Warga emas mengaku tidak bersalah laku amang seksual fizikal terhadap cucu
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuannya berusia lima tahun, Disember lalu.
Tertuduh yang berusia 62 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut fakta pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh alat sulit mangsa bagi maksud seksual dengan menggunakan kemaluan tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada 24 Disember lalu kira-kira jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang di satu kawasan semak, berhampiran Jalan Kubang Kurus – Bukit Mentok, Kemaman, Terengganu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara hingga maksimum selama 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Hakim Wan Suhaila kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan sehingga kes berkenaan selesai dibicarakan.
Mahkamah Kemaman menetapkan tarikh pada 2 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Asyikin Hashim.
Disember lalu, warga emas terbabit di tahan reman tujuh hari di Mahkamah Majistret Dungun, selepas kanak-kanak berkenaan menceritakan kejadian itu ketika mendapatkan rawatan di hospital dan doktor yang merawatnya telah tampil membuat laporan polis. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.