MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Ahad, Mei 13, 2012

Kenapa UMNO parti keramat?


Kenapa UMNO parti keramat?

SEJARAH parti keramat ini pada 11 Mei diraikan semula tahun ini di usia 66 tahun. Umur yang dikira amat matang dan dewasa. Bagi pembangkang mereka melihat umur UMNO ini adalah saat-saat yang menanti detik kematian.
Saya asalnya bukan pendokong UMNO, malah jauh dari itu pernah menyokong Pas bermatian-matian hanya kerana Anwar Ibrahim sekitar 1998 hingga 2003. Ketika dalam kesesatan menyokong perjuangan 'bodoh' bersama Pas, saya mula nampak 'kehebatan' UMNO.

Dari kebencian yang meluap-luap terhadap UMNO, saya mula mengkaji kenapa UMNO dikatakan parti keramat. Pembangkang berjaya menanam rasa kebencian yang amat mendalam saya terhadap UMNO dan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu. Malah saya pernah mengangkat kaki di peti televisyen ketika gambar beliau disiarkan.
Ketika pengumuman peletakan jawatan Dr. Mahathir yang saya benci, saya menangis teresak-esak di hadapan televisyen. Saya bertanya kenapa ia berlaku kepada saya ketika itu. Tentu ada sesuatu yang hebat dalam diri pemimpin UMNO itu.

Saya menemui banyak jawapan yang menyebabkan saya tidak akan berpaling dari menyokong UMNO sehingga ke akhir hayat saya. UMNO tidak menjanjikan syurga untuk saya, tetapi saya yakin menyokong Pas akan mengundang saya ke api neraka.

Namun saya masih lagi tertanya, kenapa UMNO 'lemah' sedangkan sepatutnya parti ini wajar memiliki ahli yang sanggup berjihad mempertahankannya. Kenapa ahli UMNO perlu menunggu arahan dalam meniup obor perjuangan.
Saya melihat kelemahan ahli dan pemimpin tertentu untuk menyedari peranan mereka. Pemimpin harus berupaya menyedarkan situasi cemas dan sentiasa sanggup bersedia berjuang dan berjihad memastikan kemenangan UMNO/ BN di kawasan masing-masing. Keadaan yang mendesak ini perlu dijadikan semangat untuk bangkit dan bergerak cergas dalam masa-masa kritikal menjelang PRU-13.

Saya masih teringat wawancara bersama Tun Dr. Mahathir di akhbar Mingguan Malaysia pada 20 November 2011. Apa yang boleh disimpulkan dari komen Tun tentang UMNO dan kepimpinannya terlalu bernas, tepat dan hampir sukar untuk dinafikan. Tun serta banyak pihak bercakap isu ini kerana sedar apa yang berlaku atas sebab sayang dan kasih terhadap UMNO yang menjadi payung kepada agama Islam, kekuatan bangsa Melayu dan tunggak kesejahteraan negara.

Soalnya, kenapa UMNO masih gagal meyakinkan golongan atas pagar dan gagal menarik ahli parti pembangkang yang sekarang sebenarnya dalam keadaan caca-merba dan tersangat keliru? Kenapa penyokong Pas atau PKR tidak berduyun-duyun menyertai UMNO seperti mana tahun 1998/99 ketika UMNO pernah ditimpa prasangka buruk, hingga ramai ahlinya yang menyertai pembangkang?

Kenapa strategi UMNO/BN sering gagal dan tidak menjadi? Malah kebanyakan masyarakat melihat seolah-olah hanya Perdana Menteri dan Timbalannya yang bertungkus-lumus meyakinkan rakyat tentang jasa dan sumbangan UMNO/BN. Ke mana hilangnya peranan Ketua Perhubungan UMNO Negeri, Ketua Bahagian dan Ketua Penerangan sayap-sayap UMNO empat peringkat juga Ketua Cawangan?

Susah sangatkah mereka untuk merancang gerak kerja mendekati golongan pembangkang tegar dan atas pagar agar terbuka minda menyokong UMNO/BN. Malah amatlah malang bagi saya apabila melihat hampir semua program UMNO adalah untuk ahli UMNO dan penyokong tegar parti ini sahaja dan dilaksanakan di tempat tertutup. Apa yang sering UMNO anjurkan adalah lawatan, aktiviti sukan dan aktiviti rutin yang langsung tidak menjana ahli baru menyokong parti ini.

Sebagai bekas penyokong pembangkang, saya melihat sebilangan besar kepimpinan UMNO kurang berfikir di luar kotak. Mereka hanya menjaga ahli yang setia dan manja. UMNO tidak berani melakukan apa yang menjadi strategi pembangkang seperti ceramah terbuka berskala besar berbekalkan speaker dan corong suara yang boleh didengar dari jauh.

Pembangkang juga telah lama giat mengedar risalah yang mendedahkan keburukan dan fitnah terhadap kerajaan BN di kampung-kampung dengan kerajinan jentera mereka.

Kempen pembangkang cukup mudah dan murah!. Mereka hanya berbekalkan konsep ceramah terbuka di padang dengan kos yang minimum tetapi mampu menarik beribu orang dan menyokong mereka. Dakyah mereka meresap masuk dengan mudah kepada sesiapa sahaja yang hadir jika apa yang didengar itu tidak ditapis secara hikmah.
Bukti dan hasilnya, mereka mengekalkan kuasa di Kelantan selama 21 tahun sekalipun tiada kemajuan dan kemakmuran dapat dibuktikan. Mereka mampu pula menawan empat negeri lain dalam PRU-12 dan bertapak melalui markas parti di hampir semua negeri yang dahulunya tidak terbayang boleh dilakukan berbekalkan strategi yang saya nyatakan.

Mengapa usaha seperti yang dinyatakan ini tidak difokuskan dan kurang dilaksanakan di peringkat bahagian. Kalau dilaksanakan pun, promosi dan aktiviti ceramah ini tidak didedahkan secara agresif hingga tidak ramai yang hadir dan terlalu protokol. Malah tugas semudah membuat salinan artikel pun sebenarnya boleh digerakkan oleh jentera Penerangan Bahagian mengenai isu semasa yang memihak kepada kerajaan.

Namun malang, ia juga 'tidak mampu' difikirkan oleh mereka mungkin disebabkan kos fotostat lebih mahal dari kos menganjurkan program besar-besaran. Malah banyak program lebih mahu menonjolkan diri untuk menjadi 'calon pilihan' bukan untuk 'niat perjuangan'.

Berdasarkan pemerhatian, ahli UMNO amat kurang membaca dan tidak bersedia mengorbankan RM1.50 untuk menyokong akhbar Utusan Malaysia. Kalaulah perkara ini boleh diberi perhatian oleh kepimpinan Bahagian dan Cawangan pasti mereka mendapat banyak input dengan hanya kos RM5 seminggu untuk membuat salinan tulisan- tulisan dalam akhbar Utusan seperti tulisan Zaini Hassan dalam CUIT yang mampu disebarluaskan di cawangan masing-masing.

Perang saraf boleh digerakkan oleh Ketua Cawangan dengan pelbagai kaedah mudah dan murah. Jika tugas seperti ini pun tidak mampu lagi dilaksanakan mereka maka saya bimbang UMNO akan terus layu dan mati sebelum waktunya. Semangat jihad dan kerja keras golongan lelaki dalam parti ini juga semakin kurang. Apakah pendokong parti keramat ini akan bersedia menerima nasib parti-parti besar lain seperti Golkar (Indonesia), LDP (Jepun) dan Kongres (India) yang pernah berjasa kepada negara bangsa mereka?

Saya bimbang masa sudah terlalu lewat dan ketika itu UMNO sudah terlalu nazak. Sebelum nasi menjadi bubur dan sebelum UMNO yang berjasa ini ditalkinkan, mungkinkah sebilangan besar ahli dan pemimpinnya yang masih bersikap 'bodoh sombong' mahu berubah dalam masa kecederaan? Apakah UMNO mengharapkan keajaiban 'sepakan penalti' dalam masa kecederaan dan bergantung kepada kekuatan 'calon boleh menang' sahaja seperti mana Harimau Muda bergantung sepenuhnya kepada Khairul Fahmi (Apek) untuk menyelamatkan maruah negara dan gawang golnya?

Pendokong UMNO tidak boleh bergantung kepada nasib semata-mata tanpa giat berusaha. UMNO berada di dalam gelanggang sendiri tetapi seolah-olah bermain di stadium milik lawan. Harimau Muda telah dipersiapkan oleh jurulatihnya untuk menghadapi segala tekanan, tetapi jurulatih atau pemimpin UMNO kelihatan masih gagal menguruskan mental dan sikap kerjasama pasukan sedangkan gelombang perang PRU 13 mula sudah kedengaran.
Tiada salahnya untuk UMNO mencontohi pembangkang dalam gerak kerja mereka. Kita tahu dan kita sedar akan malapetaka besar jika pakatan pembangkang menjadi pemerintah. Untuk menang selesa, lakukanlah perubahan dan percaturan strategi yang berbeza. Usahakan amalan solat hajat dan munajat di semua UMNO Bahagian agar Allah SWT membantu UMNO dan kepimpinannya di saat begini.

Sedarlah bahawa anda berada di dalam sebuah parti yang ikhlas, betul dan benar dalam asas perjuangannya. Parti yang anda dokong ini benar-benar berjasa kepada seluruh bangsa Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Jika saya yang pernah menyokong pembangkang melihat kehebatan UMNO dan jasa-jasanya, mengapa sebilangan besar ahlinya tidak menjiwai semangat perjuangan yang menjadi nadi UMNO.

Justeru jangan ragu-ragu berjihad dan berkorban kerana parti keramat UMNO ini adalah 'alat dan senjata utama' mempertahankan akidah dan kesucian agama Islam, mengangkat martabat bangsa Melayu dan maruah negara Malaysia.

Petikan Utusan Online 13 Mei 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.