MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Isnin, Januari 05, 2026

Bekas jurutera mengaku salah miliki peralatan palsukan wang

 

Bekas jurutera mengaku salah miliki peralatan palsukan wang

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang bekas jurutera mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan memiliki peralatan untuk memalsukan sejumlah wang pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Faisal Mohd Shahrani, 34, yang merupakan bekas jurutera, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki peralatan iaitu satu unit mesin fotostat bewarna hitam jenama Toshiba dan satu unit komputer riba jenama Dell serta plug power yang digunakan untuk pemalsuan suatu mata wang kertas iaitu sebanyak 359 keping not RM50 yang memakai siri nombor yang sama PC9192656.

Kesalahan itu dilakukan lelaki itu di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Teluk Kalong kira-kira pukul 6 petang, pada 29 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Wan Suhaila kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 19 Januari depan untuk fakta kes dan tarikh jatuh hukum.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim. – Suara Timur

Jumaat, Januari 02, 2026

Jenazah mangsa lemas kedua selamat dikebumikan

 

Jenazah mangsa lemas kedua selamat dikebumikan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Jenazah Mohd Fazir Shafie, 37, mangsa lemas kedua di Pantai Sura Tengah di sini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir kira-kira pukul 3 petang tadi.

Mayat Mohd Fazir ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam jam 12.35 tengah malam tadi dalam keadaan terdampar di tepi pantai berkenaan.

Sejurus ditemukan, jenazah Mohd Fazir dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pagi tadi untuk urusan bedah siasat.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Kampung Balai Besar untuk disolatkan sejurus selesai solat Jumaat sebelum dibawa ke tanah perkuburan itu berkenaan.

Kira-kira 200 ahli keluarga dan penduduk kampung turut berada di tanah perkuburan untuk memberikan penghormatan terakhir.

Jenazah Mohd Fazir dikebumikan bersebelahan pusara kakaknya Nor Baizura Shafie, 39 tahun yang juga mangsa lemas pertama yang ditemukan pasukan SAR jam 10.54 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, ketika dihubungi berkata, mayat Mohd Fazir ditemukan pada jarak kira-kira satu kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan lemas semalam.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian pada 10.27 pagi semalam, Mohd Fazir dikatakan cuba menyelamatkan kakaknya, Nor Baizura Shafie, 39 tahun, yang lemas ketika mandi di pantai berkenaan sebelum kedua-dua mereka hanyut dibawa arus ke tengah laut.

Pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui mayat Nor Baizura pada 10.54 pagi semalam.

Sebelum kejadian dua beradik itu dikatakan ke pantai berkenaan untuk berkelah bersama 13 ahli keluarga mereka. – Suara Timur

Mayat mangsa kedua lemas ditemui terdampar di pantai

 

Mayat mangsa kedua lemas ditemui terdampar di pantai

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Mayat mangsa kedua yang lemas ketika mandi bersama keluarga di Pantai Sura Tengah, dekat sini, semalam, ditemui tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Shahrizal Samsuddin berkata, mayat Mohd Fazir Shafie, 37, ditemui pada 12.35 tengah malam kira-kira satu kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan dihanyutkan arus.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terdampar di pantai oleh pasukan penyelamat dan disahkan kematiannya oleh pegawai perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Berikutan penemuan mayat terbabit, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan sepenuhnya pada 1.10 pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan berhubung penemuan mayat terbabit.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat.

“Proses bedah siasat akan dilakukan pagi ini dan sebaik selesai proses bedah siasat, jenazah terbabit akan diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan,” katanya.

Dalam kejadian pada 10.27 pagi semalam, Mohd Fazir dikatakan cuba menyelamatkan kakaknya, Nor Baizura Shafie,38, yang terkapai-kapai ketika mandi di pantai terbabit sebelum kedua-dua mereka hanyut dibawa arus.

Pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui mayat Nor Baizura pada 10.54 pagi.

Mayat Nor Baizura selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir Dungun pada 10 malam tadi. – Suara Timur

Khamis, Januari 01, 2026

Kakak, abang lemas dan hilang depan mata

 

Kakak, abang lemas dan hilang depan mata

DUNGUN:  Adik kepada seorang mangsa lemas dan seorang lagi yang hilang, Nur Mashitah Shafie, 22 sempat menceritakan bagaimana kakak sulungnya, Nor Baizura, 39, dan abangnya, Mohd Fazir, 37, dihanyutkan arus ketika mandi di Pantai Sura Tengah di sini, pagi tadi..

Nur Masitah berkata, dia terlihat kakaknya terkapai-kapai sementara abangnya bergegas ingin membantu kakak sebaik sahaja menyedari kakak lemas.

Bagaimanapun, Nur Masitah berkata, kedua-dua mereka terus dihanyutkan arus kuat ke tengah laut lalu hilang dari pandangan.

