Namewee budak tidak tahu sejarah, bodoh - Nazri
PADANG RENGAS 3 Ogos - Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Nazri Aziz membidas penyanyi rap, Wee Meng Chee atau Namewee kerana memaki-hamun pelbagai pihak berhubung penangguhan filem The New Village dalam video yang dimuat naik ke laman YouTube Khamis lalu.
Dengan nada tegas, beliau mengingatkan Namewee bahawa dia tinggal di sebuah negara berbilang kaum yang penuh dengan sensitiviti yang perlu dihormati.
"Saya pun hendak hentam dia habis-habisan. Dia budak yang tidak tahu sejarah, budak yang bodoh, berhingus dan tidak faham tentang sejarah negara kita. Hidup dalam sebuah negara berbilang kaum, kita harus mengambil kira sensitiviti dalam negara.
"Dia kena ingat, polis dan angkatan tentera telah membela negara kita. Jangan esok kalau apa-apa berlaku kepada dia, polis tidak mahu ambil tindakan, dia marah pula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri Peringkat Parlimen Padang Rengas di sini hari ini.
Namewee dalam video terbarunya berjudul 017 Double Standard dan berdurasi selama lima minit 23 saat, mempersoalkan tindakan kerajaan menggantung tayangan filem The New Village untuk dinilai oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Mohamed Nazri juga berkata, beliau tidak akan mempertahankan Namewee lagi selepas ini sekiranya lelaki tersebut sudah melampau.
"Kita manusia, mesti tahu menghormati pandangan dan sensitiviti orang. Apa untung kamu buat macam itu, nanti penumbuk naik ke muka cari polis juga," ujarnya. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.