Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seramai 119 anggota penguat kuasa digerakkan bagi menjalankan pemantauan harga Skim Harga Maksima Musim Perayaan (SHMMP) di lokasi strategik di seluruh negeri sempena sambutan Deepavali bermula pada 16 sehingga 22 Oktober ini.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat, berkata, pihaknya turut menempatkan seramai 58 Pegawai Pemantau Harga (PPH) bagi membantu pelaksanaan pemantauan hargai sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, antara lokasi tumpuan pemeriksaan termasuk pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan musim perayaan bagi melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika.
Katanya, KPDN Terengganu menyeru semua peniaga agar mematuhi harga maksimum yang ditetapkan dan memastikan label merah jambu digunakan bagi barangan di bawah skim berkenaan.
“Bermula pada 16 sehingga 22 Oktober ini, kita akan sentiasa memantau dan anggota kita seramai 119 orang akan terus bergerak untuk memantau harga tersebut mencukupi dan tidak perlu risau.
“Pengguna juga dinasihatkan tidal membuat pembelian panik kerana barangan keperluan memang cukup di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 Peringkat Negeri Terengganu
di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Menurut Mohd Mufsi, pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati gagal mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan di bawah SHMMP itu.
Jelasnya, sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan penalti yang telah ditetapkan KPDN.
“Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, setiap individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
“Bagi Syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000,” katanya. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.