MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Mac 14, 2026

Gerai jual mercun dan bunga api terbakar, polis ambil tindakan jika cuai

 

Gerai jual mercun dan bunga api terbakar, polis ambil tindakan jika cuai

14/03/2026

KEMAMAN: Polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian kebakaran di satu tapak menjual bunga api di Kampung Gong Limau, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi berkata, tindakan akan diambil kepada peniaga terbabit sekiranya berlaku unsur kecuaian dalam kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati  peniaga  terbabit mempunyai permit yang sah untuk aktiviti penjualan bunga api.

SEORANG penduduk menunjukkan gambar yang dirakam ketika gerai menjual mercun dan bunga api terbakar di Kampung Gong Limau, semalam.

“Ketika kejadian, peniaga terbabit dikatakan tiada di lokasi kejadian kerana keluar membeli makanan untuk bersahur di sebuah kedai makan tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan terperinci akan dilakukan sekiranya wujud perlanggaran syarat yang telah ditetapkan di dalam permit penjualan.

MOHD RAZI ROSLI

Jelasnya, tindakan menarik semula permit penjualan boleh dilakukan sekiranya wujud perlanggaran pada syarat-syarat yang terkandung dalam permit.

Selain itu, tambahnya, polis juga akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan sekiranya ada unsur kecuaian berkaitan kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira pukulm 4.15 pagi semalam, penduduk Kampung Gong Limau, Kemaman gempar selepas sebuah khemah menjual bunga api musnah dalam satu kebakaran.

Kebakaran itu menyebabkan berlakunya letupan dan percikan besar bunga api  di sekitar lokasi kejadian selama kira-kira setengah jam.

Bagaimana pun tiada kecederaan dan kemusnahan harta lain dalam kejadian berkenaan. – Suara Timur

Jumaat, Mac 13, 2026

Gerai jual mercun, bunga api terbakar

 

Gerai jual mercun, bunga api terbakar

13/03/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebuah gerai dan stor penyimpanan mercun dan bunga api musnah dalam satu kebakaran di Kampung Gong Limau, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu menyebabkan berlaku letupan mercun dan percikan bunga api yang agak kuat selama kira-kira 30 minit dan mengganggu penduduk berdekatan yang sedang tidur.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Hanif Che Khalid ketika dihubungi berkata, kebakaran melibatkan sebuah kabin yang dijadikan tempat simpanan pelbagai jenis mercun dan bunga api.

Mohd Hanif berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu jam 3.43 minit pagi.

“Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Kemaman dengan kekuatan tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, rantaian letupan mercun yang tidak terkawal menyebabkan penduduk setempat panik kerana lokasi kejadian berhampiran dengan kediaman penduduk.

“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya jam 4.39 minit pagi dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pukul  5.10 minit pagi,” ujarnya.

Menurut Mohd Hanif, tiada sebarang kecederaan berlaku dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan anggaran kerugian dialami.

Sementara itu, pembantu gerai jualan mercun berkenaan Muhammad Ashraf Mohd Zulkiflie, 19, berkata, ketika kejadian dia berada di kedai tidak jauh dari lokasi kerana sedang membeli juadah sahur.

Menurut Muhammad Ashraf, dia terkejut selepas menerima panggilan daripada seorang rakan memaklumkan gerai dan stor mercun itu terbakar dan terus bergegas ke lokasi.

“Pukul 3.40 pagi, saya keluar nak pegi cari makanan untuk sahur, lepas tu tengah bungkus makanan dapat satu call yang kata kedai terbakar. Lepas itu saya bergegas pulang melihat gerai mercun,” katanya. – Suara Timur

Khamis, Mac 12, 2026

Aidilfitri: 300,000 kenderaan dijangka masuk Terengganu

 

Aidilfitri: 300,000 kenderaan dijangka masuk Terengganu

12/03/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Jumlah kenderaan yang memasuki Terengganu dijangka meningkat antara 56,000 hingga 66,000 sehari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula 19 Mac hingga 24 Mac depan,

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, pihaknya turut menjangkakan sebanyak 300,000 kenderaan akan masuk ke negeri ini dalam tempoh enam hari tersebut yang juga merupakan tempoh Op Selamat 26/2026.

“Kenderaan ini dijangka masuk ke negeri ini melalui ‘pintu masuk’ utama negeri di daerah Kemaman dan Besut serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

MOHD Khairi Khairudin memakai topi keledar kepada pelajar pada Majlis Perasmian dan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Aidilfitri Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Agama Al – Falah, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Seramai 500 anggota dan pegawai termasuk 385 anggota trafik akan bertugas sepanjang tempoh Op Selamat bagi memastikan kelancaran jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Aidilfitri yang disempurnakan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Terengganu, Maliaman Kassim, hari ini.

MALIAMAN memakai topi keleda kepada seorang pelajar pada  Majlis Perasmian Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Aidilfitri Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Agama Al – Falah, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu, Suzana Abu Bakar, Ketua Polis Daerah Kemaman, Mohd Razi Rosli dan pegawai serta anggota Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Mohd. Khairi berkata, pihaknya akan turut memberi fokus dan meningkatkan pemantauan serta kawalan di 20 lokasi ‘blackspot’ dan 23 lokasi ‘hotspot’ yang telah dikenal pasti sering berlaku kemalangan tinggi dan kesesakan, setiap kali musim perayaan.

