Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di tapak yang
dijadikan tempat pelupusan sampah sisa kilang, di Lembah Jabor Kemaman,
baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE
19 Mac 2018 6:15 PM
KEMAMAN 19 Mac - Penduduk sekitar Lembah Jabor menggesa pihak
berkuasa bertindak tegas terhadap mereka yang menjadikan tanah yang diduduki
secara Lesen Tumpangan Sementara (TOL) sebagai tempat pelupusan sampah dan
melakukan pembakaran secara terbuka.
Sikap tidak mempedulikan peraturan dan mengetepikan keselesaan
orang ramai terutama penduduk di kawasan penempatan Taman Sri Perasing,
Perasing Jaya dekat sini tidak harus dibiarkan berterusan, malah kebenaran itu
perlu ditarik balik dan tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK) Cina Jabor, Tan Sea San berkata, sampah sarap bukan sahaja
menyakitkan pandangan tetapi membawa pencemaran di samping asap yang sentiasa
menyelubungi menimbulkan keresahan penduduk.
"Ini juga laluan utama bagi penduduk beberapa buah kampung
termasuk kampung Seratus, Tengah, Padang Lalang, Felda Neram 1 dan Perasing
Jaya ke kawasan perindustrian Gebeng dan Kuantan setiap hari," ujarnya, di
sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Siva Kumar berkata, sepatutnya mereka
membuang sampah tersebut di tapak pelupusan yang telah disediakan oleh Majlis
Perbandaran Kuantan yang tak berapa jauh dari kawasan perindustrian itu,"
katanya.
"Sekarang musim panas, membakar sampah ini bukan sahaja
mencemarkan persekitaran, malah api mungkin merebak ke kawasan ladang kelapa
sawit yang berhampiran," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
(JBPM) Balai Ceneh, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Hasbullah Halipah ketika
dihubungi berkata, sejak 19 Februari hingga 15 Mac, pihaknya telah membuat
operasi pemadaman kebakaran di kawasan tersebut sebanyak enam kali. - UTUSAN
ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/terengganu/penduduk-resah-lembah-jabor-jadi-tempat-pelupusan-sampah-1.630692#ixzz5ABuE0aqw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.