
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) di sini, pagi tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 7.30 pagi di kilometer 260.1 berhampiran susur keluar Kawasan Rehat dan Rawat ( RnR) Jabor, Perasing di sini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Muhammad Amirul Rizuan Azmi, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan.
Ketika kejadian mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan, Pahang menuju ke arah Kuala Terengganu.
Kejadian berlaku di laluan lurus di mana kereta Perodua Myvi dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di kiri lebuh raya.
Akibat pelanggaran kuat itu, kereta mangsa terbalik di tengah lebuh raya menyebabkan mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
Mayat mangsa berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ceneh Baru dengan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.
Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.