MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Ahad, Jun 29, 2025

Penduduk bimbang beruang berkeliaran di kawasan kediaman

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Para penduduk tanah rancangan Felda Seberang Tayor di sini kini berada dalam kebimbangan susulan beberapa ekor beruang dikatakan berkeliaran di kawasan kediaman mereka sejak beberapa minggu lalu.

Menurut mereka, beruang berkenaan dikatakan tersesat dari hutan berhampiran dan berkeliaran di kampung tersebut untuk mencari makanan ekoran musim buah-buahan pada masa ini.

Seorang penduduk, Johari Arif memberitahu, haiwan liar berkenaan dikatakan menceroboh kawasan rumah yang mempunyai pokok tanaman seperti durian serta nangka dan bertindak merosakkan buah yang telah hampir masak.

JOHARI ARIF

Menurutnya, haiwan berkenaan juga bertindak berani memanjat pokok tanaman dan memetik buah durian serta nangka dan membuangnya ke bawah menyebabkan mereka mengalami kerugian.

“Penduduk berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera untuk mengesan dan menangkap segera haiwan liar berkenaan yang boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk terutamanya kanak-kanak yang berulang alik ke sekolah setiap hari,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tinjauan mendapati terdapat kesan cakar pada batang pokok-pokok tanaman yang telah dipanjat haiwan berkenaan dan puluhan biji buah durian yang belum masak telah dijatuh serta dirosakkan.

Sementara itu, Pengurus Felda Seberang Tayor, Mohd Syafiq Hilmi Ahmad Zahid berkata, pihaknya telah melaporkan masalah tersebut kepada Pejabat Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kemaman untuk tindakan lanjut.

MOHD SYAFIQ HILMI AHMAD ZAHID

“Bagi menjamin keselamatan penduduk di kawasan Felda Seberang Tayor, pihak pengurusan felda telah membuat laporan kepada pejabat Perhilitan Kemaman dan Alhamdulillah pejabat Perhilitan Kemaman telah membuat tindakan pantas dengan memasang perangkap di kawasan Felda Seberang Tayor dan kami menzahirkan terima kasih kepada Perhilitan atas kerjasama diberikan,” katanya.

Mohd Syafiq juga meminta penduduk sentiasa berwaspada dan mengawasi anak-anak mereka agar tidak berkeliaran atau bermain di kawasan kampung kerana dibimbangi boleh terserempak dengan haiwan berkenaan yang boleh mendatangkan bahaya.

Dalam perkembangan berkaitan Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong mengesahkan ada menerima laporan berkaitan masalah tersebut dan telah mengambil tindakan memasang beberapa perangkap di kawasan berkenaan pada 22 Mei lalu serta turut melakukan pemantauan berterusan. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.