MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Khamis, Mei 15, 2025

Program pembangunan industri jagung bijian kurangkan kebergantungan import

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited melaksanakan program pembangunan industri jagung bijian secara intensif di negara ini, dalam usaha mengurangkan kebergantungan import, sekali gus menstabilkan harga makanan ternakan dalam negara.

Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Jagung Bijian antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan Usahawan Ladang Kontrak KPKM Negeri Terengganu diadakan di Kampung Seberang Tayor Hilir di sini hari ini.

FAMA dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, perjanjian jual beli jagung bijian diantara Usahawan Ladang Kontrak KPKM dan FAMA telah disempurnakan oleh Pengurus Pusat Operasi FAMA Terengganu, Zulfadhli Ismail.

WAKIL Usahawan Ladang Kontrak KPKM (kiri), Ketua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Dr. Mohd Zaki Salleh (tengah) dan Pengurus Pusat Operasi FAMA Terengganu, Zulfadhli Ismail (kanan)

Pegawai FAMA Daerah Kemaman, Sahrizan Md Sarid berkata, penanaman jagung bijian jenis varieti jagung jenis Lecket 572 di Kampung Seberang Tayor Hilir telah bermula pada bulan Mac lalu oleh 18 orang pengusaha yang diketuai Abd. Khalid Kamaludin.

Menurutnya, projek usahawan secara berkelompok melalui Program Sejahtera Madani seluas 12.8 kektar mampu mengeluarkan hasil 70,000 jantung jagung dalam satu masa.

“Pengeluaran jagung telah bermula seawal Mei 2025 berjumlah 10,000 jantung atau RM10,000,” katanya.

Turut hadir Pengurus Pusat Operasi FAMA Terengganu, Zulfadhli Ismail, Ketua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) DUN Air Putih, Dr. Mohd Zaki Salleh, Ketua Unit Padanan Bekalan, Fauzan Sa’ri, Pegawai Pertanian Daerah Kemamam, Nur Shazwani Mohd Salleh, Pengerusi Peladang Kawasan Kemaman, Wahab Mat Zin dan Pengurus Besar Pertubhan Peladang Kawasan Kemaman, Abu Hanifah. – Suara Timur

Selasa, Mei 13, 2025

Pelajar lemas ketika memancing di sungai

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Kegembiraan lima pelajar memancing di sungai berhampiran Kampung Padang Kemunting, Kijal, di sini, semalam berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas.

Seorang murid tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, di sini, Mohamad Shahrizuan Hafizi Mohamad Azli, 14,  meninggal dunia di Hospital Kemaman, kira-kira pukul 7.37 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama empat rakannya berusia 11 hingga 15 tahun keluar memancing di sungai itu kira-kira pukul 11 pagi.

“Ketika sedang memancing, mata kail mangsa telah tersangkut pada kayu yang berada di dalam sungai.

“Mangsa kemudiannya telah turun ke dalam sungai untuk melepaskan mata kail yang tersangkut. Bagaimanapun, mangsa kemudiannya disedari lemas oleh rakan-rakannya yang bergegas meminta bantuan penduduk kampung,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohd Razi berkata, salah seorang penduduk kampung bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Mangsa telah di bawa ke tebing sungai dan diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh penduduk sementara menunggu pasukan penyelamat.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman dengan bantuan penyelamat.

“Bagaimanapun, mangsa kemudiannya menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 7.37 petang dan disahkan oleh pasukan perubatan,” katanya. – Suara Timur

 

Isnin, Mei 12, 2025

Pertembungan Nurul Izzah, Rafizi tidak timbul berbalahan, perpecahan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Pertembungan antara Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pemilihan PKR bagi sesi 2025-2028, tidak akan menimbulkan perbalahan dan perpecahan dalam kalangan ahli.

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pertarungan dua nama besar dalam parti itu perlu dilihat sebagai satu persaingan sihat dalam sebuah keluarga.

“Ini demokrasi, kalau demokasi kita lalui dengan sihat, berkempen dengan sihat dan selepas keputusan itu, kita move on, yang penting kita tahu apa yang kita buat.

“Rakyat sedang memerhati dan akan ada impak pada pilihan raya nanti. Jadi kita buat yang terbaik bagi pastikan parti dalam keadaan baik untuk menghadapi pilihan raya, bagi pastikan dapat keputusan positif dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor, di sini hari ini.

