Mohamad Syafiq mahu ‘memanah’ emas di Sukan Asia, Olimpik 2026
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Berbekalkan minat dalam sukan memanah ketika berumur 10 tahun membakar semangat seorang anak muda dari Kampung Air Putih, di sini, Mohamad Syafiq Md Ariffin untuk mendalami sukan tersebut sehingga muncul sebagai atlet emas negara.
Ketika berada di tahun empat Sekolah Kebangsaan Air Putih, Kemaman, Mohamad Syafiq membuat keputusan menyertai kelab sukan memanah di sekolahhya untuk menambah kemahiran dalam sukan itu.
Semangat dan usaha berterusan Mohamad Syafiq, akhirnya membuahkan kejayaan dengan merangkul pingat emas acara memanah 50 meter berpasukan di temasya Sukan SEA Thailand, 2025 baru-baru ini mengalahkan peserta Thailand.
MOHAMAD Shafiq Md Ariffin menunjukkan pingat emas yang dimenangi di Sukan SEA kepada ibu bapanya di Kampung Air Putih, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Air Putih, di sini, Mohamad Syafiq bersyukur dengan kejayaan itu sekaligus membuktikan anak kampung yang serba kekurangan mampu melakukannya.
Beliau berkata, ketika di sekolah, dia tidak mampu menyediakan set alatan sukan memanah yang agak mahal, namun selepas menyertai kelab memanah di sekolah dia telah mendapat peluang itu.
“Selepas mengikuti pelbagai sesi latihan ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Nenas, Setiu, Terengganu, (Sekolah Sukan Terengganu), saya telah mendapat pelbagai kejayaan di peringkat negeri dan kebangsaan selain banyak kejayaan diperoleh ketika di sekolah rendah,” katanya ketika ditemui hari ini.
PINGAT emas yang dimenangi Mohamad Syafiq Md Ariffin dalam acara memanah di Sukan SEA 2025 di Thailand, baru-baru ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Menurut Mohamad Syafiq, antara kejayaan manisnya sebelum ini ialah berjaya meraih pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun 2018 dan 2022 dalam acara memanah 50 meter.
Katanya, dia juga berjaya meraih dua pingat pingat perak dalam SUKMA 2018 dan dua pingat perak serta satu gangsa dalam Temasya SUKMA 2022 dalam acara sukan menanah.
“Tumpuan saya kini adalah untuk meneruskan sesi latihan intensif dan memberi fokus untuk mengejar emas acara itu di Sukan Asia 2026 di Jepun serta Sukan Olimpik 2026 di Itali,” katanya.
SEBAHAGIAN daripada pingat dan hadiah yqng dimenangi Mohamad Shafiq Md Ariffin dalam sukan memanah. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Mohamad Syafiq yang baharu saja menamatkan pengajian kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dengan Kepujian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, selepas ini dia akan dapat menumpukan sesi latihan intensif yang akan diadakan.
Sementara itu, bapanya Md Ariffin Muda, 68, berkata dia sentiasa memberikan galakan dan semangat untuk anaknya itu meneruskan minatnya terhadap bidang sukan yang telah diceburi selama ini dan sekaligus dapat mengharumkan nama kampungnya, negeri GTerengganu dan negara Malaysia.
“Sebenarnya anak saya ini minat sukan memanah sejak dari kecil lagi, ketika umur 10 tahun.. dari sekolah rendah lagi dan atas berkat usaha dia itu, mungkin nak lebih tinggi kejayaan daripada sekarang ini,” ujarnya. – Suara Timur
Lelaki gagal larikan rantai emas berharga RM30,000
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN : Tindakan seorang lelaki untuk melarikan seutas rantai emas bernilai kira-kira RM30,000 gagal apabila dia berjaya diberkas seorang pelanggan lain di sebuah kedai emas di Paka, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.20 tengah hari.
Menurutnya, suspek yang memakai kopiah dan pelitup muka masuk ke kedai itu berpura-pura untuk membeli barang kemas.
“Suspek meminta pekerja kedai itu mengambil seutas rantai emas dan berpura-pura untuk membeli barang kemas itu sebelum bertindak melarikan diri.
