MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, November 29, 2025

Lima rumah rosak ribut kepala angin di Taman Rakyat Bistari

 

Lima rumah rosak ribut kepala angin di Taman Rakyat Bistari

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kira-kira lima buah rumah penduduk di Taman Rakyat Bistari, Bukit Kuang di sini, mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dalam kejadian ribut kepala angin, petang tadi.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Salah seorang penduduk, Afifi Marwan Noor Zelin Ayadi, 32, berkata, dia dan penduduk lain tidak menjangka berlaku kepala angin memandangkan ketika kejadian cuaca cerah dan tidak hujan.

“Ketika kejadian saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja di Pelabuhan Kemaman, tiba-tiba saya terdengar seperti bunyi yang kuat, macam orang berlari di atas bumbung. 

“Bunyi tersebut sangat pantas dan kemudian senyap seperti tiada apa-apa berlaku. Saya keluar dari rumah dan dapati beberapa keping bumbung rumah berselerak di atas tanah,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Faiz Hafizi Adnan, 24, berkata, dia yang tinggal berseorangan ketika kejadian panik apabila mendengar bunyi bising di atas bumbung rumahnya.

“Saya ingatkan bunyi kera sebab kera kadangkala berlari atas bumbung, namun bila saya keluar dari rumah, saya terkejut apabila jiran beritahu rumah kami dipukul ribut dan kepala angin.

“Cuaca panas, tidak hujan dan tidak berangin, namun tiba-tiba berlaku kepala angin.

“Tahun lalu ada beberapa buah rumah juga rosak akibat ribut, namun ini pertama kali berlaku di rumah saya menyebabkan lebih 10 keping atap rumah diterbangkan angin,” katanya. – Suara Timur

Banjir: Penduduk Kampung Padang Kubu berpindah awal

 

Banjir: Penduduk Kampung Padang Kubu berpindah awal

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kira-kira 234 penduduk Kampung Padang Kubu, di sini, membuat keputusan berpindah awal ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejurus paras air Sungai Tebak melepasi paras bahaya dan melimpah ke kawasan kediaman mereka, semalam

Menurut penduduk, air sungai mula melimpah ke kawasan rumah kira-kira pukul 9 malam dan mereka mula membawa pelbagai kelengkapan berpindah ke PPS di masjid kampung berkenaan.

Seorang penduduk, Norazwani Ramli, 22, berkata, dia sekeluarga membuat keputusan untuk berpindah awal kira-kira pukul 9  malam apabila air banjir mula melimpah kawasan rumah.

SEORANG kanak-kanak meredah banjir di Kampung Padang Kubu, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut Norazwani, sebelum itu, dia bergegas ke rumah ibunya tidak jauh dari rumahnya untuk menghantar beberapa barangan penting sebelum berpindah ke PPS. 

“Saya bersyukur kerana membuat keputusan berpindah awal kerana masih mempunyai anak-anak kecil bagi memastikan keselamatan mereka sekeluarga,” katanya ketika ditemui semlam.

SALAH sebuah rumah dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Padang Kubu, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Seorang lagi penduduk terjejas, Hasanah Ismail, 51, berkata, air banjir kali ini naik begitu cepat sehingga memaksa mereka sekeluarga membuat keputusan berpindah awal sebelum diarahkan.

Menurut Hasanah, tindakan tersebut bagi mengelakkan mereka berpindah di saat-saat akhir kerana mengambil kira suaminya menderita penyakit angin ahmar sejak setahun lalu.

“Semalam dalam pukul sembilan kita dah mari sini, bertolak mari sini. Dia tak boleh nak jalan. Kita berdua je duduk kat sini. Pukul empat baru ada orang ramai.

SUDIN Muda (kanan) mengziarahi suami Hasanah Ismail yang terlantar akibat terkena angin ahmar di PPS Kampung Padang Kubu, Kemaman, semalam. –  SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Kubu, Sudin Muda berkata, beliau meminta penduduk berpindah awal bagi mengelakkan kesukaran sekiranya air sungai melimpah dan berlaku banjir pada lewat malam.

“Kita buat persediaan awal pemindahan bagi persediaan penduduk keluar lebih awal sebelum air naik,” ujarnya. – Suara Timur

Jumaat, November 28, 2025

Dua keluarga berdepan detik cemas rumah dihempap tanah runtuh

 

Dua keluarga berdepan detik cemas rumah dihempap tanah runtuh

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Dua keluarga berdepan detik cemas selepas bahagian dapur dua buah rumah didiami mereka musnah selepas dihempap tanah runtuh di Perumahan Felcra Seri Bandi, dekat sini, hari ini

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi tadi apabila sebuah bukit di bahagian belakang rumah berkenaan runtuh ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu.

