MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Januari 24, 2026

Penunggang motosikal maut langgar tapir di LPT 2

 

Penunggang motosikal maut langgar tapir di LPT 2

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

CHUKAI: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar seekor tapir di Kilometer 320.5 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Kerteh menghala ke Kuala Terengganu pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Razi Rosli, dalam kejadian pada 1 pagi, Iffil Nazwa Azman, 24, seorang pekerja kontrak maut di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dari Kerteh dalam perjalanan ke rumahnya dari Kampung Pinang Baru dekat sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seekor tapir seberat 200 kilogram yang dipercayai keluar dari hutan berhampiran melintas secara tiba-tiba di kawasan lebuh raya terbabit.

“Mangsa dikatakan gagal mengelak sebelum merempuh tapir terbabit yang menyebabkan mangsa tercampak di atas lebuh raya terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Razi berkata, berikutan itu mangsa kemudiannya dipercayai digilis sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti.

“Mangsa yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal di tempat kejadian,” ujarnya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, bangkai tapir tersebut diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. – Suara Timur

Khamis, Januari 22, 2026

Masa depan anak muda Terengganu dalam industri REE lebih cerah

 

Masa depan anak muda Terengganu dalam industri REE lebih cerah

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Masa depan anak muda Terengganu dalam industri mineral Rare Earth Elements (REE) kini tampak lebih cerah apabila negeri ini bakal melahirkan pakar perlombongan moden sendiri melalui penubuhan Living Lab In-Situ Leaching (ISL) yang pertama seumpamanya di negeri ini.

Inisiatif ini dijayakan menerusi kerjasama strategik antara University College TATI (UC TATI) dan pakar industri, Greensnow Sdn. Bhd., bagi melatih tenaga kerja mahir dalam teknologi REE yang kini menjadi rebutan pasaran global.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Yang Berhormat Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, projek ini merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan negeri untuk memastikan rakyat Terengganu menjadi pemain utama dalam ekonomi baharu.

DUDUK dari kanan:
Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid dan En. Nik Abdul Mubin Nik Mahmood menandatangani kerjasama strategik antara UC TATI dan Greensnow Sdn. Bhd., bagi melatih tenaga kerja mahir dalam teknologi REE di Kemaman, hari ini.

“Dengan adanya Living Lab di UC TATI, mereka akan dilatih menggunakan teknologi paling moden dan mesra alam. Inilah masanya untuk anak Terengganu bangkit sebagai pakar dalam sektor berteknologi tinggi,” ujar beliau selepas merasmikan majlis pemeteraian MoU tersebut di sini hari ini.

Beliau berkata, penubuhan makmal hidup atau Living Lab ini merupakan satu transformasi besar dalam sistem pendidikan TVET negeri.

“Ia membolehkan pelajar dan belia tempatan menjalani latihan amali secara langsung dalam kaedah pengekstrakan Rare Earth Elements – In-Situ Leaching (REE-
ISL) sebuah teknologi yang jauh lebih bersih dan selamat berbanding kaedah perlombongan tradisional,” katanya.

Tambahnya, UC TATI mencipta sejarah sebagai Institusi Pengajian Tinggi pertama di Terengganu yang menyediakan kemudahan penyelidikan dan latihan khusus bagi REE. Sokongan daripada MBI Terengganu melalui MBI Modal Sdn. Bhd. turut memastikan ekosistem ini disokong dengan jaringan industri yang kukuh, membolehkan hasil kajian diterjemahkan kepada peluang
ekonomi nyata.

Hadir sama menyokong usaha ini ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Yang Berhormat Haji Hilmi bin Harun; Rektor UC TATI,
Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid; Ketua Pegawai Eksekutif Greensnow Sdn. Bhd., En.
Nik Abdul Mubin Nik Mahmood, Penasihat Kewangan MBI Terengganu, Mohd Badaruddin Ismail; serta Ketua Pegawai Eksekutif MBI Modal Sdn. Bhd. Mohd Farid Awang,

Menurutnya, menerusi kemudahan ini, anak-anak Terengganu kini mempunyai
platform terbaik untuk menguasai teknologi masa hadapan, sekali gus meletakkan diri mereka di barisan hadapan dalam memacu kemakmuran ekonomi negeri dan negara. – Suara Timur

Bot nelayan tempatan dikendali awak-awak warga asing ditahan

 

Bot nelayan tempatan dikendali awak-awak warga asing ditahan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan awak-awak warga asing dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Kemaman, kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim bin Hamzah berkata, penahanan dilakukan ketika bot ronda Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin Op IMAN sebelum mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot nelayan pada jarak 10.5 batu nautika dari Muara Kuala Kemaman.