“Bagaimanapun, suspek gagal melarikan diri selepas pintu automatik kedai itu berjaya dikunci pekerja kedai tersebut. Suspek cuba membuka pintu kedai itu namun salah seorang pelanggan dengan pantas bertindak menangkap suspek sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Maizura berkata, hasil siasatan polis mendapati suspek menggunakan sebuah kereta yang didaftarkan atas nama bapa saudara suspek dengan nombor pendaftaran palsu.
“Suspek ditahan reman sehingga Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial Facebook rakaman video kamera litar tertutup yang memaparkan kejadian itu. – Suara Timur
DUNGUN: Ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Itulah nasib malang yang menimpa pasangan suami isteri, Ismail Ibrahim, 50, dan isterinya Nurul Wahidah Ariffin, 40, di Bukit Besi di sini.
Menurut Nurul Wahidah, dia kini sedang menderita penyakit kegagalan buah pinggang sejak sepuluh tahun lalu dan kini hidupnya menjadi semakin suram selepas rumah tempat mereka berteduh musnah dijilat api pagi Selasa lalu.
Menurutnya, amat menyedihkan rumahnya yang menyimpan pelbagai cerita suka dan duka sejak dua tahun lalu musnah sekelip mata dan kini mereka terpaksa hidup sehelai sepinggang.
NIRUL WAHIDA ARIFFIN
Katanya, dia tidak dapat bekerja selepas menderita sakit buah pinggang tahap lima sejak 10 tahun lalu dan bergantung hidup dengan pendapatan suami sebagai juruukur sambilan di Johor.
“Ketika kejadian saya seorang diri di rumah manakala suami berada di tempat kerja telah terhidu asap dan melihat api mula membakar bahagian dapur rumah berkenaan.
“Saya yang agak keletihan selepas menjalani rawatan dialisis di hospital terpaksa meredah api untuk keluar dari rumah menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui hari ini.
Nurul Wahidah berkata, dia hanya mampu melihat rumahnya itu hangus dan musnah sepenuhnya termasuk sebuah kereta yang digunakan bagi urusan seharian dan urusan rawatannya.
Sementara itu, suaminya, Ismail pula berkata mereka kini hanya bergantung kepada bantuan keluarga terdekat dan pihak berkaitan bagi memudahkan isterinya menjalani proses rawatan dialisis.
ISMAIL IBRAHIM
“Buat sementara waktu, kami menumpang sementara di rumah adik yang tinggal berdekatan,” ujarnya.
Keperitan hidup pasangan itu turut mendapat perhatian ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turut turun bertemu untuk meninjau kerosakan rumah pasangan berkenaan.
Ghazali berkata, satu permohonan bagi pembinaan rumah baru melalui Tabung Darul Iman telah dibuat dan beliau akan merujuk permohonan itu kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi bantuan sewa rumah.
Menurut Ghazali, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Ismail Ibrahim di talian 013-2239094 atau RHB Bank, nombor akaun 26305100015078. – Suara Timur
Nur Aisyah bercita-cita menaiki podium Sukan Komanwel, Asia
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Pemenang pingat emas acara scratch wanita pada Sukan SEA 2025, Nur Aisyah Mohamad Zubir menyimpan cita-cita untuk menaiki podium pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow dan Sukan Asia 2026 depan.
Gadis berusia 28 tahun dari Kampung Banggol Kiri, Chukai berkata, kemenangan pingat emas di Sukan SEA 2025 itu membangkitkan semangatnya untuk melakukan kejutan di kejohanan lumba basikal bertaraf antarabangsa itu.
Menurutnya, walaupun cabaran dalam dua kejohanan terbesar itu cukup sengit namun dia tetap meletakkan harapan untuk meraih emas dalam kayuhan tersebit.
NIR AISYAH menunjukkan pingat emas dan perak yang dimenangi pada Sukan SEA di Thailand, baru-baru ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
“Pada masa ini, saya mengikuti latihan sepenuh masa bersama pasukan kebangsaan di Nilai, Negeri Sembilan untuk persediaan menyertai Sukan Komanwel 2026 di Glasgow dan Sukan Asia 2026 di Jepun.
“Kalau boleh saya selepas ini, nak pergi lebih jauh, saya nak bawa Jalur Gemilang dan nama negara Malaysia ke seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Kiri di sini hari ini.
