EPIC
mula salurkan tenaga solar kepada TNB
Sasar pulangan RM13 juta setahun
Dr. Ahmad Samsuri menandatangani plak semasa pelancaran Loji
Janakuasa Solar EPIC di Teluk Kalong Kemaman, hari ini. - UTUSAN ONLINE/FARID
JANUDIN
16 Julai 2018 4:59 PM
KEMAMAN 16 Julai - Syarikat berkaitan kerajaan negeri, Eastern
Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) menyasarkan meraih pulangan
sebanyak RM273 juta dalam tempoh 21 tahun atau kira-kira RM13 juta setahun
hasil penjualan tenaga solar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menteri Besar , Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, loji janakuasa
tenaga solar berskala besar pertama di negeri ini (berkapasiti 18.5 Megawatt)
yang dibina di tapak seluas lebih 28 hektar di sini dengan kerjasama firma
tempatan telah menyalur tenaga ke dalam sistem Rangkaian Grid Nasional
mulai Mac lalu.
“Saya merasa amat bangga kerana EPIC yang turut berusaha
meneroka bidang baharu dengan menjadi perintis dalam memacu projek pengeluaran
tenaga solar bagi kawasan pantai timur,"katanya ketika berucap melancarkan
loji janakuasa yang menelan belanja RM86 juta itu di Teluk Kalong hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan,
Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat;
Ahli Dewan UndanGan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili; ADUN
Air Putih, Abdul Razak Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor
Fadzil Mohd Nor.
Tenaga elektrik yang dihasilkan melalui sistem tenaga solar itu
dapat menampung bekalan elektrik sebahagian kilang di kawasan perindustrian di
kawasan Teluk Kalong yang pesat berkembang itu.
"Teknologi itu juga mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi
apabila inovasi dalam bidang itu dapat diguna pakai bukan sahaja dalam
industri, malah membawa manfaat kepada pengguna yang lain.
“Tenaga yang dijana daripada Panel Solar Photovoltaic (PV)
merupakan sumber tenaga yang bersih kerana hanya menggunakan sinaran matahari,
dan Malaysia merupakan sebuah megara yang menerima banyak sinaran
sepanjang tahun,"ujarnya.
Dr. Ahmad Samsuri berkata, pembangunan sistem solar berskala
utiliti ini juga dijangka akan memberi manfaat kepada sistem bekalan elektrik
di mana ia seara tidak langsung akan mengurangkan kos pengendalian sistem
penjanaan yang kompleks selain menambah pendapatan hasil negeri secara
berterusan dalam jangka masa panjang.
“Sebelum ini juga kerajaan negeri turut membuat pelaburan bagi
mencuba mencari tenaga baharu seperti menggunakan teknologi daripada angin
tetapi kurang berjaya,” katanya.
"Dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) kerajaan negeri
akan memfokuskan kepada pembangunan projek-projek tenaga solar berkapasiti
sehingga 50 megawat untuk mencapai sasaran penjanaan tenaga solar sebanyak 1000
megawat menjelang tahun 2020," katanya. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/epic-mula-salurkan-tenaga-solar-kepada-tnb-1.710117#ixzz5LPXllUhN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.