Jelas beliau, pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong warga tempatan bersama tiga awak-awak warga Kemboja berusia antara 33 hingga 42 tahun.

BOT nelayan tempatan yang dikendalikan warga asing ditahan di di perairan Kuala Kemaman.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, tiga awak-awak terbabit disyaki melanggar syarat sah lesen kerana tidak mempunyai kebenaran bekerja di atas vesel daripada Jabatan Perikanan Malaysia, sekali gus melanggar peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985,” tambah beliau.

Abdul Halim turut berkata, kesemua awak-awak terbabit turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 berikutan status pasport yang meragukan.

Susulan itu, tambahnya, bot bersama tekong dan awak-awak, hasil laut dianggarkan seberat 2,500 kilogram serta kira-kira 5,000 liter minyak diesel ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala semua individu terlibat dibawa ke jeti Maritim Malaysia bagi tujuan dokumentasi dan siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Halim menegaskan, Maritim Malaysia akan terus memperketat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram serta memastikan keselamatan perairan negara terpelihara. – Suara Timur

Selasa, Januari 20, 2026

Budak lima tahun maut tercekik biji rambutan

 

Budak lima tahun maut tercekik biji rambutan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas tercekik biji buah rambutan, di Felda Neram 1, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari, mangsa dikatakan sedang makan rambutan bersama kakaknya yang berusia enam tahun.

“Kakak mangsa telah mengupas buah rambutan dan memberinya kepada mangsa.

“Mangsa dikatakan secara tiba-tiba tercekik menyebabkan suara mangsa tersekat-sekat kerana biji buah rambutan yang dimakan tersangkut di kerongkong,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Razi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.50 petang di Hospital Kemaman dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat tercekik dan terdapat biji buah rambutan pada kerongkong mangsa,” katanya. – Suara Timur

Ketengah lulus bajet RP1 RMK berjumlah RM48.355 juta tahun ini

 

Ketengah lulus bajet RP1 RMK berjumlah RM48.355 juta tahun ini

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) meluluskan bajet ‘Rolling Plan’ Pertama (RP1) di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) berjumlah RM48.355 juta membabitkan 28 projek pembangunan pada tahun ini.

Pengerusi Ketengah, Datuk Rozi Mamat berkata peruntukan tersebut meliputi sebanyak 22 projek sambungan bernilai RM42.855 juta dan enam projek baharu berjumlah RM5.5 juta.

“Pada tahun 2026, Ketengah akan memperkukuhkan agenda pembangunan wilayah secara mampan melalui perancangan dan pelaksanaan program pembangunan yang lebih strategik serta berimpak tinggi selaras dengan Pelan Perancangan Strategik KETENGAH Tahun 2025-2035,” katanya.

ROZI Mamat (dua dari kanan) hadir menyampaikan amanat tahun baharu pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2026 di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2026 di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Ketengah, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa

Menurut Datuk Rozi, antara projek berkenaan ialah Kajian Pengukuhan Cerun dan Kawalan Hakisan, Pencahayaan Pintar dan Jimat Tenaga dan Ketengah Agrotech Valley.

“Selain itu, fokus turut diberikan kepada Program Pembangunan Usahawan, Digitalisasi Sistem Aplikasi Dalam Eksplorasi Pelancongan dan Menaik taraf dan Membaik Pulih Premis Perniagaan,” ujarnya.

SEBAHAGIAN daripada pegawai Ketengah yang hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2026 di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, dalam tempoh sama, prestasi perbelanjaan peruntukan mengurus bernilai RM39.029 juta bersamaan 99.47 peratus daripada keseluruhan peruntukan mengurus RM39.237 juta.

Sementara itu, tambahnya, pada tahun lalu, prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan berjumlah RM36.436 juta bersamaan 95.09 peratus daripada keseluruhan peruntukan  RM38.319 juta.