SUZANA Abu Bakar memakai topi keledar kepada seorang pelajar pada Majlis Perasmian Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Aidilfitri Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Agama Al – Falah, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Lokasi ‘blackspot’ merupakan kawasan yang sering berlaku kemalangan maut manakala lokasi ‘hotspot’ pula merupakan kawasan yang sering berlaku kesesakan.

“Kawasan ‘blackspot’ melibatkan masing-masing empat lokasi di daerah Besut dan Marang, Kuala Terengganu dan Setiu masing-masing tiga lokasi serta masing-masing dua lokasi di daerah Kemaman, Hulu Terengganu dan Dungun,” katanya.

Menurutnya, kawasan ‘hotspot’ pula melibatkan masing-masing lima lokasi di Kuala Terengganu dan Besut; Kemaman, Dungun dan Marang masing-masing tiga lokasi serta Hulu Terengganu dan Setiu juga masing-masing mencatatkan dua lokasi.

“Enam punca berlaku kemalangan yang dikenal pasti ialah menggunakan telefon bimbit ketika memandu; memotong di garisan berkembar; cuai ketika keluar dan masuk simpang; mengekori kenderaan terlalu rapat; terbabas ketika membuat pusingan U dan terbabas sendiri,” katanya. – Suara Timur

Rabu, Mac 11, 2026

IPD Dungun adakan Program High Profile Policing sempena Ramadan

 

IPD Dungun adakan Program High Profile Policing sempena Ramadan

11/03/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun mengadakan Program High Profile Policing (HPP) sempena sambutan Ramadan Al-Mubarak di Bazar Ramadan Batu 48, di sini, petang semalam.

Program tersebut turut diserikan dengan majlis iftar Ramadan Ketua Polis Daerah Dungun bersama anggota serta pegawai barisan hadapan IPD Dungun.

Program dimulakan dengan pengedaran risalah pencegahan jenayah kepada pengunjung bazar oleh Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir.

Turut terlibat dalam program itu ialah anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Aman Wanita (Amanita) serta anggota Balai Polis Dungun, selain pegawai kanan dan pegawai rendah polis IPD Dungun.

MAIZURA Abdul Kadir (kiri) menyampaikan pamplet keselamatan kepada peniaga Bazar Ramadan Batu 48, Dungun, petang semalam.- SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Pada program berkenaan, Maizura bersama anggotanya turut berinteraksi dengan masyarakat dalam konteks Community Policing dan Outreach, selain memberi peluang kepada orang ramai untuk bertemu serta beramah mesra dengan pucuk pimpinan IPD Dungun.

Beliau berkata, penganjuran HPP bertujuan memberi keyakinan kepada pengunjung bazar bahawa keselamatan mereka sentiasa dipantau dengan kehadiran anggota polis, selaras dengan slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.

Sementara itu, Maizura turut mengingatkan orang ramai agar memaklumkan ketiadaan mereka di kediaman kepada pihak polis, khususnya ketika musim cuti atau perayaan, menerusi Aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

MAIZURA Abdul Kadir (hadapan, dua kiri) beramah mesra dengan peniaga Bazar Ramadan Batu 48, Dungun, petang semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Bagi pengguna Android, aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play Store, manakala pengguna Apple melalui Apple App Store dan pengguna Huawei melalui Huawei AppGallery.

“Maklumat yang disalurkan akan diterima oleh balai polis daerah dan rondaan harian akan dilakukan di kawasan kediaman yang dilaporkan sehingga penghuni pulang,” katanya.

Menurutnya, dengan maklumat tersebut, pihak polis dapat mengetahui bahawa pemilik rumah tiada di kediaman dan rondaan keselamatan akan dilakukan sepanjang tempoh ketiadaan mereka bagi mengelakkan kejadian jenayah seperti pecah rumah.

Katanya, langkah itu dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan kawasan perumahan serta memberi ketenangan kepada orang ramai ketika meninggalkan kediaman masing-masing. – Suara Timur

Selasa, Mac 10, 2026

Remaja perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah

 

Remaja perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah

10/03/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dilaporkan hilang dari rumah di Kampung Meraga Beris di sini sejak petang semalam.

Ariana Adawiyah Mohd Yulizan merupakan pelajar Pusat Tahfiz Batul Az – Zahra, Paka, Dungun dilihat keluar rumah selepas waktu Asar dengan berjalan kaki ketika ibunya sedang memasak untuk berbuka puasa.

Menurut sumber, mangsa dilihat melalui jalan kubur ke arah pajabat Pertubuhan Peladang Kijal sekitar pukul 7 petang.

“Ariana Adawiyah keluar dari rumah dengan memakai baju kurung dan tudung berwarna hitam dan membawa sebuah beg,” katanya kepada Suara Timur hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superinrenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan. – Suara Timur