Pada Sukan Sea 2025 di Thailand baru-baru ini, Nur Aisyah turut memenangi dua pingat perak dalam acara berbasikal lebuh raya dan kriterium wanita.
Mengimbas penglibatan awalnya dalam sukan berbasikal, Nur Aisyah berkata, beliau mula berjinak-jinak dalam sukan itu ketika berada di Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mentok sebelum menjalani latihan bersama Chukai Cycling Club.
SEBAHAGIAN daripada hadiah yang dimenangi Nur Aisyah Mohamad Zubir. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Menurutnya, beliau kemudian terpilih mewakili Terengganu ketika di Tingkatan Empat dan selepas itu menyertai beberapa kejohanan di peringkat kebangsaan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2014, 2016 dan 2018.
“Daripada tiga kejohanan SUKMA yang disertai itu saya berjaya merangkul 12 pingat emas dalam pelbagai kategori dipertandingkan,” katanya.
Nur Aisyah berkata, pada tahun 2019 dia menyertai pasukan negara dan mendapat pendedahan awal dengan menyertai beberapa pertandingan lumba basikal di dalam dan luar negara termasuk Sukan Olimpik 2024 Paris dalam acara lebuh raya.
Selain itu, beliau menambah, dia turut menjadikan raja dan ratu berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang serta Fatehah Mustapa yang juga berasal dari Terengganu, sebagai idola dan berhasrat mencapai kejayaan setaraf mereka.
Malah, tambahnya, kedua-dua atlet juga sentiasa memberi tunjuk ajar dan menyuntik semangat untuk memastikan dia terus berjaya dalam sukan berkenaan.
“Kalau mereka boleh berjaya, kenapa saya tidak. Saya sentiasa mencabar diri dan percaya suatu hari nanti saya juga mampu mencapai tahap seperti mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Aisyah berkata, sokongan padu daripada ibu bapanya, Mohamad Zubir Sulong, 57, dan Rapeah Said, 56, turut menjadi pembakar semangat utama sepanjang penglibatannya dalam sukan berbasikal.
“Walaupun saya berasal daripada keluarga nelayan dan hidup serba sederhana, saya berazam untuk mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik melalui kejayaan dalam sukan yang saya cintai ini,” katanya. – Suara Timur
KEMAMAN: Seekor tapir jantan ditemui mati, dipercayai dilanggar kenderaan berat di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran gerai jualan lemang, Kijal di sini, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, tapir yang dianggarkan seberat kira-kira 250 kilogram itu ditemui pengguna jalan raya kira-kira pukul 11.40 pagi.
“Tapir dewasa itu mati dipercayai dilanggar kenderaan. Hasil pemeriksaan menemui terdapat kesan kecederaan pada bahagian mulut, kaki dan badan bangkai hidupan liar itu,” katanya.
Kean Seong berkata, empat anggota Perhilitan daerah Kemaman kemudiannya mengambil bangkai tapir itu untuk dilupuskan.
“Kita nasihatkan agar pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati,” katanya. – Suara Timur
KUALA TERENGGANU: Pas yang bermesyuarat semalam mengugurkan serta-merta tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis.
Ketiga-tiga wakil rakyat itu adalah ADUN Chuping, Saad Seman, ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025).
“Pas akan memaklumkan ketetapan ini secara rasmi kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis bagi tujuan memenuhi Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 serta merta,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Difahamkan ia ada kaitan dengan isu lapan ADUN di Perlis termasuk tiga daripada Pas yang dilaporkan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli daripada Pas
Difahamkan timbul isu susulan dakwaan beberapa ADUN daripada Pas dan Bersatu menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Jumaat lalu, yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis mempunyai 15 ADUN dan Perikatan Nasional (PN) menguasai hampir keseluruhan kerusi dengan 14 ADUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri.
Daripada jumlah itu, sembilan kerusi dimenangi Pas, manakala lima kerusi lagi disandang Bersatu.
Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi satu kerusi menerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Barisan Nasional (BN) pula gagal menang di semua 15 kerusi DUN yang dipertandingkan. – Suara Timur
Anggota sukarela APM Dungun terima Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Anggota sukarela Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Dungun, Prebet (PA) Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif menerima anugerah Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya atas kejayaannya mengharumkan nama negara dengan meraih pingat gangsa di Sukan SEA Thailand 2025 di Thailand, baru-baru ini.
