150 otai polis IPD Kemaman tahun 2004 hingga 2008 bertemu semula
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Lebih 150 orang bekas anggota polis yang pernah bertugas di daerah ini pada tahun 2004 hingga 2008 hadir memeriahkan Program Perjumpaan Semula Otai PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman (Reunion Otai PDRM IPD Kemaman) Bil. 2/2025 di Casa Dinda (Nostimo’s) di sini malam tadi.
Rata-rata mereka yang kebanyakannya menetap di negeri-negeri Pantai Timur teruja dapat bertemu semula rakan seperjuangan masing-masing selepas lebih 16 tahun terpisah.
Program ini merupakan pertemuan kali kedua diadakan selepas pertemuan kali pertama diadakan pada Oktober 2019.

Perhimpunan itu melibatkan anggota dan kakitangan IPD Kemaman yang pernah bertugas semasa diterajui bekas Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Komisioner Polis (DCP), Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.
Tidak dapat diungkap dengan kata-kata bagi mengambarkan keterujaan mereka yang pernah bertugas di daerah ini apabila bertemu semula buat kali kedua selepas lebih 16 tahun.

Ternyata pertemuan itu meninggalkan kenangan manis bagi mereka untuk mengimbas kenangan lalu seterusnya mengukuhkan jalinan persahabatan meskipun terpisah sejak sekian lama.
Lebih manis, majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan lama yang kini kebanyakan pesara polis yang menetap di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Sebahagian daripada mereka tinggal di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perak hadir dalam pertemuan ini.
Wan Abdul Bari yang juga bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berkata, sejak bersara pada bulan Jun 2017, beliau sering menjelajah seluruh negara menemui rakan-rakan yang sekian lama terpisah dan secara tidak langsung dapat mengubat kerinduan terhadap mereka.
“Persahabatan di antara kami yang terjalin puluhan tahun lalu diharap akan terus berkekalan sehingga akhir hayat. Kita harap majlis seperti ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya kepada Suara Timur di sini.

Beliau yang juga Penaung Program Perjumpaan Semula Otai PDRM IPD Kemaman memulakan kerjaya sebagai anggota polis hutan dari tahun 1977 hingga 1985 di Tampin, Negeri Sembilan berkata, rakan-rakan pegawai yang baru dan sedang bertugas turut dijemput bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan bertanya khabar tentang keluarga mereka.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Mohamad Wan Ja’affar, Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman, Asisten Superintendan Mohd. Khairil Abdullah dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kemaman, Asisten Superintendan Zul Ilham Abd. Rahim.

Wan Abdul Bari memberitahu, bagi merealisasikan majlis tersebut, persatuan pesara polis Terengganu dan anggota IPD Kemaman membantu mencari rakan-rakan lama kerana mereka mempunyai senarai nama pesara polis.
Sementara itu, Bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Negeri Sembilan, Deputi Superintendan Mohamad Ali Hanafiah berkata, beliau gembira bercampur sedih setelah sekian lama tidak pernah berjumpa dengan anggota yang pernah sama bertugas dan menabur bakti di IPD Kemaman.
“Terima kasih di atas penganjuran ini yang merupakan jejak kasih bagi melepas rindu kepada rakan seperjawatan yang pernah bersama suka dan duka dalam menjalakan tugasan masing masing,” katanya.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Ketua Polis Balai Chukai sebelum berpindah di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Terengganu berkata, program ini dapat mengeratkan silaturahim agar hubungan terus berkekalan.
Mohamad Ali kini menetap di Taman Krubong Perdana, Melaka setelah bersara awal Disember lalu.
Dalam pada itu, Sarjan Pentadbiran Balai Polis Chukai, Sapiah Singah, 64, pula berkata, beliau gembira dapat berjumpa rakan lama dan berkumpul beramai ramai sambil mengembalikan nostalgia ketika bersama rakan seperjuangan yang pernah bersama di IPD Kemaman.

Beliau yang bersara pada tahun 2008 kini menetap di Kuantan, Pahang bersama keluaga.
Seorang lagi bekas anggota polis di IPD Kemaman, Sarjan Mejar Mohd Isnen Abu Bakar yang bermula pangkat Lans Kopral hingga Sarjan selama 17 tahun di IPD itu berkata, majlis ini merupakan satu kenangan yang terindah dan sukar dilupakan apabila dapat bertemu kembali dengan rakan seperjuangan di Reunion Otai PDRM IPD Kemaman.

Beliau yang kini menjawat jawatan Ketua Balai Polis Kuala Dipang, IPD Kampar, Perak pula berkata, beliau seronok jumpa dengan sebahagian rakan-rakan lama, otai-otai yang masih sihat, termasuk Wan Abdul Bari.
“Terima kasih di atas penganjuran ini, kita tidak tahu bila lagi akan bertemu semula. Insya-Allah jika diberi peluang dan ruang oleh yang maha esa, mungkin akan bertemu lagi,” ujarnya. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.