MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Khamis, Jun 25, 2026

Bekas Pengerusi JPKK Tuan Mandak diarah bayar Ahmad Razif RM280,000

 

Bekas Pengerusi JPKK Tuan Mandak diarah bayar Ahmad Razif RM280,000

25/06/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KUALA TERENGGANU: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tuan Mandak diarahkan membayar pampasan RM280,000 kepada Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati memfitnah bekas Menteri Besar Terengganu tersebut pada tahun lalu.

Hakim Yusrin Faidz Yusoff juga memerintahkan defendan, Saik Abdullah Tuan Tengah, 64, membuat permohonan maaf secara bertulis dan video terhadap Ahmad Razif dalam tempoh 14 hari.

Beliau berkata, pampasan RM280,000 itu meliputi ganti rugi am sebanyak RM200,000, ganti rugi teruk (RM60,000) dan kos guaman (RM20,000) dengan kadar faedah lima peratus setahun.

Berdasarkan penyataan writ saman dikemukakan Ahmad Razif, Saik Abdullah didakwa membuat tuduhan tidak berasas yang boleh menjatuhkan reputasinya.

Komen berunsur fitnah yang dimuat naik Saik Abdullah di Facebook pada 28 Mac 2025 tersebut didakwa secara jelas menggambarkan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus itu sebagai seorang pengamal rasuah dan penyalahguna kuasa.

Ahmad Razif diwakili Datuk Ahmad Zaidi Zainal serta Fatini Athirah Baharin dari firma guaman, Tetuan Ahmad Zaidi & Partners manakala Saik Abdullah pula tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Ahmad Razif dalam satu kenyataan berkata, mahkamah mendapati komen yang dimuat naik defendan secara jelas merujuk kepada beliau serta mengandungi tuduhan serius kononnya beliau menyalahgunakan kuasa ketika menjawat jawatan Menteri Besar untuk memperkayakan diri dan keluarga, menerima habuan daripada pihak tertentu serta terlibat dalam aktiviti rasuah.

Menurut beliau, video yang mengandungi komen berunsur fitnah itu telah ditonton kira-kira 273,000 pengguna Facebook dan menerima 102 tanda suka.

Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan Surat Tuntutan kepada defendan pada 17 April 2025, namun defendan hanya memadamkan komen berkenaan tanpa mengemukakan permohonan maaf atau memberikan sebarang aku janji.

“Defendan juga gagal memberi respons terhadap writ saman yang diserahkan dan tidak hadir semasa kes dipanggil di mahkamah,” katanya.

Ahmad Razif turut menzahirkan rasa syukur atas keputusan berkenaan yang menurutnya berjaya membersihkan nama baik serta mempertahankan maruah dirinya dan keluarga melalui saluran perundangan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Fatini Athirah Baharin atas khidmat guaman serta usaha mereka mengendalikan kes berkenaan.

Katanya, keputusan itu diharap menjadi peringatan kepada masyarakat agar lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah terhadap mana-mana individu.

“Benar tetap benar. Keadilan akhirnya ditegakkan,” katanya. – Suara Timur

MPI 2026 himpun 356 penyertaan, perkasa budaya penyelidikan dan inovasi

 

MPI 2026 himpun 356 penyertaan, perkasa budaya penyelidikan dan inovasi

25/06/2026

KEMAMAN: Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2026 berjaya menghimpunkan sebanyak 356 penyertaan daripada institusi pengajian tinggi, sekolah dan industri dalam usaha memperkasa budaya penyelidikan serta pembangunan inovasi ke arah membentuk komuniti yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Program yang berlangsung selama dua hari di Dewan Canselor Universiti Kolej TATI (UC TATI) pada 22 hingga 23 Jun lalu itu dianjurkan secara bersama oleh Universiti Kolej TATI (UC TATI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

UC TATI dalam satu kenyataan memaklumkan, MPI yang memasuki penganjuran kali ke-10 tahun ini terus menjadi platform penting dalam mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi yang mampu menjawab cabaran semasa serta memenuhi keperluan masyarakat dan industri pada masa hadapan.

Menurut kenyataan itu, tiga institusi pengajian tinggi utama di Terengganu menganjurkan program berkenaan secara bergilir-gilir setiap tahun dan UC TATI telah dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi 2026 yang mengangkat tema “Shaping Future Ready Communities through Research and Innovation”.

SEBAHAGIAN daripada pelajar institusi pengajian tinggi, sekolah dan industri yang menyertai MPI 2026 di UC TATI, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Daripada keseluruhan 356 penyertaan yang diterima, sebanyak 318 penyertaan melibatkan institusi pengajian tinggi, 36 penyertaan daripada sekolah dan dua penyertaan daripada industri.

Penyertaan tersebut dibahagikan kepada enam kluster utama dengan Kluster Pendidikan, Budaya dan Inovasi Sosial merekodkan jumlah tertinggi iaitu 143 penyertaan, diikuti Teknologi dan Sistem Pintar (74), Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kelestarian (65), Perubatan, Kesihatan dan Kesejahteraan (42), Perniagaan, Industri dan Keusahawanan (22) serta Bandar Pintar, Pengangkutan dan Infrastruktur (10).

Rektor UC TATI, Profesor Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid, berkata sedekad penganjuran MPI membuktikan institusi pengajian tinggi mempunyai kekuatan dari segi kepakaran, bakat dan jaringan kolaborasi yang mampu membentuk ekosistem penyelidikan serta inovasi yang lebih berimpak.

“Penyertaan sebanyak 356 penyertaan pada tahun ini mencerminkan semangat warga penyelidik dan inovator dalam mencipta solusi kepada cabaran masyarakat.

“Pemeteraian surat hasrat (LoI) antara UC TATI, UMT dan UniSZA pula akan terus memperkukuh kerjasama strategik ke arah pembangunan komuniti masa hadapan yang lebih bersedia melalui penyelidikan dan inovasi,” katanya.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Datuk Dr Azman Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu.

Pada majlis itu, sebanyak 72 pingat emas dianugerahkan kepada penyertaan cemerlang, selain sembilan Anugerah Khas, dua Semi Grand Award dan satu Grand Award yang diberikan kepada inovasi terbaik berdasarkan aspek kreativiti, impak serta potensi pelaksanaannya.

Penganjuran MPI 2026 mencerminkan komitmen berterusan UC TATI bersama rakan strategiknya dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi yang bukan sahaja memacu kecemerlangan akademik, malah menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. – Suara Timur

Dr Puad Zarkashi umum keluar UMNO

 

Dr Puad Zarkashi umum keluar UMNO

25/06/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Dr Puad Zarkashi hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya hari ini, beliau berkata, tindakannya meninggalkan parti itu bukan disebabkan kepentingan peribadi, sebaliknya kerana berpegang kepada prinsip serta perbezaan pandangan terhadap hala tuju kepimpinan UMNO di Johor.

Menurutnya, keputusan itu juga membolehkan beliau mengkritik parti yang disifatkannya masih disayangi dan dihormati tanpa dianggap sebagai “menikam parti dari belakang”.

“Saya tinggalkan UMNO ketika parti dilihat semakin kuat dan bercadang bertanding secara solo di 56 kerusi. Saya keluar ketika beberapa pemimpin yang pernah meninggalkan UMNO kembali menyertai parti itu,” katanya.

Dr Puad mendakwa antara faktor utama yang mendorong beliau keluar UMNO ialah kerana UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan politik sendiri sebaliknya dipengaruhi pihak Istana.

Beliau turut mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pernah memaklumkan kepadanya bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu dibuat susulan titah pihak Istana.

“Dalam pertemuan pada 21 Jun lalu, beliau memaklumkan kepada saya bahawa pihak Istana yang menitahkan agar DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun 2026,” dakwanya.

Selain itu, Dr Puad turut mendakwa terdapat beberapa lagi keputusan yang menunjukkan kepimpinan UMNO Johor bertindak mengikut kehendak pihak tertentu sehingga menyebabkan parti itu menjadi “boneka yang terikat”.

Beliau berkata tindakannya mendedahkan perkara tersebut adalah satu bentuk “keberanian politik” bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah pada masa depan.

Pada masa sama, beliau mengakui bakal berdepan kecaman dan pelbagai tekanan susulan pendiriannya itu, namun bersedia mempertahankan pandangan yang disuarakan.

Dr Puad turut mengkritik kepimpinan parti yang menurutnya gagal menampilkan aspirasi golongan muda dan menyebabkan calon Barisan Nasional dilihat sebagai calon kitar semula.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada kepimpinan UMNO Johor mahupun Menteri Besar Johor berhubung dakwaan yang dibuat oleh Dr Puad. – Suara Timur