MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, April 18, 2026

Gajah liar musnah tanaman pekebun di Kampung Besol Lama, Bukit Besi

 

Gajah liar musnah tanaman pekebun di Kampung Besol Lama, Bukit Besi

18/04/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Para pekebun di Kampung Besol Lama, Bukit Besi di sini merayu pihak berkenaan dapat segera menyelesaikan masalah serangan gajah liar yang memusnahkan tanaman mereka.

Masalah itu telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu menyebabkan kira-kira 15 pekebun sentiasa menanggung kerugian besar susulan kerosakan tanaman milik mereka.

Penduduk mendakwa, dalam serangan terbaru pada Rabu lalu, kumpulan gajah liar berkenaan telah memusnahkan puluhan pokok pisang milik pekebun yang sedang menanti masa untuk dituai.

NASARUDIN Mohd Salleh menunjukkan buah pisang yang dirosakkan gajah liar di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Besol Lama, Nasarudin Mohd Salleh berkata, gajah liar itu dipercayai keluar dari hutan simpan berhampiran.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pekebun terpaksa berputih mata ekoran tanaman pisang yang boleh dituai hasilnya musnah.

“Keadaan itu menyebabkan beberapa pekebun bimbang untuk pergi ke kebun kerana kumpulan gajah liar itu masih berada di sekitar kawasan hutan berhampiran.

NASARUDIN Mohd Salleh menunjukkan kawasan kebun pisang yang dirosakkan gajah liar di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Pekebun juga sukar melakukan kerja menanam semula kerana sudah tiada modal atau sumber untuk membeli anak pokok baharu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini

Menurut Nasarudin, pihaknya akan membawa masalah itu kepada pihak Pejabat Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah Dungun bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan isu itu.

Tambahnya, pada masa sama pihaknya juga akan cuba membantu dan mencari jalan terbaik bagi membantu pekebun yang terjejas. – Suara Timur

Jumaat, April 17, 2026

Seluas 20 hektar hutan paya gambut di Rhu Batil terbakar

 

Seluas 20 hektar hutan paya gambut di Rhu Batil terbakar

17/04/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN:  Kebakaran hutan paya gambut dekat Kampung Rhu Batil di sini sejak isnin lalu dipercayai berpunca daripada aktiviti pihak tertentu yang melakukan pembakaran terbuka yang tidak dikawal.

Situasi tersebut menyebabkan kawasan hutan paya gambut seluas kira-kira 20 hektar musnah terbakar dan menghasilkan asap tebal yang menjejaskan penduduk kampung.

Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Yahaya Hanafi berkata, setakat ini kira-kira 10 hektar kawasan hutan itu berjaya dipadam, manakala bakinya sedang giat diteruskan pemadaman.

SEORANG anggota bomba memadam kebakaran kawasan hutan paya gambut yang terbakar di Kampung Rhu Batil, Dungun, sejak Isnin lalu. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Operasi tersebut berdepan cabaran ekoran keadaan tanah yang lembut menyukarkan akses logistik ke lokasi kebakaran dan komposisi tanah gambut yang memudahkan pembakaran berlaku di bawah tanah

“Faktor cuaca panas dan kering juga mempercepatkan penyebaran api yang boleh menyukarkan operasi pemadaman dilakukan,” katanya ketika ditemui hari ini.

SEBAHAGIAN daripada kawasan hutan paya gambut yang terbakar di Kampung Rhu Batil, Dungun, sejak Isnin lalu. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut Yahaya, operasi pemadaman turut dibantu beberapa agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan RELA.

Katanya, bomba sedang memantau kawasan berkenaan bagi memastikan api tidak merebak dan operasi berkenaan dapat ditamatkan dalam seminggu lagi.

Pada masa sama tambahnya, bomba mengingatkan penduduk berhampiran supaya mengelakkan pembakaran terbuka bagi mengelakkan situasi itu menjadi lebih buruk. – Suara Timur


Rabu, April 15, 2026

Tompokan minyak cemari Pantai Teluk Kalong

 

Tompokan minyak cemari Pantai Teluk Kalong

15/04/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Penduduk yang tinggal berhampiran Pantai Teluk Kalong di sini bimbang dengan pencemaran dipercayai tompokan sisa-sisa minyak mencemari kawasan pantai peranginan itu.

