MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Jun 02, 2018

Restoran di Kemaman diarah tutup kerana kotor


Restoran di Kemaman diarah tutup kerana kotor

MUKHATAR  A. RAHMAN
02 Jun 2018 8:10 PM


Lipas turut ditemui di restoran berkenaan yang boleh menjadi agen pembawa bakteria penyebab penyakit.

KEMAMAN - Sebuah restoran makanan yang dimiliki pengusaha bukan Islam di Jalan Masjid dekat sini diarah tutup serta-merta semalam selain dikenakan notis atas beberapa kesalahan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman.

Pegawai kesihatan daerah, Dr. Mohd. Anuar Abd. Rahman berkata, seramai lapan anggota penguat kuasa menjalankan operasi pemeriksaan ke atas tiga buah kedai makan bukan Islam di sekitar bandar Chukai yang beroperasi pada bulan Ramadan.

Menurutnya, salah sebuah daripada tiga restoran yang diperiksa telah diarahkan tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berikutan tahap kebersihan yang tidak mencapai piawaian.

"Hasil pemeriksaan mendapati bahan mentah seperti sayur-sayuran diletakkan di atas lantai yang kotor selain beras yang disimpan di dalam stor dibiarkan di atas rak tanpa pelapik.

"Stor tersebut juga sangat kotor, berbau dan menjadi tempat pembiakan lipas. Kami juga mendapati terdapat sisa makanan dan air buangan tidak diuruskan dengan sempurna sehingga menimbulkan bau yang memualkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Anuar berkata, kehadiran lipas di premis berkenaan boleh menjadi agen pembawa bakteria penyebab penyakit yang mendatangkan risiko seperti keracunan makanan.

Jelas beliau, hasil penilaian yang dilakukan juga mendapati restoran berkenaan memperolehi markah rendah iaitu 49 peratus, dibawah paras yang ditetapkan iaitu sebanyak 60 peratus. - K! ONLINE



Jumaat, Jun 01, 2018

Peniaga cemarkan kesucian Ramadan


Peniaga cemarkan kesucian Ramadan
Sikap tamak jadi punca


Anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kemaman 'menahan' makanan dan minuman yang dijual peniaga pada waktu yang ditegah penjualannya, pagi semalam. - UTUSAN ONLINE


01 Jun 2018 6:20 PM

KEMAMAN 1 Jun - Didorong oleh keinginan meraih untung dengan mudah, segelintir peniaga sanggup mencemarkan kesucian Ramadan dengan membekalkan makanan kepada kalangan yang ponteng puasa.

Gelagat peniaga yang sanggup bersengkongkol ini dikesan dalam operasi oleh penguat kuasa Pejabat Agama Daerah di sekitar bandar Cukai dan Geliga semalam.

Pegawai Agama Daerah, Ahmad Azhar Harun@Musa berkata, ada peniaga sudah menyediakan set makanan bersama air dengan harga RM4 hingga RM6 sebungkus sejak awal pagi.

Lebih 200 bungkus makanan dan minuman dirampas pihaknya untuk sementara waktu.

"Ada di dua tiga tempat kita tahan barang-barang jualan dan di satu kedai kita beri amaran kepada peniaganya.

"Ada juga peniaga kalangan lelaki dan wanita yang melarikan diri ketika menyedari kehadiran penguat kuasa.

"Kita tahan barang jualan kerana kita tak mahu mereka membuat jualan pada waktu tidak dibenarkan." ujarnya, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Azhat memberitahu, tiada sebarang tangkapan dibuat kerana pihaknya memberi tumpuan terhadap pencegahan agar tiada peniaga yang menjual makanan sebelum sebelum pukul 3 petang setiap hari.

Menurutnya, operasi pencegahan dilakukan sepanjang Ramadan bagi mencegah aktiviti penjualan makanan dan minuman kepada orang yang tidak berpuasa daripada berleluasa.

