03
Januari 2018 4:58 PM
KEMAMAN 3 Jan.- Semuanya 'lebih dari satu'
kelengkapan yang dimiliki kini termasuk pakaian seragam dan kasut untuk
keperluan bagi 40 murid terpilih dari di dua sekolah di daerah ini apabila
melalui permulaan penggal pertama sesi persekolahan 2018.
Tentunya menambahkan kegembiraan buat mereka
dan kelegaan bagi ibu bapa sementelahan pada musim hujan yang berlarutan kini
apabila Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad menghulurkan
bantuan hari ini.
Anak syarikat kerajaan negeri itu
memperuntukan RM20,000 bagi tujuan itu dengan setiap murid daripada keluarga
berpendapatan kecil itu menerima bantuan bernilai RM500 setiap seorang dalam
Program Kembali ke Sekolah EPIC 2018 di Pusat Beli-Belah Mesra Mall Kerteh
dekat sini.
Penyampaian disempurnakan oleh Ketua Pegawai
Operasi EPIC, Wan Shukri Mohammad yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor.
Yang hadir sama Pengurus Besar, Pejabat Ketua
Pegawai Eksekutif, Wan Mahusain Wan Man; Pengurus Besar Bahagian Perancangan
dan Komunikasi Korporat EPIC, Abdul Adzim Abdul Hamid; Pengurus Besar Pengkalan
Bekalan Kemaman Sdn Bhd (KSB) dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal
Ehwal Korporat, Azimah Abd. Rahman.
Noor Fadzil dalam teks ucapannya yang
disampaikan oleh Wan Shukri memberitahu, program di bawah tanggungjawab sosial
korporat EPIC yang dimulakan pada tahun 2009 ini digerakkan sebagai salah satu
komitmen syarikat dalam membantu masyarakat dalam pelbagai bidang.
“Sepanjang tahun lalu EPIC membelanjakan
lebih dari RM100,000 bagi membantu kalangan yang kurang bernasib baik melalui
Program Kembali Ke Sekolah dengan tumpuan kepada golongan sasar bagi
meringankan bebanan mereka.
“Pada hari ini, setiap murid diperuntukkan
sehingga RM500 termasuk sebanyak RM350 untuk memenuhi keperluan asas
persekolahan seperti mendapatkan uniform sekolah yang lengkap, beg sekolah,
buku dan peralatan sekolah yang lain,” katanya.
Sementara itu, Nor Damia Shahirah Amirizan,
11, dari Sekolah Kebangsaan Cukai gembira kerana dengan bantuan yang diterima
dia mempunyai lebih banyak pakaian dan kasut untuk digunakan secara bergilir
sepanjang minggu.
“Musim hujan baju dan kasut mudah kotor, jika
mudah diganti apabila terpaksa dibasuh,” ujarnya sambil menceritakan keadaan
ayahnya yang uzur. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/terengganu/epic-bawa-kegembiraan-kepada-40-murid-di-kemaman-1.583993#ixzz55lMu9FZK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.