Kuala Lumpur: Dewan Ulama PAS menasihatkan ahlinya supaya tidak menyertai perhimpunan haram membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan esok, kerana ia tidak memberi keuntungan serta kekuatan kepada parti itu.
Ketuanya, Datuk Harun Taib, berkata beliau konsisten dengan kenyataannya sebelum ini yang tidak menyokong perhimpunan terbabit, serta menerima keputusan Pilihan Raya Umum lalu dengan hati terbuka.
Kita ada kerja yang lebih besar, bagi saya lebih baik ahli PAS memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan parti serta menarik sokongan baru rakyat” Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS
Baginya, adalah lebih baik ahli PAS memberi tumpuan kepada usaha serta gerak kerja untuk memperkasakan parti dan meraih sokongan baru rakyat daripada menyertai perhimpunan yang tidak akan memberi keuntungan kepada PAS.
“Saya tidak berminat menyertai perhimpunan itu, kalau ikut pandangan saya ahli PAS tidak perlu hadir perhimpunan itu kerana ia tidak memberi kekuatan kepada parti.
Tumpu perkasa parti
“Kita ada kerja yang lebih besar, bagi saya lebih baik ahli PAS memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan parti serta menarik sokongan baru rakyat sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
“Bagi saya, kerja (perhimpunan) itu tidak memperkuatkan sokongan terhadap parti (PAS),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sebelum ini, Harun membantah perhimpunan yang dianjurkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan PRU-13.
Sebaliknya, Harun menyifatkan keputusan yang dibuat 13.1 juta pengundi pada pilihan raya umum lalu perlu diterima dengan hati terbuka, selain memuji Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana berjaya mengurus perjalanan pilihan raya dengan baik.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata umat Islam ditegah menyertai mana-mana perhimpunan yang melanggar peraturan ditetapkan, apatah lagi jika boleh mengundang kekacauan.
Perlu taati perintah
Shukri berkata, mentaati pemerintah adalah prinsip asas dalam Islam dan sekiranya ada sesuatu perkara yang tidak berpuasa hati, sepatutnya menggunakan saluran undang-undang ditetapkan bagi menyuarakan bantahan.
“Jika perhimpunan itu melanggar udang-undang ditetapkan, maka ia ditegah untuk disertai. Kita sebagai masyarakat bertamadun perlu menghargai undang-undang, jika ada pertentangan guna saluran ditetapkan,” katanya.
Sumber http://www.bharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.