Anggota sukarela APM Dungun terima Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Anggota sukarela Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Dungun, Prebet (PA) Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif menerima anugerah Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya atas kejayaannya mengharumkan nama negara dengan meraih pingat gangsa di Sukan SEA Thailand 2025 di Thailand, baru-baru ini.
Mohamad Armin Zahryl berjaya meraih pingat gangsa dalam acara larian 110 meter berpagar pada kejohanan sukan tersebit.
Dalam satu kenyataan, APM berkata, kejayaan ini bukan sahaja membanggakan negara, malah turut mencerminkan dan semangat juang tinggi yang dimiliki oleh beliau sebagai seorang warga APM.

Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah menganugerahkan Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya kepada anggota sukarela APM itu sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian yang amat membanggakan ini.
“Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya APM merupakan pehargaan tertinggi dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Sijil ini dianugerahkan kepada individu-individu terpilih yang telah memberikan sumbangan luar biasa serta mengharumkan nama pasukan, organisasi dan negara.
“Penerima sijil ini turut dianugerahkan emblem dan lencana khas sebagai simbol penghormatan serta pengiktirafan tertinggi daripada pihak APM,” menurut kenyataan APM hari ini.
Tambah kenyataan itu, penganugerahan ini diharap dapat terus menyuntik semangat kecemerlangan, meningkatkan motivasi serta memperkukuhkan imej Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sebagai sebuah organisasi yang melahirkan anggota berwibawa, berdisiplin dan berprestasi tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Untuk rekod, Mohamad Armin Zahryl menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 13.85 saat, sekali gus meraih pingat gangsa dalam saingan sengit di Stadium Bangkok.
Beliau berada di belakang atlet Filipina, Tolentino John Christopher (emas) dan atlet Singapura, Ang Chen Xiang (perak). – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.