"Kadang-kadang penjual sendiri juga tidak berpuasa. Kalau dia jual 300 hingga 400 bungkus makanan sehari, akan ada 300 hingga 400 umat Islam juga tidak berpuasa," katanya. - UTUSAN ONLINE



Masjid Jamek Cukai ceriakan warga kariah

SEBAHAGIAN daripada penerima sumbangan Masjid Jamek Cukai Kemaman dalam majlis yang berlangsung semalam. - UTUSAN ONLINE


Mukhatar  A. Rahman
01 Jun 2018 3:21 PM

KEMAMAN 1 Jun- Masjid Jamek Cukai di sini meneruskan tradisi tahunan yang dimulakan 12 tahun lalu dengan meraikan lebih 100 anak yatim dan ibu mereka dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana semalam.

Dalam majlis itu mereka menerima sumbangan wang tunai agar dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana lebih menceriakan.

Pengerusi masjid, Hamid Johary berkata, pemberian sumbangan kali ini dibuat secara beramai-ramai di masjid dan tidak lagi dari rumah ke rumah.

“Kami memberi sumbangan sebegini termasuk semasa menjelang pembukaan seai sekolah menggunakan tabung masjid yang sebahagiannya juga untuk menambah baik masjid dan urusan pentadbiran,” katanya.

Selepas penyampaian sumbangan, disusuli tazkirah oleh imam masjid, Abdul Hadi Salleh sebelum jamuan berbuka puasa dan solat maghrib.

Sementara itu Melati Awang Noh, 41, berkata, ini kali pertama menerima dia dan anak-anak sumbangan dari Masjid Jamek Cukai sejak kematian suami awal tahun lepas.

Beliau yang tinggal di kediaman Flat Dusun Nyior dan bekerja sebagai kerani mengucapkan terima kasih diatas keprihatinan jawatankuasa maajid.

“Sumbangan ini dapatlah membeli pakaian buat dua anak saya, Nur Izah-Izzati Maliki, 12, dan Nur Aisyah Izzatul Maliki, 7,” ujarnya.

Bagi Zaimah Omar, 54, pula, ini merupakan sumbangan raya kali keempat yang diterima.

“Makcik ada 11 anak hasil dua perkahwinan. Dua orang anak hasil perkahwinan pertama tinggal bersama nenek mereka. Sembilan lagi tinggal bersama makcik.

“Lima masih bersekolah dan Alhamdulillah hari ini empat anak makcik menerima sumbangan dari pihak masjid,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE



Selasa, Mei 29, 2018

16 notis abai kebersihan kendali makanan

JOHAN menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang anugerah gerai Bazar Ramadan terbersih di Padang Astaka Cukai Kemaman semalam.-UTUSAN ONLINE


29 Mei 2018 2:28 PM


KEMAMAN 29 Mei - Pejabat Kesihatan Daerah ini mengeluarkan 16 notis atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi aspek kebersihan dalam pengendalian jualan makanan di Bazar Ramadan sehingga semalam.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd Anuar Abd Rahman berkata, tindakan diambil hasil pemeriksaan di tapak penjaja di lima lokaliti bazar berdaftar melibatkan seramai 532 pengusaha dan pengendali makanan

“Masih terdapat segelintir pengendali yang degil dan tidak mematuhi peraturan ditetapkan walaupun peringatan telah diberi melalui beberapa siri seminar dan pendidikan kesihatan sebelum Ramadan, “ katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Kempen Bersepadu di pekarangan Bazar Ramadan Jalan Padang Astaka, Cukai di sini petang semalam.

Pelancaran kempen anjuran bersama di antara Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman dengan Kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) itu disempurnakan oleh Yang Dipertua MPK, Johan Ibrahim.

Majlis pelancaran ini melibatkan 4 kempen yang berjalan serentak iaitu Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan, Nafas Baru Bermula Ramadan, Kemaman Bebas Denggi dan Amalan Makan Secara Sihat.

Menurutnya Mohd Anuar, kebanyakan kesalahan yang dikesan ialah tahap kebersihan diri pengendalikan makanan, tidak memakai apron dan tidak mengambil suntikan antityphoid.