Bagaimanapun, mayat Nor Baizura ditemui kira-kira pukul 10.54 pagi tadi, sementara Mohd Fazir dikhuatiri hilang dan sedang dalam proses pencarian oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Nur Mashitah berkata, Nor Baizura yang tinggal di Johor Bahru dan Mohd Fazir pula tinggal di Kuantan, Pahang, masing-masing pulang ke kampung mereka di Kampung Paya Balai Besar, Dungun di sini, sempena cuti sekolah.

Nur Mashitah berkata, sebelum kejadian, dia bersama empat adik beradik dan dua kakak ipar serta ibunya, Zaleha Hassan, 54, serta lapan anak saudaranya ke pantai berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi untuk berkelah.

Menurut Nur Mashitah, kakaknya itu mempelawa mereka mandi pantai sejak minggu lepas lagi, namun dia enggan kerana ombak masih lagi tinggi.

Nur Mashitah berkata, bagaimanapun, pagi tadi mereka bersetuju ke pantai berkenaan untuk berkelah dan bersetuju mandi kerana ombak tidak bergelora dan keadaan laut agak tenang.

Menurut Nur Mashitah, dia hanya menyedari kakaknya lemas selepas melihat tangan Nor Baizura terkapai-kapai.

Sehingga pukul 7 petang ini, pasukan SAR masih melakukan pencarian dan mangsa masih belum ditemukan.
 
Beliau berkata, jenazah kakaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, selepas selesai urusan bedah siasat. – Suara Timur

Kegembiraan sebuah keluarga berkelah di pantai bertukar tragedi

 

Kegembiraan sebuah keluarga berkelah di pantai bertukar tragedi

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Kegembiraan sebuah keluarga berkelah di Pantai Sura Tengah, di sini, bertukar tragedi apabila dua beradik dilaporkan lemas ketika mandi di pantai berkenaan pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.27 pagi itu, dua beradik yang berasal dari Kampung Paya, Balai Besar di sini dikatakan lemas ketika mandi selepas dipukul ombak.

Mayat Nor Baizura Shafie, 39, ditemui jam 10.54 pagi tadi manakala pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan untuk mencari adiknya, Mohd Fazir Shafie, 37.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharizal Samsuddin berkata, 10 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.27 pagi.

PEGAWAI perubatan memeriksa mayat Nor Baizura Shafie selepas ditemui lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Pasukan penyelamat berjaya menemui salah seorang mangsa selepas 25 minit pencarian dilakukan, bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Menurut Sharizal pencarian seorang lagi mangsa masih lagi diteruskan dengan menggunakan bot dan turut dibantu anggota polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

SHARIZAL Samsuddin bergambar bersama anggota pasukan penyelamat yang menyertai SAR di Pantai Sura Tengah, Dungun. – – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut sumber, sebelum kejadian, keluarga berkenaan yang terdiri daripada tujuh dewasa dan lapan kanak-kanak dikatakan ke pantai berkelah untuk berkelah.

Kejadian berlaku apabila kakak mangsa tiba-tiba lemas ketika mandi manakala adiknya, Mohd Fazir dikatakan ingin menyelamatkan kakaknya yang hanyut dibawa arus.

AHLI keluarga mangsa yang berkumpul menunggu perkembangan operasi mencari dan menyelamat Mohd Fazir Shafie di Pantai Sura Tengah, Dungun. –  SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Bagaimanapun, kedua-dua mereka dikatakan hanyut dipukul ombak dan dibawa arus ke tengah laut.

Menurut Sharizal, mayat Nor Baizura telah diserahlan kepada polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Menurutnya Sharizal, pasukan SAR sedang giat meneruskan operasi pencarian seorang lagi mangsa pada jarak lima kilometer radius.  – Suara Timur

Warga emas mengaku tidak bersalah laku amang seksual fizikal terhadap cucu

 

Warga emas mengaku tidak bersalah laku amang seksual fizikal terhadap cucu

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuannya berusia lima tahun, Disember lalu.

Tertuduh yang berusia 62 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut fakta pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh alat sulit mangsa bagi maksud seksual dengan menggunakan kemaluan tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada 24 Disember lalu kira-kira jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang di satu kawasan semak, berhampiran Jalan Kubang Kurus – Bukit Mentok, Kemaman, Terengganu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara hingga maksimum selama 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Hakim Wan Suhaila kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan sehingga kes berkenaan selesai dibicarakan.

Mahkamah Kemaman menetapkan tarikh pada 2 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Asyikin Hashim.

Disember lalu, warga emas terbabit di tahan reman tujuh hari di Mahkamah Majistret Dungun, selepas kanak-kanak berkenaan menceritakan kejadian itu ketika mendapatkan rawatan di hospital dan doktor yang merawatnya telah tampil membuat laporan polis. – Suara Timur