PUTRAJAYA 20 Mei - Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kadar caj internet di negara ini supaya pelbagai pihak termasuk peniaga kecil turut mendapat manfaat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya akan memperluas pembangunan infrastruktur komunikasi itu ke seluruh negara bagi memastikan caj internet dapat ditawarkan dengan lebih murah.
"Kajian lanjut mengenai perbandingan caj perkhidmatan itu dengan negara-negara lain juga akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis serah tugas antara bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dengan beliau dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, setakat ini, kadar penembusan jalur lebar dalam kalangan rakyat negara ini hanya 60 peratus berbanding negara maju lain yang ada antaranya sudah mencecah hampir 100 peratus.
Sehubungan itu, katanya, pembangunan infrastruktur komunikasi tersebut perlu dipertingkat dan diperhebatkan pada masa akan datang.
"Kemudahan komunikasi sudah menjadi suatu perkara asas. Dulu asasnya jalan raya, api (elektrik) dan air tetapi sekarang liputan telefon dan broadband (jalur lebar).
"Tanggungjawab saya ialah untuk memperhebat perkembangan pembangunan ini dalam masa tiga hingga empat tahun dan dalam masa sama mengubah sistem analog kepada digital dalam televisyen kita," katanya.
Dalam masa sama, Ahmad Shabery berkata, pihaknya akan memberi perhatian terhadap undang-undang bagi melindungi rakyat termasuk dalam isu panggilan terputus atau 'drop call' serta caj jalur lebar sekiranya perkhidmatan itu terputus selama beberapa hari.
Katanya, beliau komited meneruskan pelaksanaan ideologi berasaskan kebebasan bersuara dengan memperhalusi maksud kebebasan tersebut dan hadnya bagi individu, kepentingan nasional dan kepentingan awam.
"Ada negara yang mungkin kebebasannya membenarkan setiap sesiapa mempunyai stesen televisyen, setiap parti politik dan kumpulan etnik. Apakah ia memberikan kesan dan impak positif kepada negara dan sebagainya? Ini perkara yang perlu dihalusi dan diteliti," katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, pihaknya juga akan mempercepat pelaksanaan perkhidmatan televisyen digital supaya jumlah saluran menjadi lebih banyak dan fokus kepada kepentingan rakyat dan kepentingan awam.
Sementara itu, menyentuh pengguguran perkataan 'penerangan' daripada kementerian itu, beliau berkata, perkara tersebut adalah sebahagian daripada program transformasi kerajaan.
"Penerangan lebih dikaitkan sebagai alat penyebaran maklumat, hiburan, mungkin sedikit sebanyak membentuk pemikiran masyarakat menurut hala tuju yang dikehendaki oleh kerajaan.
"Dan lebih bersifat atas ke bawah pada waktu itu dan juga memberi konotasi kementerian yang lapuk di mana banyak negara dunia sekarang sudah tidak ada lagi Kementerian Penerangan," katanya.
Sumber http://www.utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.