Mereka risau tompokan sisa-sisa minyak tersebut bukan sahaja mencemari keindahan pantai berkenaan malah turut mengancam pelbagai hidupan laut.

Penduduk mendakwa, tompokan tumpahan sisa-sisa minyak itu mula dikesan kira-kira dua hari lalu dipercayai berpunca aripada kapal yang berlabuh di pelabuhan berhampiran pantai berkenaan.

Tinjauan di pantai berkenaan mendapati terdapat tompokan sisa-sisa minyak sepanjang kira-kira dua kilometer memenuhi kawasan pesisir pantai itu serta menghasilkan bau kurang selesa.

ANGGOTA JAS memantau pencemaran tompokan minyak menggunakan teknologi  dron di Pantai Teluk Kalong, Kemaman.

Beberapa nelayan pantai turut menemui pelbagai bangkai hidupan laut termasuk sotong dan ikan di sepanjang pantai itu dipercayai mati akibat pencemaran berkenaan.

Penduduk, Mohammad Hasban Khalid berkata, kawasan pantai peranginan itu telah dicemari sisa-sisa arang batu dan terbaharu sisa-sisa minyak dipercayai daripada kapal yang berlabuh berdekatan pantai ini.

“Pencemaran tersebut mengakibatkan hasil tangkapan nelayan pantai berkurangan apabila banyak ikan dan sotong telah mati dan pendapatan mereka terjejas,” katanya.

Penduduk, Mohd Noor Ali pula berkata,  pencemaran tompokan minyak itu menjejaskan kehadiran pengunjung di pantai tersebut untuk beriadah.

“Saya bimbang kehadiran pengunjung di pantai ini akan semakin berkurangan sekiranya kawasan ini sering diancam pencemaran,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Azrol Naim Rahim berkata, kebanyakan pengunjung gemar mandi di Pantai Teluk Kalong kerana airnya bersih sebelum ini.

Namun katanya, pencemaran tersebut menyebabkan pengunjung tidak selamat untuk mandi kerana bimbang air laut tercemar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Hamzah Mohamad ketika dihubungi memaklumkan, sampel minyak berkenaan telahpun diambil bagi tujuan pengesanan dan analisis.

Menurut Hamzah, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Kemaman bagi menyelaras kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di pantai berkenaan mengikut pelan tindakan ditetapkan.

Hamzah berkata, JAS sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab. – Suara Timur

Selasa, April 14, 2026

Peruntukan khas RM60 juta laksana program basmi kemiskinan di Terenggabu

 

Peruntukan khas RM60 juta laksana program basmi kemiskinan di Terenggabu

14/04/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KUALA TERENGGANU: Kerajaan meluluskan peruntukan khas RM60 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan di Terengganu tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, insentif itu memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan rakyat serta pembaikan perumahan khususnya melibatkan golongan berpendapatan rendah

“Pelaksanaan program itu akan diselaraskan oleh unit penyelarasan pelaksanaan ICU Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan bantuan disampaikan secara berkesan kepada golongan sasar,” katanya

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Majlis Mesra Madani di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Terengganu.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Madani YAB Perdana Menteri bersama Pelajar Tahfiz Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Datuk Seri Anwar mengumumkan peruntukan RM1.8 juta bagi kerja kerja naik taraf infrastruktur dan fasiliti melibatkan intitusi tahfiz dan pondok di negeri itu.

Beliau berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan pendidikan agama serta memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan nilai ihsan.

ANWAR Ibrahim (tengah) disambut guru dan pelajar pada Majlis Mesra Madani di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Kuala Terengganu. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, institusi tahfiz memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berakhlak, berilmu dan berintegriti.

“Peruntukan tersebut melibatkan kerja-kerja penambahbaikan kemudahan asas serta sokongan kepada proses pembelajaran agar lebih kondusif,” ujarnya.