“Selain itu sebanyak 8 sampel makanan telah diambil untuk dianalisis kandungan mikrobiologi bagi mengesan bakteria patogenik yang boleh menyebabkan penyakit bawaan air dan makanan khususnya keracunan makanan.

“Sabit kesalahan menjual makanan yang boleh memudarat kesihatan orang ramai boleh didenda sehingga RM100,000 di bawah Akta Makanan 1983,” katanya.

Menurutnya, antara punca yang sering berlaku keracunan makanan adalah amalan menjual makanan yang tidak habis dan dipanas semula. 

“Amalan ‘lihat, hidu dan bau’ sebelum membeli dan menikmati juadah berbuka dapat mencegah termakan makanan basi dan tercemar,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE


Iftar: EPIC raikan lebih 1,000 tetamu.

HANAFIAH menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim dalam program iftar anjuran EPIC di Kemaman semalam.-UTUSAN ONLINE


29 Mei 2018 1:06 PM


KEMAMAN 29 Mei - Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad menganjurkan Majlis Iftar Ramadan Kakitangan EPIC Bersama Anak Yatim dan Miskin di Pengkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (KSB) di sini petang semalam.

Majlis itu berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran hampir 1, 400 orang tetamu yang diraikan termasuk seramai 520 orang pelajar daripada 13 buah sekolah di sekitar daerah ini.

Pengerusi Kumpulan, Datuk Tengku Mahamad Tengku Mahamut berkata, majlis tersebut diharapkan dapat memberi lebih penghayatan kepada kakitangan serta jemputan tentang betapa pentingnya nilai kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat

“Melalui program ini EPIC turut menyampaikan sumbangan zakat bernilai RM52,000 kepada 520 orang pelajar yang diraikan,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Penyerahan zakat disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Selain wang tunai RM100 seorang mereka juga turut dibekalkan dengan cenderamata dan kuih raya sumbangan anak syarikat kerajaan negeri itu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor; Ketua Pegawai Operasi EPIC, Wan Shukri Mohammad dan Pengurus Besar Bahagian Perancangan dan Komunikasi Korporat EPIC, Abdul Adzim Abdul Hamid.

Sementara menunggu waktu berbuka puasa, majlis diisi dengan ceramah agama, bacaan yasin, tahlil dan selawat di samping persembahan nasyid, qasidah dan alunan zikrullah oleh kumpulan Seedrain.- UTUSAN ONLINE



Ahad, Mei 27, 2018

Maritim rampas bot, peralatan RM2juta

Maritim rampas bot, peralatan RM2juta
Pencerobohan perairan berterusan
LEFT. KOMANDER MARITIM, Mohamad Rezal Kamal Bashah



27 Mei 2018 10:17 PM


KEMAMAN 27 Mei - Cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan menyamar sebagai bot tempatan dan berbekalkan wang tunai untuk sogokan, namun dua bot nelayan Vietnam itu ditahankan semalam.

Penahanan terbaharu di kawasan kira-kira 62 kilometer dari perairan Kuala Kemaman itu menjadikan jumlah bot yang ditahan oleh Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Kemaman sebanyak 23 buah sejak awal tahun ini.

Dua buah bot itu ditahan oleh kapal Maritim dalam Operasi Perkasa Timur dan Operasi Marikh di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) bagi membasmi pencerobohan bot nelayan asing yang semakin berleluasa.

Ketua Zon Maritim Kemaman, Left. Komander Maritim Mohamad Rezal Kamal Bashah berkata, kedua-dua buah bot cuba berselindung menggunakan nombor pendaftaran tempatan.

“Bot tersebut dipercayai berasal dari negara Vietnam ditahan bersama 20 kru termasuk dua tekong berumur 17 hingga 47 tahun kerana melakukan kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Akta Imigresen 1959,” ujarnya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Rezal, tekong salah sebuah bot cuba memberi rasuah sebanyak RM8,000 kepada pasukannya agar tidak mengambil tindakkan terhadap mereka.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 1,500 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis, 1,600 kg sotong kering dan 500 kg ikan baja.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua buah bot dan peralatan dianggarkan berjumlah RM2 juta,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE