Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seramai 68 pelatih Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) menyertai Program Ikhtiar Hidup Pelatih Asas Pegawai Leftenan Muda Maritim Siri 12/2024 di Pantai Telaga Simpul, di sini, bermula 24 hingga 27 Februari lalu.
Program tersebut dirangka bagi menguji ketahanan mental dan fizikal pelatih, memantapkan disiplin, kerjasama berpasukan dan meningkatkan kemahiran kepimpinan dalam pelbagai situasi dan persekitaran.
Pengarah AMSAS, Laksamana Pertama (M) Hamizan Harun menzahirkan keyakinan latihan berasaskan ketahanan dan daya tahan amat penting dalam melahirkan pegawai penguat kuasa maritim yang cekap, berdaya saing serta memiliki jati diri yang tinggi.
Menurutnya, program ini memberi pendedahan kepada asas ikhtiar hidup di laut, hutan dan persekitaran yang mencabar.
“Program ini selaras dengan objektif AMSAS dalam membentuk pegawai yang berpengetahuan, berkebolehan dan berdaya tahan tinggi sebelum diperjawatkan di lapangan kelak,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program tersebut.
Majlis turut dihadiri Ketua Kluster Pengajian Pengurusan dan Profesional AMSAS (KPPP), Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman serta Ketua Kluster Pengajian dan Pembangunan Operasi Maritim AMSAS (KPPOM), Kepten Maritim Hamiludin Che Awang.
Hamizan memberitahu, modul latihan ini turut menekankan aspek strategi survival, kemahiran pengurusan risiko, kawalan emosi, kreativiti dalam penyelesaian masalah serta penerapan nilai kepimpinan yang diperlukan dalam bidang penguatkuasaan maritim. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.