Ibu bapa kecewa YT tidak keluar notis beritahu penutupan asrama
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Kemelut notis penutupan Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) di sini yang didakwa terlalu singkat menimbulkan ketidakpuasan ibubapa terhadap tindakan Yayasan Terengganu (YT).
Seorang peneroka Felda Cherul 1, dekat sini, Kamariah A. Karim berkata, setakat ini, ibu bapa tidak mengetahui punca AYTK akan ditutup dan keliru dengan kenyataan YT yang mendakwa keputusan menutup asrama itu telah dicapai hasil perbincangan dengan ibu bapa pelajar terlibat.
Bagaimanapun, katanya, ibu bapa pula mendakwa mereka tidak menerima sebarang notis perbincangan dan penutupan AYTK dalam tempoh terdekat ini.

“Dua hari yang lepas, saya menelefon Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memaklumkan saya tidak menerima apa-apa notis penutupan asrama tersebut.
“Kami nak nasib anak kami terbela termasuk jamiman penempatan anak kami asrama sekolah mengikut aliran sebelum ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Kamariah memberitahu, kebanyakan pelajar yang ditempatkan di AYTK merupakan pelajar cemerlang terpilih dalam kalangan B40 dari pendalaman untuk bersekolah di sekitar bandar Chukai.
“Sebelum ini, kami menaruh harapan tinggi kepada AYTK dalam menyediakan kemudahan asrama serta lain, namun apabila berlaku masalah ini, kami amat kecewa dan harapan jadi musnah,” ujarnya
Sementara itu, pada petang tadi, Suara Timur menerima salinan surat pemberitahuan ‘Taklimat Penstrukturan Asrama Yayasan Terengganu Kemaman dan Pembukaan Sekolah Menengah IMTIAZ (Swasta)’ yang akan diadakan di Dewan Ibnu Sina AYTK Jalan Mak Chili dekat sini, pada pukul 2.30 petang, 13 Disember ini.
Pengeluaran surat taklimat itu seolah-olah mengesahkan dakwaan ibubapa pelajar AYTK tidak pernah dijemput hadir pada perbincangan atau taklimat mengenai penutupan asrama tersebut dalam tempoh terdekat ini.- Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.