Dua maut, enam cedera MPV terbabas
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Dua lelaki termasuk seorang warga Pakistan maut manakala enam lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Dungun, Terengganu pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi tadi di Kilometer 3, Jalan Paka – Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Paka.
Dalam kemalangan itu, Muhammad Asyraf Mohd Zahir, 21 tahun dan warga Pakistan, Siraj Norman, 27 tahun, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Sementara itu, enam lagi mangsa termasuk seorang warga tempatan berumur antara 30 hingga 40 tahun dalam kenderaan itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan.
Ketika kejadian kesemua mangsa sedang dalam perjalanan dari rumah di Kampung Nyior ke Santung, Paka untuk melakukan kerja-kerja projek pendawaian elektrik.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, MPV terbabit dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh menyebabkan kenderaan itu terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang tiang lampu.
Enam mangsa di dalam kenderaan itu berjaya di bawa keluar oleh orang awam manakala dua mangsa lagi tersepit di dalam kenderaan.
Dua mangsa yang tersepit berjaya di bawa keluar oleh sepasukan anggota bomba kira-kira 15 minit sebelum mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu. Kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.