Selain itu, Perdana Menteri menegaskan institusi pendidikan agama perlu menguasai teknologi baru agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan. – Suara Timur

Ahad, April 12, 2026

Sambutan Ulang Tahun Ke-53 penubuhan KETENGAH meriah

 

Sambutan Ulang Tahun Ke-53 penubuhan KETENGAH meriah

12/04/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

HULU TERENGGANU:  Sambutan Ulang Tahun Ke-53 Penubuhan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang melibatkan tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman meriah dengan pelbagai acara diadakan semalam.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi KETENGAH Datuk Rozi Mamat bertempat di Dataran Wisma Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu.

Program yang mencerminkan komitmen berterusan KETENGAH dalam memperkukuh hubungan komuniti di wilayahnya dan usaha bersepadu dalam merealisasikan komuniti harmoni dan sejahtera selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

ROZI Mamat menyertai Fun Brisk Walk sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-53 Penubuhan KETENGAH Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Pelbagai program telah diadakan bersama-sama komuniti bermula pada awal pagi hingga malam antaranya Fun Brisk Walk, pertandingan mewarna, tukar minyak hitam motorsikal, sukaneka, gotong-royong, bicara ilmu, kenduri sekampung dan lain-lain lagi.

Program ziarah kasih dan santuni penduduk turut diadakan melibatkan peruntukan berjumlah RM21,000.00 dengan 70 orang penerima yang menerima sumbangan bakul makanan dan wang tunai.

Inisiatif ini membuktikan keprihatinan KETENGAH dalam menyantuni golongan yang memerlukan.

ROZI Mamat bertanya sesuatu kepada Muhammad Syukur Khamis sempena Majlis Sambutan Ulangtahun ke-53 Penubuhan Ketengah di Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Pada masa yang sama juga, KETENGAH turut memberi sumbangan berjumlah RM9,000.00 kepada tiga buah masjid di tiga daerah tersebut.

Program ini diadakan dengan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pusat Latihan Giat Mara (GIAT MARA), FELDA, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Agama Daerah, Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) FELDA.

Pada majlis tersebut, seramai tujuh orang tenaga pengajar daripada Unit Pendidikan Kemahiran KEMAS Hulu Terengganu telah memberi bimbingan kepada 35 orang wanita muda Felda Jerangau Barat cara cara membuat puding tembikai.

TENAGA  pengajar daripada Unit Pendidikan Kemahiran KEMAS Hulu Terengganu turut memeriahkan Majlis Sambutan Ulangtahun ke-53 Penubuhan KETENGAH  di Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sementara itu Pusat Latihan Giat Mara (GIAT MARA) Hulu Terengganu menghantar 14 orang pelatih pusat tersebut bagi membantu masyarakat setempat menukar minyak hitam motorsikal mereka.

Seorang pelatih yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Muhammad Syukur Khamis, 21, yang dikenali nitizen dengan nama sebagai Syukur – The Kampung Boy tujuh tahun lalu ketika ditemui Suara Timur berkata, beliau pernah mengikuti kursus teknologi motosikal di GIAT MARA Hulu Terengganu selama enam bulan dan kini menyambung kursus dalam bidang motorsikal elektrik (EV) dengan membaiki motorsikal elektrik di pusat yang sama.

ROZI Mamat mengadakan sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulangtahun ke-53 Penubuhan Ketengah di Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Kursus teknologi motosikal di GIAT MARA Hulu Terengganu menawarkan latihan teori dan amali yang komprehensif untuk membekalkan pekerja dengan kemahiran servis motosikal yang tinggi.

Sebaik sahaja tamat mengikuti mengikuti kursus teknologi motosikal, saya terus sambung kursus motorsikal elektrik selama tiga bulan.

PELAJAR Giat Mara Hulu Terengganu menukar minyak hitam motosikal sempena Majlis Sambutan Ulangtahun ke-53 di Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Pelatih akan dapat melaksanakan tugas-tugas praktikal seperti penjagaan, modifikasi, pengujian, pemasangan dan pemulihan motosikal mengikut standard penilaian yang ditetapkan. Kursus ini juga membina kebolehan pelatih untuk menjadi usahawan teknokrat.

Motosikal Elektrik ialah motosikal yang digerakkan oleh motor elektrik menggunakan tenaga daripada bateri, bukan enjin pembakaran dalaman. Ia mesra alam, senyap, jimat tenaga, dan memerlukan penyelenggaraan yang lebih rendah berbanding motosikal konvensional. – Suara Timur