PAS memberikan amaran hukuman mati ke atas 529 ahli-ahli Ikhwanul Muslimin termasuk Mursyidul Am Dr Mohammad Badie boleh berkembang menjadi krisis yang bakal mengancam dunia.
Sehubunga itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) meminta badan-badan dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) campur tangan dan mengambil tindakan termasuk mencontohi tindakan Afrika yang menggantung keahlian Mesir sebagai anggota Kesatuan Afrika.
"Insiden ini jika tidak ditangani dengan sewajarnya boleh berkembang menjadi krisis yang lebih besar dan berterusan termasuk ke peringkat antarabangsa kerana Terusan Suez di Mesir adalah antara laluan utama perkapalan dunia.
"Jika krisis dalaman yang boleh mengganggu perjalanan kapal sudah tentu keperluan utama seperti makanan dan minyak akan tersekat dan memberikan impak terhadap pasaran dunia," kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan hari ini.
Mohammad Badie bersama 528 lagi ahli Ikwanul Muslimin dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah Mesir yang diperintah tentera dalam perbicaraan paling pantas dalam sejarah kehakiman moden dengan skala tertuduh sebegitu ramai bagi pertuduhan bunuh.
Mereka didakwa terlibat dalam aksi keganasan sepanjang krisis yang berlaku ekoran pemecatan Dr Mohamad Morsi sebagai presiden Mesir.
Bagi Abdul Hadi, apa yang berlaku menunjukkan tatacara perbicaraan mahkamah dan peraturan undang-undang tidak dipatuhi.
"Kami menggesa agar demokrasi dan keamanan dipulihkan dengan menarik balik pengharaman Ikhwan Muslimin, sebuah organisasi politik yang telah mendokong dan menyertai pilihan raya dalam sistem demokrasi di Mesir," katanya.
Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) turut mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati yang dijatuhkan mahkamah Mesir hari ini.
Bagi Abim, hukuman ini merupakan langkah ke belakang yang menjanjikan masa depan yang serba gelap terhadap amalan demokrasi serta rakyat Mesir keseluruhannya.
"Hukuman ini jelas merupakan rentetan daripada langkah kuku besi yang didalangi oleh regim pemerintah Mesir untuk mengukuhkan cengkaman kuasa mereka," kata Presiden Abim, Amidi Abd Manan (gambar) dalam satu kenyataannya.
Abim menilai hukuman mati yang dikenakan itu merupakan campur tangan regim pemerintah untuk menakut-nakutkan rakyat Mesir menjelang pilihan raya presiden Mesir tidak lama lagi.
Hari ini seramai 700 lagi saki baki daripada kira-kira 1200 para penyokong Morsi pula akan dibicarakan atas dakwaan mencetuskan huru hara serta mengancam ketenteraman awam.
Bagi Abim, kezaliman terbaru ini bakal merancakkan lagi gerakan diktator negara-negara Arab yang kini bergerak aktif memburu simpatisan Ikhwan Muslimin khususnya di Bahrainn, UAE dan Arab Saudi.
"Abim menegaskan bahawa kemelut politik Mesir ini adalah polemik sejagat yang bakal menjejaskan kestabilan politik dunia," kata Amidi.
Oleh itu, kata Amidi, Abim menggesa rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa untuk menyuarakan secara lantang tentangan mereka terhadap kezaliman ini. - 25 Mac, 2014.
Sumber: yahoo.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.