CARILAMAT hari kelima masih gagal temukan dua nelayan hilang di perairan Kemaman
KEMAMAN: Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Kemaman sejak Rabu lepas diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian meliputi 117.30 batu nautika persegi.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kemaman (ZMK) dalam kenyataan memaklumkan operasi yang memasuki hari kelima itu melibatkan 34 anggota daripada pelbagai agensi.
Menurut kenyataan itu, aset yang terlibat ialah Kapal Maritim Redang (KM Redang) bersama 19 anggota Maritim Malaysia termasuk empat anggota Pasukan Kesihatan Bergerak (PHC), sebuah bot Polis Marin PLC 3 dengan kekuatan lapan anggota serta sebuah bot nelayan tempatan yang disertai tujuh nelayan.
Dua mangsa yang masih belum ditemukan ialah tekong bot, Azan Muda, 68, dari Kampung Geliga, Kemaman dan Nordin Mohammad, 61, dari Paka, Dungun.
Pada Rabu lepas, Maritim Malaysia Zon Maritim Kemaman menerima laporan mengenai sebuah bot nelayan tempatan yang dinaiki tiga kru termasuk tekong karam akibat dipukul ombak ketika bersauh kira-kira 29 batu nautika di timur Kuala Kemaman.
Seorang mangsa, Mahadi Jusoh, 51, berjaya diselamatkan selepas ditemukan oleh sebuah bot nelayan lain berhampiran lokasi kejadian sebelum dibawa pulang ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.
Maritim Malaysia yang bertindak sebagai agensi penyelaras operasi mencari dan menyelamat di laut (MSAR) mengaktifkan operasi CARILAMAT pada jam 6.30 petang sejurus menerima laporan kejadian.
Menurut kenyataan itu, sehingga pukul 6 petang hari ini, pasukan pencarian masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu berkaitan kedua-dua mangsa.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiat usaha pencarian dan akan mengemas kini perkembangan operasi dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.