Mohamad Armin Zahryl berjaya meraih pingat gangsa dalam acara larian 110 meter berpagar pada kejohanan sukan tersebit.
Dalam satu kenyataan, APM berkata, kejayaan ini bukan sahaja membanggakan negara, malah turut mencerminkan dan semangat juang tinggi yang dimiliki oleh beliau sebagai seorang warga APM.
MOHAMAD Armin Zahryl Abdul Latif (tiga dari kanan) menerima anugerah Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya di atas kejayaan cemerlang dan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dengan meraih pingat gangsa dalam acara larian 110 meter berpagar di Sukan SEA Thailand 2025, baru baru ini.
Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah menganugerahkan Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya kepada anggota sukarela APM itu sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian yang amat membanggakan ini.
“Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya APM merupakan pehargaan tertinggi dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Sijil ini dianugerahkan kepada individu-individu terpilih yang telah memberikan sumbangan luar biasa serta mengharumkan nama pasukan, organisasi dan negara.
“Penerima sijil ini turut dianugerahkan emblem dan lencana khas sebagai simbol penghormatan serta pengiktirafan tertinggi daripada pihak APM,” menurut kenyataan APM hari ini.
Tambah kenyataan itu, penganugerahan ini diharap dapat terus menyuntik semangat kecemerlangan, meningkatkan motivasi serta memperkukuhkan imej Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sebagai sebuah organisasi yang melahirkan anggota berwibawa, berdisiplin dan berprestasi tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Untuk rekod, Mohamad Armin Zahryl menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 13.85 saat, sekali gus meraih pingat gangsa dalam saingan sengit di Stadium Bangkok.
Beliau berada di belakang atlet Filipina, Tolentino John Christopher (emas) dan atlet Singapura, Ang Chen Xiang (perak). – Suara Timur
Isnin, Disember 22, 2025
Sarjan maut kereta dipandu hilang kawalan, langgar besi penghadang jalan
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam satu kemalangan di kilometer 306.6, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kijal, dekat Bandar Seri Bandi, dekat sini, hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 7 pagi itu, Sarjan Raja Zulkifli Raja Husain, 49 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami cedera parah pada bahagian anggota badan.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Seberang Pintasan, Dungun menuju ke tempat kerjanya di Ibu Pejabat Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Kuantan, Pahang.
KEADAAN mayat Sarjan Raja Zulkifli Raja Husain selepas terlibat kemalangan di Kilometer 306.6 LPT2 berhampiran susur keluar Plaza Tol Kijal, dekat Bandar Seri Bandi, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Siasatan awal mendapati, sejurus tiba di lokasi kejadian, tayar belakang kereta Perodua Myvi dipandu mangsa dipercayai pecah menyebabkan kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan di tepi lebuhraya.
ANGGOTA polis mengangkat mayat Sarjan Raja Zulkifli Raja Husain selepas terlibat kemalangan di Kilometer 306.6 LPT2 berhampiran susur keluar Plaza Tol Kijal, dekat Bandar Seri Bandi, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Akibat rempuhan itu, mangsa dikatakan tercampak keluar dari keretanya lalu badannya menghempap sebatang tiang lampu di tepi lebuhraya berkenaan.
Mangsa yang mengalami cedera parah pada dalaman anggota badan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
RAJA ZULKIFLI RAJA HUSAIN
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, mayat mangsa kemudian di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Suara Timur
KEMAMAN: Seorang juruteknik maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas dalam satu kemalangan di daerah ini petang semalam.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.30 petang di Kilomater 5, Jalan Chukai – Air Putih berdekatan Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman, di Bandar Chukai dekat sini.
Ketika kejadian, mangsa Kamaruddin Hasan, 29, dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Binjai, Kemaman dari tempat kerjanya di sebuah syarikat minyak dan gas di Kawasan Perindustrian Paka, Dungun.
ANGGOTA polis mengangkat mayat Kamaruddin Hasan yang meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan dan terbabas di di Kilomater 5, Jalan Chukai – Air Putih, Chukai, Kemaman, semalam.
Siasatan awal mendapati sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggang mangsa dari arah Chukai ke Air Putih dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan jalan.
