Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dungun memandang serius tindakan sekumpulan mahasiswa di Sabah membakar gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu demonstrasi jalanan di Kota Kinabalu, pada 21 Jun lalu.
Ketua Penerangan AMK Dungun, Heikarl Edzha berkata, tndakan tersebut bukan sahaja melanggar peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, malah mencerminkan sikap yang tidak wajar dan tidak bertanggungjawab, khususnya dalam kalangan anak muda yang sepatutnya menunjukkan contoh lebih baik dalam menyuarakan pandangan.
Menurutnya, kebebasan berhimpun dan bersuara sememangnya dijamin dalam negara demokrasi seperti Malaysia.
Namun, katanya, kebebasan ini mesti dilaksanakan dengan penuh adab, berhemah dan dalam ruang yang dibenarkan oleh batas undang-undang.
“Kerajaan pada hari ini telah membuktikan kesediaan membuka ruang kepada rakyat, termasuk golongan mahasiswa, untuk menyuarakan pandangan secara aman dan berhemah.
“Maka, adalah tidak wajar sama sekali apabila kebebasan ini disalahguna untuk mencetuskan tindakan provokasi yang melampau dan keterlaluan dan boleh merosakkan suasana demokrasi yang sihat di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Heikarl menambah, AMK Dungun menyeru semua pihak, terutamanya anak muda dan mahasiswa, agar lebih bijak dalam memilih pendekatan menyuarakan pandangan.
“Politik idea, nilai dan hujah yang membina harus diangkat melebihi politik kebencian yang menjurus kepada perpecahan dan tindakan melulu,” ujarnya.
Pada 21 Jun lalu dilaporkan sebahagian mahasiswa yang menyertai Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu telah bertindak membakar gambar Perdana Menteri. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.