Salah seorang mangsa, Zainon Awang berkata, ketika kejadian beliau sedang menyediakan sarapan pagi untuk keluarganya sebelum terdengar satu dentuman kuat di bahagian belakang rumahnya.

KEADAAN dapur rumah Hajrah Said yang rosak akibat  ditimpa tanah runtuh selepas hujan lebat di Perumahan Felcra Seri Bandi, Kemaman, hari ini.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Zainon bersama suami dan tiga anaknya yang terkejut mendengar bunyi bising itu terus bergegas keluar rumah dan berasa cemas apabila melihat bahagian dapur rumahnya runtuh dihempap pokok dan tanah. 

“Pada masa ini, saya sekeluarga berpindah sementara ke rumah saudara selepas dinasihati Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kijal, Razali Idris yang datang melihat kejadian itu,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Hajarah Said, berkata, sebelum kejadian, dia bersama anak serta anak saudaranya sedang menikmati sarapan pagi sebelum terdengar bunyi seperti hentaman kuat di belakang rumah.

HAJARAH Said (kanan) bersama anaknya terselamat selepas bahagian dapur rumah mereka dihempap tanah runtuh di Perumahan Felcra Seri Bandi, Kemaman, hari ini.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut Hajarah, mereka yang terkejut mendengar bunyi kuat itu terus ketakutan sebelum bertindak berlari keluar rumah untuk menyelamatkan diri.

“Selepas keluar rumah, saya sekeluarga terkejut melihat keseluruhan bahagian dapur rumah mereka runtuh dihempap pokok dan tanah runtuh itu,” ujarnya.

RAZALI Idris melawat rumah penduduk yang rosak ditimpa tanah runtuh di Perumahan Felcra Seri Bandi, Kemaman, hari ini.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sementara itu, ADUN Kijal, Razali Idris berkata, dua keluarga terbabit akan dipindahkan sementara ke tempat lain sementara pihaknya membuat penilaian sebelum melakukan kerja pembaikian cerun bukit.

Razali berkata, pihaknya menjangkakan kerja-kerja pembaikian cerun berkenaan akan dilakukan selepas musim tengkujuh ini.   

Sementara itu, pasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kijal, yang tiba di lokasi sejurus selepas kejadian turut menasihati mangsa terbabit supaya berwaspada bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.  – Suara Timur

MTL: Ketengah siap siaga hadapi banjir

 

MTL: Ketengah siap siaga hadapi banjir

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bersiap siaga menghadapi banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) dengan mengaktifkan Skuad Ihsan Madani Ketengah.

Unit Komunikasi Korporat Ketengah dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, Majlis Peluncuran Skuad Ihsan Madani Ketengah telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Ketengah, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa bertempat di Bilik Gerakan Banjir di Medan Info Desa, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun di sini semalam.

Seramai 112 orang sukarelawan Skuad Ihsan Madani Ketengah dan Civil Defence Auxiliary (CDA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan digerakkan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bagi bantuan segera kepada mangsa banjir yang terjejas dengan menyalurkan bantuan bekalan asas makanan.

TENGKU Ahmad Nadzri Tengku Musa (kanan) dan  Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah menampal pelekat Skuad Insan Madani pada Majlis Peluncuran Skuad Ihsan Madani Ketengah, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Hadir sama semasa peluncuran ini Pengurusan Ketengah, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah, pemimpin setempat, pertubuhan belia dan ahli Bomba Sukarela Bandar Al Muktafi Billah Shah.

“Skuad ini juga berperanan dalam menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke tempat yang lebih selamat serta memberi sokongan pasca banjir untuk pemulihan komuniti yang terlibat.

ANGGOTA sukarelawan Skuad Ihsan Madani Ketengah bersiap siaga menghadapi banjir pada MTL tahun ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Ketengah turut menyediakan kit bantuan banjir sebagai bantuan awal bencana kepada mangsa yang terjejas. Penambahan kit ini akan dilakukan secara berperingkat mengikut keperluan semasa dan jumlah mangsa di lapangan.

Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi Bilik Gerakan Banjir Ketengah, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun yang beroperasi 24 jam di talian 09-8222022. – Suara Timur

Khamis, November 27, 2025

Penduduk Taman Rakyat Teluk Kalong gesa kerajaan naik taraf sistem perparitan

 

Penduduk Taman Rakyat Teluk Kalong gesa kerajaan naik taraf sistem perparitan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Penduduk di Taman Rakyat Teluk Kalong, di sini, menggesa kerajaan segera menaik taraf sistem saliran untuk mengelakkan kawasan tersebut dilanda banjir terutamanya pada musim tengkujuh.

Mereka berkata, kerajaan perlu mendalamkan  parit yang semakin cetek sehingga mengakibatkan taman perumahan ini sering dinaiki air selepas hujan lebat.

Menurut penduduk, hujan lebat sejak semalam telah menyebabkan parit di kawasan itu dipenuhi air dengan cepat dan melimpah memasuki ke kediaman mereka sejak awal pagi tadi.

