MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Ahad, Mei 19, 2013

MAS MEMBANTU MEMBAWA PULANG KE MALAYSIA PENUMPANG AIR ASIA DIDAKWA BERMASALAH


19 Mei 2013

Jam 1.30  tengahari  tadi saya menghubungi  adik  Izan Suhaila Mohd Ali,  Saiful Riza, 31 tahun, berada  di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan. 


Klik di sini  untuk membaca  kisah getir ditempuh oleh  Izan dan anaknya,  Maryam Sofea Mohd Reza, 14 bulan,  dilarang menaiki pesawat Air Asia AK 1455, penerbangan dari lapangan  terbang di Ho Chi  Minh  ke Kuala Lumpur malam tadi.


"Saya  berasa musykil. Maryam kena chicken pox kira-kira seminggu sebelum berangkat ke Ho Chi Minh,  Vietnam,  pada hari Rabu, 15 Mei 2013.  Doktor di Malaysia telah mengesahkan tahap  kesihatan  Maryam baik sebelum kami terbang, malah  malam sebelum ke sana,  Maryam  sekali lagi dibawa  menjalani pemeriksaaan doktor. Berikutan  pengesahan itu berstatus sama,  kami membawa  Maryam  bersama," ujar Saiful.


Memang Air Asia berhak melarang penumpang untuk tidak  menaiki pesawat jika didapati membahayakan  nyawa penumpang lain. Maklumat itu  tercatat di salinan  terma dan syarat  perincian penerbangan.

"Masalahnya,  sehingga malam tadi,  kami sekeluarga masih  lagi kabur,  mengapakah Maryam tidak  dibenarkan pulang? Dia tidak demam dan apabila ditanyakan kepada kakitangan Air Asia di lapangan terbang Ho Chi Minh,  mereka tidak langsung memberikan penjelasan. Jururawat memeriksa suhu badan Maryam hanya membisu. Mungkin kerana dia tidak mampu berbahasa Inggeris," kata kakitangan agensi pelancongan itu.

"Jauh  bezanya berbanding kemahiran bahasa Inggeris Tony Fernandes," celah saya.

Di  ruangan  komen entri terdahulu, muncul kenyataan, petugas melarang Maryam menaiki penerbangan,  BUKAN  kakitangan Air Asia tetapi pekerja  lapangan terbang.


Jika kenyataan itu sahih,  di manakah wakil  Air Asia di Ho Chi Minh?  Wakil bertugas untuk membantu  sekiranya penumpang mendepani masalah?  Adalah kebajikan mereka diserahkan  sepenuhnya  kepadaground staff,  didakwa pekerja lapangan terbang?  

Adakah  kejadian   berlaku,  bukti  nyata  nasib  penumpang  sah  pesawat Air Asia   boleh  diperkotak-katikkan  sesuka hati?  Jika wanita  di dalam gambar  di atas TIDAK  terbabit   dengan syarikat  penerbangan  tambang murah itu,  mengapakah mereka  bertugas di pintu 18  terpampang logo  Air Asia?


Maaf,  kerana saya  amat jarang menaiki pesawat  Air Asia,  justeru  memerlukan  sedikit pencerahan. 

"Seperkara lagi,  sewaktu  kami menaiki  pesawat Air  Asia di LCCT pada jam 7 pagi Rabu lalu  untuk ke Ho Chi Minh,  tidak pula timbul sebarang masalah.  Tidak pula Maryam ditahan dan dilarang menaiki pesawat sewaktu check in.  Sedangkan pada ketika itu Maryam  mengalami   chicken pox dalam  tempoh  kira-kira seminggu.  Apapun,  dia tidak demam lagi," jelas Saiful.

"Adakah  wakil Air Asia Malaysia  menghubungi setakat ini?," soal saya.

"Tidak,"  responnya  pantas.

Ayah  Maryam,  Mohd Reza Mat Jan dijangka bakal  terbang ke Ho Chi Minh  petang esok.

"Pada mulanya dia ingin ke sana hari ini.  Dia bimbang mengenangkan nasib isteri dan anaknya  tetapi paspot  Reza  disimpan di peti keselamatan bank. Oleh itu penerbangan terpaksa ditunda esok," kata Saiful.

Jam 3.15 petang,  saya menghubungi Norhamiza.


"Saya  menelefon  adik, Ahmad Johanis, kini  bertugas dengan Tourism  Malaysia di New York, Amerika  Syarikat. Dia kemudian  menghubungi Tourism Malaysia di Vietnam. Wakil Tourism  telah bercakap dengan kakitangan  Kedutaan Malaysia di Vietnam. Staf MAS baik budi, menjemput Izan, Maryam dan dua saudara kami dan membawa mereka ke hospital. Mereka ke hospital kerajaan,  caj  hanya  USD20 untuk pemeriksaan Maryam. Hospital swasta mengenakan caj lebih mahal, USD200.  Wakil Hong Leong Bank di sanapun menghubungi Izan, menawarkan tempat tinggal, jika tiada. In Shaa Allah, andai tiada aral melintang MAS  akan menguruskan penerbangan balik mereka  hari ini juga," jelas kakak Izan itu, tenang.

Justeru itu,  ayah  Maryam membatalkan hasratnya untuk terbang  ke Ho Chi Minh.

Semalam, saya terdengar kenyataan dilontarkan oleh wanita dalam loghat Terengganu di lapangan  terbang di Ho Chi Minh.

"Apa fasal Mazidul  hendak menyibuk?  Ini  prosedur di tempat orang, bukan di Malaysia. Suruh dia duduk"

Biarlah saya jelaskan di sini.

Saya sekadar ingin membantu mereka dalam kesusahan tanpa dibayar sesen pun. Tindakan itu  saya fikirkan lebih  wajar berbanding diam membatu dan mengutuk tindakan individu lain tanpa mengetahui fakta kejadian sebenar.


Kalau puan pengumpat itu  ditakdirkan  mendepani masalah sama, In Shaa Allah,  saya cuba membantu  tanpa  mengambil kira identiti dia. Kalau berkebetulan dia taukeh syarikat pengeluar keropok lekor atau kain baju,  Alhamdulillah,  mungkin jika berkunjung ke Terengganu,  boleh saya membeli se peket  keropok lekor dan baju Melayu dengan harga diskaun.

Yeah!

"Kita semua rakyat Malaysia dan seharusnya saling bantu-membantu sewaktu dalam kesempitan.  Kami  membayar  tiket kepada Air Asia dan menaiki pesawat Air Asia. Sekurang-kurangnya apalah salahnya andai  kakitangan mereka di Vietnam  menghantar ahli keluarga saya ke hospital pada malam itu. At leastkami berasa mereka selamat sebelum terpaksa meninggalkan mereka,"  komen Norhamiza.

Sekalung  penghargaan kepada  penumpang pesawat AK 1455 pelbagai bangsa,  sudi menhulurkan wang ringgit mereka secara ikhlas  untuk membantu Izan  dan  Maryam semalam. 

Ikuti laporan kisah ini di akhbar NST esok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.