Penduduk Kampung Pengkalan, Chukai berpindah awal sebelum paras air meningkat
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Beberapa penduduk di Kampung Pengkalan, Chukai di sini berpindah awal selepas kawasan rumah mereka mulai dinaiki air selepas hujan berterusan sejak kelmarin.
Mereka mengambil keputusan berpindah awal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai sebelum banjir bertambah buruk.
Bagaimanapun, tinjauan Suara Timur pada pukul 12 tengah hari tadi di kampung terbabit mendapati air mulai menurun.
Seorang mangsa banjir di kampung itu, Noradila Muda, 41, berkata, paras air naik terlalu cepat menyebabkan keluarganya terpaksa berpindah awal di PPS SK Chukai, kelmarin.

“Saya keluar rumah pada pukul 8.30 malam dengan menaiki kenderaan sendiri menuju PPS SK Chukai, dan ketika keluar rumah paras air di dalam rumah paras lutut.
“Kami berpindah awal kerana bimbang paras air semakin tinggi.
“Tahun sebelum ni kita tak pindah, kita hanya duduk dirumah sahaja kecuali banjir besar,” katanya ketika ditemui Suara Timur di PPS SK Chukai di sini, hari ini.

Menurut, beliau turut membawa lima orang keluarga termasuk ibu yang berusia 69 tahun dan seorang kakak istimewa yang berusia 43 tahun.
“Alhamdulillah, layanan pihak yang mengendali PPS sangat baik dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat,” ujarnya.
Sementara itu, Yusnita Amzah, 47, pula berkata, air mula melimpah di kampung ini pada pukul 6 petang dah mula meningkat pukul 8 malam sehingga air memasuki dapur.

“Di tangga hadapan rumah air telah penuh dan kebetulan suami kerja malam. Saya bersama dua orang anak kemudian berpindah dengan menunggang motosikal dan daftar masuk PPS pukul 10 malam.
“Kami telah biasa berpindah di PPS ini sejak beberapa tahun lalu dan dalam keadaan hari ini amat selesa.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat di PPS ini yang sentiasa cakna dengan keadaan semasa,” tambahnya.
Menurut laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu pada pukul 1.30 petang terdapat seramai 500 mangsa daripada 162 keluarga di 3 buah PPS seluruh daerah Kemaman. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.