KAWASAN Taman Rakyat Teluk Kalong, Kemaman yang dilanda banjir selepas hujan lebat sejak emalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Penduduk yang tinggal berhampiran sebuah tapak projek pembinaan rumah baharu terpaksa berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Pusat Latihan Darul Iman (DITC) selepas limpahan air dari bukit bersebelahan tapak projek masuk ke kawasan rumah mereka.

Seorang penduduk, Ariffin Ismail berkata, hujan lebat sejak semalam menyebabkan berlaku limpahan air dari bukit berdekatan melalui tapak projek berkenaan dan masuk ke rumahnya.

ARIFFIN ISMAIL

“Buat masa sekarang ini, kalau boleh saya minta pihak berkenaan mendalamkan parit yang sedia ada untuk mengelakkan berlaku banjir,” katanya ketika ditemui Suara Timur.

Seorang lagi penduduk, Ku Nurul Atikah Ku Azmi berkata, sebelum ini kawasan tapak projek berkenaan menjadi tempat tadahan air dan apabila berlaku pembinaan rumah baharu di kawasan itu, air dari bukit akan melimpah ke kawasan rumah mereka.

KU NURUL ATIKAH KU AZMI

Menurutnya, jika peparitan dari projek perumahan yang baru dibina dibuat dengan betul air daripada atas taman tu turun terus ke sungai berdekatan.

Seorang lagi penduduk, Mohd Romzi Zakaria, berkata, pihak berkenaan perlu menyegerakan kerja-kerja mendalamkan sistem perparitan di kawasan itu bagi mengelakkan mereka berdepan banjir setiap tahun.

MOHD ROMZI ZAKARIA

“Parit yang ada sekarang ini cetek, jadi mintak kerajaan dalam dan lebarkan saliran supaya air mudah mengalir,” ujarnya.

Susulan hujan lebat berterusan semalam,  kira-kira 200 penduduk daripada 41 keluarga terbabit terpaksa dipindahkan ke PPS DITC Telok Kalong, selepas kawasan kediaman mereka dinaiki air sedalam hampir satu meter.

Tinjauan Suara Timur ke PPS berkenaan pagi tadi mendapati, kesemua penduduk terbabit mula dipindahkan sejak awal pagi dengan bantuan pelbagai agensi berkaitan termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sebelum ini, banjir terburuk direkodkan berlaku di RMM Teluk Kalong pada tahun 2020 dan air mencecah sehingga hampir tiga meter.

Kawasan berkenaan mempunyai 500 unit rumah yang didiami kira-kira 2,000 penduduk. – Suara Timur

12 individu terjerat kutu lelong tampil buat laporan polis

 

12 individu terjerat kutu lelong tampil buat laporan polis

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Polis menerima 12 laporan terhadap seorang peniaga wanita yang didakwa menipu mangsa melalui skim pelaburan dikenali ‘Kutu Lelong’, membabitkan kerugian sebanyak RM701,000.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, mangsa yang membuat laporan itu berusia 21 hingga 39 tahun dan mereka menyertai pelaburan tersebut dari Julai lalu hingga November ini.

Menurutnya, setiap mangsa dipercayai melabur antara RM200 hingga RM20,000.

Katanya, polis menganggarkan sehingga 400 individu disyaki terbabit dalam skim pelaburan itu.

“Laporan pertama dibuat seorang lelaki di Balai Polis Cukai pada Isnin lepas sebelum kes dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

“Beberapa laporan lain kemudian diterima, menjadikan jumlah keseluruhan 12 laporan sehingga semalam,” katanya kepada mesua di sini.

Beliau memberitahu, hasil siasatan awal, kita dapati skim pelaburan ini menjanjikan keuntungan yang cepat kepada pelabur.

“Jumlah kerugian yang kita kumpul daripada keterangan mangsa terlibat ialah RM701,000,” katanya.

Menurut Mohd Razi, suspek merupakan seorang peniaga berusia 27 tahun, berasal dari daerah ini.

Namun, sehingga kini suspek masih belum ditahan dan dipercayai tidak lagi berada di kawasan ini.

Tambahnya, kes telah dirujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Negara Malaysia untuk siasatan lanjut. – Suara Timurhttps://suaratimur.com.my/?p=9220

Rabu, November 26, 2025

Peniaga didenda RM2,500 miliki naskhah Muqaddam kandungi kesilapan kaedah penulisan

 

Peniaga didenda RM2,500 miliki naskhah Muqaddam kandungi kesilapan kaedah penulisan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seorang peniaga didenda sebanyak RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah memiliki 25 naskhah Muqaddam yang mengandungi kesilapan kaedah penulisan pada Ogos lalu.

Orang kena saman (OKS), Nor Azuwan Affendy Ibrahim, 46, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Amira Fatihah Osman.

Mengikut pertuduhan, Nor Azuwan Affendy didapati memiliki 25 naskhah Muqaddam Inlai bagi maksud penjualan atau pengedaran teks Al-Quran yang mengandungi kesilapan atau tidak mengikut kaedah penulisan yang ditentukan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kesalahan itu dilakukan lelaki itu kira-kira pukul 3.30 petang, pada 13 Ogos 2024 di premis perniagaannya di Bandar Paka, di sini.

OKS didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(2) Akta sama yang boleh dikenakan denda maksimum hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Nor Amira Fatihah memerintahkan OKS didenda sebanyak RM2,500 atau penjara 20 hari jika gagal membayar denda.

Kes dikendalikan Pendakwa Raya KDN, Yusri Md Daud manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Suara Timur

Isnin, November 24, 2025

Pemilik kedai runcit didenda RM8,000 jual rokok bawah harga jualan minimum

 

Pemilik kedai runcit didenda RM8,000 jual rokok bawah harga jualan minimum

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pemilik kedai runcit didenda RM8,000 oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual rokok di bawah harga jualan minimum.

Lee Jia Hua, 26, selaku orang kena saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati menjual produk tembakau jenis rokok melalui pekerjanya pada harga yang tidak mematuhi kadar minimum seperti yang ditetapkan pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 10.30 pagi di Kedai Runcit miliknya di Jalan Lapangan Terbang Kerteh, SPM7, Kerteh, pada 15 April 2025.

MOHD Nasir Mohd Shaari (tujuh dari kanan) dan Mohd Rosli Abd Wahab (enam dari kanan)  bergambar bersama kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di Mahkamah Seksyen Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A. RAHMAN

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(4) Akta Kawalan Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14(5)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Mohd Nasir Mohd Shaari dan Alias Awang Kechik.

Turut hadir Mohd Rosli Abd Wahab, Penolong Pengarah Kanan (Sub Pendakwaan) Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sebagai Pegawai Pendakwa penasihat teknikal.

Sebelum ini, taktik menjual rokok dengan harga rendah bagi menarik pembeli terbongkar selepas pasukan penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan serbuan di premis tersebut.

Menurut fakta kes, seramai lapan orang pegawai diberikuasa di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, [Akta 852] telah pergi ke premis perniagaan tersebut.

Hasil geledahan, sejumlah 180 kotak paket rokok pelbagai jenama yang keseluruhan bernilai RM1,266.50 telah disita.

Laporan Perakuan Juruanalisis bertarikh 30 Jun lalu telah mengesahkan bahawa paket rokok yang disita setelah dianalisis mempunyai ciri-ciri daun tembakau dan merupakan produk tembakau. – Suara Timur

Ahad, November 23, 2025

APM tangkap ular sawa batik seberat 200 kg

 

APM tangkap ular sawa batik seberat 200 kg

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia, Daerah Kemaman berjaya menangkap seekor ular sawa batik seberat lebih 200 kilogram (kg) di sebuah rumah penduduk di Kampung Padang Lalang, Binjai, dekat sini, hari ini.

Reptilia sepanjang kira-kira lapan meter yang ditangkap itu sedang kekenyangan selepas dikatakan menelan seekor kambing peliharaan penduduk kampung berkenaan.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kemaman, Leftenan (PA) Nassrudin Zulkifley berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk kira-kira pukul 10.30 pagi.

Menurut Nassrudin, sejurus menerima panggilan, seramai empat anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan selepas pemeriksaan dilakukan, pihaknya menemui ular berkenaan sedang kekenyangan berhampiran kandang peliharaan kambing milik penduduk.

ULAR sawa batik seberat 200 kg yang ditangkap di Kampung Padang Lalang, Binjai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Bercakap kepada media, Nassrudin berkata, pihaknya mengambil masa lebih 30 minit menangkap reptilia itu yang telah menelan seekor kambing seberat 20 kilogram.

Beliau memberitahu, pihaknya telah membawa ular berkenaan ke pusat kawalan operasi APM daerah Kemaman sebelum diserahkan kepada pihak berkenaan.

Nassrudin berkata, menasihati penduduk supaya sentiasa berwaspada dengan kehadiran binatang berbisa ke kawasan rumah ekoran musim tengkujuh ini dan segera menghubungi APM jika berdepan dengan situasi itu. 

Dalam perkembangan sama, Nassrudin berkata, bermula Januari hingga Oktober 2025, APM daerah Kemaman telah berjaya menangani sebanyak 961 kes berkaitan ular berbisa dan sehingga 22 November sahaja sebanyak 98 kes diselesaikan.

“Jumlah panggilan yang diterima berkaitan ular yang diterima APM dari Januari hingga 22 November 2025 sebanyak 1,059 kes,” katanya. – Suara Timur