Kejadian itu menyebabkan mangsa dan motosikalnya terjatuh serta terseret di atas jalan menyebabkan mangsa mengalami cedera parah pada kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman (HK) untuk proses bedah siasat serta urusan selanjutnya.
KAMARUDDIN HASAN
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Mohd Razi berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Suara Timur
150 otai polis IPD Kemaman tahun 2004 hingga 2008 bertemu semula
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Lebih 150 orang bekas anggota polis yang pernah bertugas di daerah ini pada tahun 2004 hingga 2008 hadir memeriahkan Program Perjumpaan Semula Otai PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman (Reunion Otai PDRM IPD Kemaman) Bil. 2/2025 di Casa Dinda (Nostimo’s) di sini malam tadi.
Rata-rata mereka yang kebanyakannya menetap di negeri-negeri Pantai Timur teruja dapat bertemu semula rakan seperjuangan masing-masing selepas lebih 16 tahun terpisah.
Program ini merupakan pertemuan kali kedua diadakan selepas pertemuan kali pertama diadakan pada Oktober 2019.
SEBAHAGIAN daripada bekas anggota polis yang memeriahkan Program Perjumpaan Semula Otai PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman (Reunion Otai PDRM IPD Kemaman) Bil. 2/2025 di Casa Dinda (Nostimo’s), Kemaman, malam tadi. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Perhimpunan itu melibatkan anggota dan kakitangan IPD Kemaman yang pernah bertugas semasa diterajui bekas Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Komisioner Polis (DCP), Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.
Tidak dapat diungkap dengan kata-kata bagi mengambarkan keterujaan mereka yang pernah bertugas di daerah ini apabila bertemu semula buat kali kedua selepas lebih 16 tahun.
BEKAS anggota polis wanita yang hadir pada Program Perjumpaan Semula Otai PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman (Reunion Otai PDRM IPD Kemaman) Bil. 2/2025 di Casa Dinda (Nostimo’s), Kemaman, malam tadi. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Ternyata pertemuan itu meninggalkan kenangan manis bagi mereka untuk mengimbas kenangan lalu seterusnya mengukuhkan jalinan persahabatan meskipun terpisah sejak sekian lama.
Lebih manis, majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan lama yang kini kebanyakan pesara polis yang menetap di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
WAN Abdul Bari Wan Abdul Khalid menyampaikan cenderahati kepada Mohd Razi Rosli pada Program Perjumpaan Semula Otai PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman (Reunion Otai PDRM IPD Kemaman) Bil. 2/2025 di Casa Dinda (Nostimo’s), Kemaman, malam tadi. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Sebahagian daripada mereka tinggal di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perak hadir dalam pertemuan ini.
Wan Abdul Bari yang juga bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berkata, sejak bersara pada bulan Jun 2017, beliau sering menjelajah seluruh negara menemui rakan-rakan yang sekian lama terpisah dan secara tidak langsung dapat mengubat kerinduan terhadap mereka.
“Persahabatan di antara kami yang terjalin puluhan tahun lalu diharap akan terus berkekalan sehingga akhir hayat. Kita harap majlis seperti ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya kepada Suara Timur di sini.
WAN Abdul Bari Wan Abdul Khalid menyampaikan cenderahati kepada Wan Mohamad Wan Ja’affar sempena Program Perjumpaan Semula Otai PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman (Reunion Otai PDRM IPD Kemaman) Bil. 2/2025 di Casa Dinda (Nostimo’s), Kemaman, malam tadi. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Beliau yang juga Penaung Program Perjumpaan Semula Otai PDRM IPD Kemaman memulakan kerjaya sebagai anggota polis hutan dari tahun 1977 hingga 1985 di Tampin, Negeri Sembilan berkata, rakan-rakan pegawai yang baru dan sedang bertugas turut dijemput bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan bertanya khabar tentang keluarga mereka.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Mohamad Wan Ja’affar, Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman, Asisten Superintendan Mohd. Khairil Abdullah dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kemaman, Asisten Superintendan Zul Ilham Abd. Rahim.
BEKAS Pegawai Pendakwa IPD Kemaman Asisten Komisioner (B), Gan Chip Po menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada Jamilah Deraman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Wan Abdul Bari memberitahu, bagi merealisasikan majlis tersebut, persatuan pesara polis Terengganu dan anggota IPD Kemaman membantu mencari rakan-rakan lama kerana mereka mempunyai senarai nama pesara polis.
