MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Mac 31, 2018

Kayuhan Ria sempena Hari Polis


Sebahagian daripada peserta menunggu pelepasan sebelum memulakan kayuhan sempena Hari Polis peringkat daerah Kemaman, hari ini. - UTUSAN ONLINE

31 Mac 2018 10:12 PM


KEMAMAN 31 Mac - Seramai 200 peserta dari sembilan buah kelab basikal daerah ini menyertai Kayuhan Ria sejauh 23 kilometer, di sini hari ini sempena sambutan Hari Polis. 

Di bawah program Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bersama Masyarakat, mereka berbasikal dari pekarangan IPD menuju Jeram Penitih, Seri Bandi, Kijal.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim yang menyempurnakan pelepasan memberitahu, program itu sebahagian daripada pendekatan merapatkan perhubungan dengan segenap lapisan masyarakat.

Kayuhan in diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) IPD, Pemangku Asissten Superintendan Zul Ilham Abdul Rahim.

Sepanjang kayuhan, mereka akan singgah di Kawasan Rekreasi dan Zoo Majlis Perbandaran Kemaman, Bukit Takal dan Pondok Polis Seri Bandi.

"Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program ini termasuk cabutan bertuah dan taklimat Volunteer Smartphone Patrol (VSP) kepada peserta," ujarnya. - UTUSAN ONLINE



Jumaat, Mac 30, 2018

AEDES : Syarikat pembinaan didenda RM5,000


Nyamuk aedes

30 Mac 2018 3:28 PM

KEMAMAN 30 Mac - Sebuah syarikat, Multielite Holding didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas didapati bersalah membiak aedes di sebuah tapak pembinaannya di Jalan Jakar, Oktober tahun lalu.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 13(1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang dibaca bersama Seksyen 13 (2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Pendakwaan dikendali oleh pegawai pendakwa Abdul Rahman Abdullah dari Pejabat Kesihatan Daerah

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd Anuar Abdul Rahman ketika dihubungi memberitahu, kes itu adalah yang pertama didakwa pada tahun ini.

Katanya, sepanjang tahun lepas, sebanyak 14 kes berkait dengan pembiakkan aedes tapak bina telah dihadapkan ke mahkamah, dengan denda keseluruhan berjumlah RM 60,000.

“Pemaju dinasihatkan agar sentiasa mengawasi dengan membuat pemeriksaan sekurang-kurang seminggu sekali di kawasan tapak.

“Mereka perlu menyedia jadual pemeriksaan aedes oleh pekerja dan juga melantik Syarikat Kawalan Makhluk Perosak berdaftar bagi memantau dan menjalankan kerja-kerja pencegahan bagi memasti tapak bina tidak menjadi tempat pembiakan aedes,” katanya.

Mohd Anuar memberitahu, pihaknya akan menjalankan operasi penguatkuasaan secara berkala setiap bulan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada syarikat pembinaan yang melakukan kesalahan berulang termasuk menutup tapak dan dihadapkan ke mahkamah. - UTUSAN ONLINE



Ahad, Mac 25, 2018

Itu fitnah lama - Ahmad Said

25 Mac 2018 8:04 AM


KEMAMAN 25 Mac - Dalam era kemuncak penggunaan media sosial kini, sesuatu bahan fitnah yang disebar tidak pernah lenyap, dan akan muncul semula, malah boleh ditularkan sekali lagi jika perlu.


Gejala ini kadangkala memaksa penafian berulang kali dilakukan seperti yang dihadapi oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Kembali tular ketika ini ialah fitnah berhubung kenyataan kononnya beliau “menggesa orang Melayu agar bangkit menentang UMNO” yang ditularkan semula menerusi Facebook dan WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

Katanya, apa yang ditularkan itu pernah muncul pada pertengahan tahun 2014 apabila beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

“Ketika masih menjadi Menteri Besar, fitnah seperti ini pernah berlaku menerusi media sosial menggunakan nama saya.

“Saya telah menutup akaun Facebook ketika masih memegang jawatan Menteri Besar," katanya yang juga Ketua UMNO bahagian.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Payoh di Kampung Batu 9, Ibok, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha UMNO bahagian, Rosli Ahmad; Ketua Wanita UMNO bahagian , Datuk Rohani Abdullah dan Pengerusi PDM Payoh, Hassan Ali.

Sementara itu dalam ucapannya Ahmad berkata, semua jentera parti peringkat Parlimen Kemaman telah bersiap sedia menghadapi PRU-14 bagi memastikan kemenangan lebih besar kepada UMNO dan BN.-UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/itu-fitnah-lama-ahmad-said-1.634414#ixzz5Al5yxnwE
© Utusan Melayu (M) Bhd