Dalam pada itu ditanya mengenai keyakinannya mempertahankan jawatan Naib Presiden parti, Nik Nazmi berkata : “Kalau tak yakin saya tak bertanding, kalau anggota perwakilan memilih saya, saya akan kekal,” katanya.

Bagi jawatan Naib Presiden, seramai 12 pemimpin mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari selain Nik Nazmi.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadlan (AMK) dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, manakala 23 Mei ditetapkan sebagai hari pengundian. – Suara Timur



Lapan gajah mati dilanggar kenderaan sejak 2020

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebanyak 2,361 haiwan liar dilaporkan mati dilanggar kenderaan di jalan raya di seluruh negara sejak 2020 hingga kini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dalam tempoh tersebut, Pahang menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah kematian haiwan liar akibat kemalangan iaitu 765 ekor, diikuti Perak (478), Kelantan (224), Terengganu (201), dan Negeri Sembilan (187).

“Kalau kita lihat spesies pula, seperti gajah mencatatkan lapan kematian iaitu seekor pada 2020, masing-masing dua ekor pada 2021 dan 2024, dan setakat tahun ini kita telah merekodkan tiga ekor (termasuk kematian anak gajah yang tular semalam).

“Harimau Malaya pun kita tengok ada sedikit peningkatan dengan 2020 hingga 2022 tiada kematian direkodkan tetapi pada 2023 merekodkan satu kematian manakala 2024 sebanyak tiga ekor dan setakat tahun ini ada seekor Harimau Malaya terlibat dengan kematian di atas jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas menyempurnakan Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor di sini hari ini.

Semalam, tular di media sosial gambar dan video seekor anak gajah yang dilanggar terperosok di bawah sebuah lori kontena dan seekor gajah dewasa dipercayai ibunya sedang cuba mengalihkan lori tersebut bagi menyelamatkan anaknya.

Kejadian yang meruntun hati warga maya itu berlaku awal pagi semalam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Perak.

Nik Nazmi berkata, kerajaan telah dan sedang mengambil pelbagai inisiatif bagi membendung masalah kematian haiwan liar termasuk gajah di atas jalan, antaranya menambah peruntukan kepada RM250 juta pada tahun ini bagi membolehkan kerajaan negeri terlibat meningkatkan kawasan hutan simpan.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga sedang berusaha mewujudkan lebih banyak santuari gajah termasuk di Johor, Pahang, Perak dan Terengganu. – Suara Timur

JAS laksanakan Operasi Gerak Kenderaan Bermotor

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan Operasi Gerak Kenderaan Bermotor di Jalan Kuantan – Kemaman berhampiran Kawasan Perindustrian Jakar di sini hari ini.

Operasi ini bertujuan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan bermotor, khususnya dalam memastikan pematuhan terhadap standard pelepasan asap hitam, gas dan bunyi bising yang ditetapkan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, fokus utama operasi adalah membendung pencemaran udara akibat pelepasan kenderaan, terutamanya di kawasan bandar.

“Sehingga Mac 2025, menerusi pelaksanaan Ops Gerak di seluruh negara, sebanyak 90,024 buah kenderaan telah diperiksa. Daripada jumlah ini, 248 tawaran kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut.

Nik Nazmi berkata, kementeriannya melelui JAS turun padang bagi meninjau secara langsung pelaksanaan pemantauan dan persampelan kawalan kualiti bahan api, khususnya diesel Euro 5, di stesen minyak berhampiran lokasi operasi.

Persampelan ini dijalankan bagi memastikan pematuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol dan Diesel) 2007 (Pindaan). Penggunaan diesel Euro 5 yang diperkenalkan sejak April 2021 mencerminkan komitmen berterusan negara dalam penyediaan bahan api berkualiti tinggi sebagai langkah menangani pencemaran udara yang berpunca daripada bahan api berkualiti rendah.

Dalam operasi itu, seramai 23 pegawai penguatkuasa daripada JAS Terengganu dan JAS cawangan Kemaman telah terlibat. Sebanyak 21 buah kenderaan telah diperiksa dan satu notis arahan kompaun  telah dikeluarkan.

Operasi ini turut mendapat kerjasama daripada polis trafik IPD Kemaman bagi memastikan kelancaran pelaksanaan operasi di lapangan.

Sebanyak 8 buah lori disel, dua buah lori petrol, tiga van petrol dan tujuh motosikal dikeluarkan notis di bawah 48A1 dan 48A Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987. – Suara Timur