan.
AFANDI AZIZ
Sementara itu, pemilik Motorhome, Afandi Aziz, dari Kuala Terengganu berkata, suasana di sini amat baik di antara camp site yang pernah dikunjungi kerana mempunyai permandangan muara sungai yang indah.
Seorang lagi pengunjung dari Kelab Camper Crew Pahang, Muhammad Rizal Muhammad Nor berkata, tapak ini walaupun masih baharu tetapi ia sesuai untuk aktiviti ‘camping’ bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Bagi memeriahkan lagi suasana tapak ini, ia perlu menambahbaik dari segi pengcahayaan dengan memasang lebih banyak lampu supaya ia kelihatan cerah dan ceria pada waktu malam,” katanya. – Suara Timur
KEMAMAN: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) di sini, pagi tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 7.30 pagi di kilometer 260.1 berhampiran susur keluar Kawasan Rehat dan Rawat ( RnR) Jabor, Perasing di sini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Muhammad Amirul Rizuan Azmi, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan.
Ketika kejadian mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan, Pahang menuju ke arah Kuala Terengganu.
Kejadian berlaku di laluan lurus di mana kereta Perodua Myvi dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di kiri lebuh raya.
Akibat pelanggaran kuat itu, kereta mangsa terbalik di tengah lebuh raya menyebabkan mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
Mayat mangsa berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ceneh Baru dengan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.
Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur
KEMAMAN: Pas Terengganu akan membantu Pas Sabah menjalankan kempen bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Penolong Setiausahanya,, Datuk Hanafiah Mat berkata, Pas Terengganu akan membantu memenangkan calon-calon parti itu termasuk Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan pada pilihan raya itu dan perkara ini akan dibincangkan di peringkat pengurusan parti.
Menurutnya, Pas akan bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini.
“Saya telah berkunjung ke negeri Sabah minggu lepas dan melihat kita (Pas) akan mengeluarkan produk anak sulung di Sabah pada pilihan raya ini akan berjaya,” katanya ketika ditemui Suara Timur selepas Majlis Perasmian Tapak Kemderaan Rekreasi (RV) di Telaga Simpul, Pantai Marina, Teluk Kalong, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang berharap menerusi 12 kerusi yang ditandingi itu, Pas diharapkan menang sekurang-kurangnya satu kerusi untuk memecahkan ‘telur’ di Sabah, Hanafiah berkata, sebelum ini Pas belum menang di negeri itu dan sekarang ada sinar untuk menang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatakuasa Infrastuktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, merangkap Adun Chukai berkata, Pas akan tumpukan di kawasan DUN) yang boleh menang dan sekurang-kurangnya dapat melahirkan ‘anak sulung’ di Sabah. – Suara Timur
Semua berita yang disiarkan didalam Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan tulisan penulis yang diolah oleh Biro Utusan Malaysia dan Kosmo! Terengganu.
Mereka terdiri daripada Wan Zulkifli Wan Yaakob, Azli Adlan, Radhuan Hussain dan Rosalinda Md. Said
Bermula Oktober 2019 menjadi penulis bebas
Bermula Mac 2025 ditawar menjadi wartawan sambilan dengan Portal Suara Timur
Dilahirkan di Kg Tasik Mengkuang, Kerandang, Besut, Terengganu.
Dibesarkan di Kemaman Terengganu.
Jawatan sukarela dan badan bukan kerajaan.
1. Menyertai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia ( 1989 hingga sekarang )
2. Dilantik sebagai Timbalan Ketua Platun TRG 0219 dari tahun 1994 - 1998
3. Dilantik sebagai Ketua Kumpulan Elit dari Tahun 1994 - 1998
4. Pengasas Persatuan Belia Seri Jaya pada Tahun 1993
5. Pengerusi Persatuan Belia Seri Jaya dari Tahun 1994 - 2004
6. Pengasas UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya pada Tahun 1994
7. Ketua UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 1994 - 1995
8. Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 1995 hingga 2023.
9. Dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa MAYC Kawasan Kemaman dari Tahun 1998 hingga 2009.
10. Dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Daerah Kemaman dari Tahun 2000 - 2004
11. Dilantik Timbalan Pengerusi JKKK Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 2005 hingga 31 Mac 2014.
12. Dilantik sebagai Pengerusi JKKK Kg Lot Seri Jaya dari bermula 1 April 2014 hingga 31 Mei 2018
Menjadi Ahli PAS dari Tahun 1987 - 1993