Sarjan maut kereta dipandu hilang kawalan, langgar besi penghadang jalan
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam satu kemalangan di kilometer 306.6, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kijal, dekat Bandar Seri Bandi, dekat sini, hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 7 pagi itu, Sarjan Raja Zulkifli Raja Husain, 49 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami cedera parah pada bahagian anggota badan.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Seberang Pintasan, Dungun menuju ke tempat kerjanya di Ibu Pejabat Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Kuantan, Pahang.

Siasatan awal mendapati, sejurus tiba di lokasi kejadian, tayar belakang kereta Perodua Myvi dipandu mangsa dipercayai pecah menyebabkan kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan di tepi lebuhraya.

Akibat rempuhan itu, mangsa dikatakan tercampak keluar dari keretanya lalu badannya menghempap sebatang tiang lampu di tepi lebuhraya berkenaan.
Mangsa yang mengalami cedera parah pada dalaman anggota badan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, mayat mangsa kemudian di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.