Tiga pekerja nyaris maut ‘kapal hantu’ meletup, terbakar
Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Tiga pekerja nyaris maut selepas sebuah kapal tangki yang sedang diselenggara mereka terbakar dalam kejadian di Jeti Muara Sungai Kemaman dekat Kampung Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu kira-kira pukul 3.18 petang tadi.
Kapal terbabit dipercayai ‘kapal hantu’ yang ditemukan hanyut berhampiran pelantar minyak di perairan Terengganu pada Ogos tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, ketika kejadian tiga pekerja terbabit sedang menjalankan kerja-kerja memotong besi di atas kapal berkenaan untuk dilupuskan.
Bagaimanapun, kesemua mereka yang berumur antara 39 dan 46 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan terjun ke daratan dan sebelum kebakaran tersebut merebak.

Menurutnya, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awamkira-kira pukul 3.18 petang.
“Pekerja terbabit dipercayai melakukan kerja memotong mengunakan pemotong gas oksigen di atas kapal berkenaan sepanjang 53.7 meter dan lebar 10 meter itu.
“Bagaimanapun, kapal berkenaan dikatakan tiba-tiba terbakar namun tiga pekerja terlibat sempat turun untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi petang tadi.
Menurut Mohd Razi, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian pada pukul 3.23 berjaya mengawal kebakaran kira-kira sejam kemudian.
“Kapal tangki berkenaan terbakar di bahagian tengah dengan anggaran kemusnahan sebanyak 45 peratus dan pihak bomba sedang menyiasat punca kebakaran,” katanya.
Media pada Ogos tahun lalu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan sebuah ‘kapal hantu’ yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.