Beliau berkata, pihaknya berharap kesemua projek yang dirancang dapat disegerakan pelaksanaannya agar kumpulan sasar dalam wilayah Ketengah mendapat manfaat dan hasilnya.

Datuk Rozi berkata, pencapaian itu mencerminkan tahap kecekapan pengurusan kewangan yang baik serta komitmen tinggi seluruh warga kerja dalam memastikan peruntukan dimanfaatkan secara optimum. – Suara Timur

Isnin, Januari 19, 2026

Bengkel lori, rumah hangus dalam kebakaran di Kampung Padang Lalang, Binjai

 

Bengkel lori, rumah hangus dalam kebakaran di Kampung Padang Lalang, Binjai

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebuah bengkel lori dan
sebuah rumah hangus lima peratus dalam kejadian kebakaran di Kampung Padang Lalang, Binjai, di sini malam ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hanif Che Khalid berkata, bengkel lori tersebut musnah kira-kira 90 peratus manakala rumah terlibat pula terbakar lima peratus dalam kebakaran itu.

Menurutnya, kebakaran itu turut melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang terbakar 100 peratus dan sebuah skuter jenis Mosquito terbakar 80 peratus serta sebuah motosikal elektrik terbakar 30 peratus.

API marak membakar sebuah bengkel lor dan rumah di Kampung Padang Lalang, Binjai, di Kemaman, malam ini. – GAMBAR IHSAN BOMBA

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.06 malam sebelum pasukan pertama tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian, dengan jarak lapan kilometer dari balai.

“Operasi pemadaman melibatkan seramai 22 anggota dari BBP Chukai dan dibantu BBP Kemaman dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan water tanker, sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ANGGOTA bomba memadam kebakaran melibatkan sebuah bengkel lori dan rumah di Kampung Padang Lalang, Binjai, di Kemaman, malam ini. – GAMBAR IHSAN BOMBA

Menurutnya, setibanya di lokasi, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos sepanjang 300 kaki serta satu kerja breaching dengan dua pancutan air daripada tangki jentera BBP Kemaman dan water tanker.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.36 malam dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.30 malam,” katanya.

Tambahnya, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – Suara Timur

Ahad, Januari 18, 2026

Arang batu cemar Pantai Teluk Kalong dibersihkan secepat mungkin

 

Arang batu cemar Pantai Teluk Kalong dibersihkan secepat mungkin

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kerja-kerja pembersihan tumpahan arang batu di sepanjang Pantai Teluk Kalong, dekat sini, akan dilaksanakan secepat mungkin bermula minggu depan.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memanggil syarikat perkapalan terlibat bagi membincangkan langkah susulan kejadian berkenaan.


“Hasil perbincangan tersebut, syarikat perkapalan bersetuju untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan di sepanjang pantai serta kawasan laut yang terjejas bermula minggu depan,” katanya ketika ditemui  hari ini.


Razali berkata syarikat berkenaan turut memberi jaminan kerja pembersihan itu akan diselesaikan dalam tempoh sebulan, manakala usaha mengalih tongkang yang tersadai dijangka mengambil masa lebih panjang.

SEBAHAGIAN arang batu yang mencemari Pantai Teluk Kalong, Kemaman.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN


“Kita berharap Pantai Teluk Kalong dapat kembali bersih memandangkan kawasan ini merupakan antara tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri,” katanya.


Sementara itu, Pengarah JAS Terengganu, Hamzah Mohamad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tumpahan arang batu tersebut pada 11 Januari lepas.


Beliau berkata JAS akan memantau secara berterusan kerja-kerja pembersihan sehingga kawasan pantai berkenaan kembali pulih sepenuhnya.


“Orang ramai dan pengunjung diminta tidak bimbang kerana arang batu berkenaan bukan bahan buangan berjadual serta tidak memberi kesan buruk terhadap alam sekitar,” katanya.


Dalam kejadian minggu lalu, sebuah tongkang yang membawa muatan kira-kira 7,000 tan arang batu dalam perjalanan dari Indonesia ke Vietnam hanyut akibat dipukul ombak sebelum terlanggar batu, menyebabkan muatannya tertumpah dan mencemari sepanjang Pantai Teluk Kalong. – Suara Timur