Sementara itu, Bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Negeri Sembilan, Deputi Superintendan Mohamad Ali Hanafiah berkata, beliau gembira bercampur sedih setelah sekian lama tidak pernah berjumpa dengan anggota yang pernah sama bertugas dan menabur bakti di IPD Kemaman.
“Terima kasih di atas penganjuran ini yang merupakan jejak kasih bagi melepas rindu kepada rakan seperjawatan yang pernah bersama suka dan duka dalam menjalakan tugasan masing masing,” katanya.
MOHAMAD ALI HANAFIAH
Beliau yang pernah menjawat jawatan Ketua Polis Balai Chukai sebelum berpindah di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Terengganu berkata, program ini dapat mengeratkan silaturahim agar hubungan terus berkekalan.
Mohamad Ali kini menetap di Taman Krubong Perdana, Melaka setelah bersara awal Disember lalu.
Dalam pada itu, Sarjan Pentadbiran Balai Polis Chukai, Sapiah Singah, 64, pula berkata, beliau gembira dapat berjumpa rakan lama dan berkumpul beramai ramai sambil mengembalikan nostalgia ketika bersama rakan seperjuangan yang pernah bersama di IPD Kemaman.
SAPIAH SINGAH
Beliau yang bersara pada tahun 2008 kini menetap di Kuantan, Pahang bersama keluaga.
Seorang lagi bekas anggota polis di IPD Kemaman, Sarjan Mejar Mohd Isnen Abu Bakar yang bermula pangkat Lans Kopral hingga Sarjan selama 17 tahun di IPD itu berkata, majlis ini merupakan satu kenangan yang terindah dan sukar dilupakan apabila dapat bertemu kembali dengan rakan seperjuangan di Reunion Otai PDRM IPD Kemaman.
MOHD ISNEN ABU BAKAR
Beliau yang kini menjawat jawatan Ketua Balai Polis Kuala Dipang, IPD Kampar, Perak pula berkata, beliau seronok jumpa dengan sebahagian rakan-rakan lama, otai-otai yang masih sihat, termasuk Wan Abdul Bari.
“Terima kasih di atas penganjuran ini, kita tidak tahu bila lagi akan bertemu semula. Insya-Allah jika diberi peluang dan ruang oleh yang maha esa, mungkin akan bertemu lagi,” ujarnya. – Suara Timur
Semua berita yang disiarkan didalam Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan tulisan penulis yang diolah oleh Biro Utusan Malaysia dan Kosmo! Terengganu.
Mereka terdiri daripada Wan Zulkifli Wan Yaakob, Azli Adlan, Radhuan Hussain dan Rosalinda Md. Said
Bermula Oktober 2019 menjadi penulis bebas
Bermula Mac 2025 ditawar menjadi wartawan sambilan dengan Portal Suara Timur
Dilahirkan di Kg Tasik Mengkuang, Kerandang, Besut, Terengganu.
Dibesarkan di Kemaman Terengganu.
Jawatan sukarela dan badan bukan kerajaan.
1. Menyertai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia ( 1989 hingga sekarang )
2. Dilantik sebagai Timbalan Ketua Platun TRG 0219 dari tahun 1994 - 1998
3. Dilantik sebagai Ketua Kumpulan Elit dari Tahun 1994 - 1998
4. Pengasas Persatuan Belia Seri Jaya pada Tahun 1993
5. Pengerusi Persatuan Belia Seri Jaya dari Tahun 1994 - 2004
6. Pengasas UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya pada Tahun 1994
7. Ketua UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 1994 - 1995
8. Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 1995 hingga 2023.
9. Dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa MAYC Kawasan Kemaman dari Tahun 1998 hingga 2009.
10. Dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Daerah Kemaman dari Tahun 2000 - 2004
11. Dilantik Timbalan Pengerusi JKKK Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 2005 hingga 31 Mac 2014.
12. Dilantik sebagai Pengerusi JKKK Kg Lot Seri Jaya dari bermula 1 April 2014 hingga 31 Mei 2018
Menjadi Ahli PAS dari Tahun 1987 - 1993