Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN – Kebanyakan pengguna lebuh raya yang ditemui menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengenai tiada kenaikan tol di 10 lebuh raya utama di seluruh negara pada tahun ini.
Tinjauan Suara Timur di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) dekat sini, hari ini, mendapati beberapa pengguna yang ditemui berkata, langkah tersebut membuktikan keprihatinan Perdana Menteri dan kerajaan Madani yang sentiasa berusaha untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Seorang pesara kerajaan, Ahmad Kamal Ismail berkata, beliau bersetuju dengan pengumuman Perdana Menteri itu yang dilihat dapat membantu meringankan kos perbelanjaan bulanan keluarga yang sentiasa berulang alik dari Kemaman ke Kuala Terengganu menggunakan lebuh raya itu.
“Terima kasih kepada PMX kerana mengumumkan tiada kenaikan tol pada tahun ini dan ianya dapat menjimatkan perbelanjaan pengguna lebuh raya pada tahun ini. Terima kasih Malaysia Madani,” katanya.
Seorang pengguna lebuh raya, Shaik Mohamad Fikri Shaik Ismail berkata, langkah kerajaan yang tidak menaikkan kadar tol pada tahun ini dapat membantu meringankan kos sara hidup bulanannya yang terpaksa berulang alik ke tempat kerja sejauh 50 kilometer sehari menggunakan LPT2.
Beliau yang merupakan penjawat awam berkata, ini menunjukkan ketika rakyat berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan berusaha membantu meringankan beban rakyat dengan tidak menaikkan kadar tol sehingga hujung tahun yang sepatutnya telah dinaikkan pada ketika ini.
“Jadi sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada PMX dan Kerajaan Madani atas usaha yang sangat baik ini,” ujarnya
Seorang lagi pengguna lebuh raya, Amirul Amran berkata, pengumuman Perdana Menteri itu adalah satu langkah tepat bagi semua pengguna lebuh raya yang dilihat dapat membantu meringankan kos perbelanjaan harian pengguna dan rakyat.
“Di sini saya nak merakamkan jutaan terima kasih kepada PMX dan juga kerajaan Malaysia Madani yang baru saja mengumumkan kadar tol tidak dinaikkan sehingga hujung tahun ini,” katanya.
Perdana Menteri semasa membuat pengumuman itu semalam berkata, kerajaan terpaksa menanggung kos lebih RM500 juta bagi memastikan pihak konsesi lebuh raya tidak menaikkan kadar tol di sepuluh lebuh raya utama tahun ini selakigus membuktikan kerajaan mengutamakan kesejahteraan rakyat. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.